|
Tak sangka rupa2nya lagu2 ini dikarang oleh mak cik Singapura ni..!!!
PERJALANAN MASYARAKAT TURUT JADI SUMBER ILHAM HARTINAH
Oleh
Kamali Hudi
Penulis Sambilan
NAMA Hartinah Ahmad tidak asing lagi dalam dunia seni lagu dan drama setempat.
Lirik-lirik lagu ciptaannya sering mencuit hati pendengar kerana keindahan susunan kata serta kedalaman maksudnya seperti lirik lagu Bukan Kerana Nama yang dinyanyikan oleh Ramli Sarip secara berduet dengan A. Romzi.
Begitu juga dengan lirik-lirik lagu ciptaannya yang lain seperti Doa Buat Kekasih, juga nyanyian Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim; Pengemis Cinta nyanyian Ella; Sepucuk Surat Rindu nyanyian Shima; dan Nyanyian Tanjung Sepi nyanyian Khatijah Ibrahim.
Antara skrip-skrip drama televisyennya yang masih segar dalam ingatan ialah Rentak-Rentak Inai, Selagi Ada Kasih,
Pelita Kasih, Antara Dua Rindu, Jeritan Sepi dan Daniel.
Baru-baru ini pula Hartinah telah menyiapkan sebuah skrip yang judulnya masih dirahsiakan dan sedang dalam
proses penilaian.
Ditanya bagaimana beliau mendapat idea bagi karya skrip dramanya, Hartinah, 51 tahun, berkata:
'Kebanyakannya melalui pandang mata dan perjalanan kehidupan masyarakat kita serta kisah-kisah mengenai kekeluargaan.'
Adakah beliau teringin menulis skrip filem pula setelah berjaya dalam penulisan drama televisyen? Kepada soalan ini,
ibu empat orang anak remaja ini menjawab:
'Tidak mudah beralih skop penulisan kepada perfileman tanpa sebarang pengalaman. Walaupun skop penggambaran serupa, namun perfileman memerlukan banyak elemen perwatakan yang lebih luas dan kita perlu mempelbagaikan lagi senario bagi menghidupkan jalan cerita.
'Mungkin satu masa nanti, saya akan membuatnya setelah berasa yakin dan mendapat kepercayaan daripada syarikat penerbitan filem.'
Sebagai penulis skrip, beliau turut berpeluang ke luar negara seperti ke New Zealand, Brunei dan Mesir bersama kru penerbitan.
Dalam penulisan lirik lagu pula, Hartinah bermula dengan lagu Berbudi Bahasa dendangan kumpulan Al-Mizan yang dirakamkan pada 1982.
Dibesarkan di Lorong Lompang Batu 11, Upper Bukit Timah Road, Hartinah aktif dalam dunia seni sejak remaja dengan menganggotai kumpulan hadrah dan kendarat. Beliau juga pernah bergiat sebagai setiausaha Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus).
Pencapaiannya selama ini adalah hasil dorongan keluarga terutama suaminya, Ahmad Azmi Ishak, yang aktif dalam kerja kemasyarakatan dan menyandang tugas setiausaha kehormat Persatuan Hadrah Kompang Singapura (Pehaks).
Hartinah juga pernah bergiat selaku pengerusi anggota kegiatan Muslimah di Masjid Ar-Raudhah.
Sepanjang penglibatan suri rumah sepenuh masa ini dalam bidang seni, beliau telah menerima beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Anugerah Persuratan 1999 bagi naskhah drama televisyen dan Hadiah Penghargaan Anugerah Persuratan 1999 bagi lirik lagu dan sajak. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|