MCMC fasa akhir teliti notis bencana terus kepada penduduk
Beberapa jalan utama di Kota Bharu - Ketereh dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam fasa akhir meneliti pelaksanaan notis bencana secara terus kepada penduduk tanpa melalui sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata notis yang akan berfungsi memberi amaran menerusi telefon bimbit kepada individu di lokasi tertentu itu, akan diselaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). "MCMC sedang dalam fasa akhir untuk meneliti beberapa opsyen dan akan ada koordinasi dengan pihak NADMA (untuk melaksanakan inisiatif itu)."Ia akan menjadi satu alat komunikasi tambahan yang boleh membantu kerana ada elemen 'geo location' (geo lokasi)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) sempena Festival Idea Putrajaya di sini, hari ini.
Fahmi berkata, menerusi kaedah notis itu, maklumat lain juga boleh dihantar kepada penduduk termasuk berkaitan lokasi pusat pemindahan sementara (PPS). Ditanya mengenai ketetapan kerajaan Johor supaya pelanggan dan pemilik premis perniagaan lelaki beragama Islam diwajibkan meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis ketika solat Jumaat, Fahmi berkata, ia terpulang kepada kerajaan negeri. "Kalau itulah yang ingin dilaksanakan, maka terpulang kepada kerajaan negeri kerana saya rasa tidak menjadi isu dan kita memantau dan kita harap ini akan dapat membantu terutama bagi negeri Johor," katanya. Media semalam melaporkan pelanggan dan pemilik premis perniagaan lelaki yang beragama Islam di Johor, diwajibkan untuk meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis ketika solat Jumaat. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, dilaporkan berkata ia bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan. Beliau berkata, kelonggaran diberikan kepada pelanggan, pemilik atau pekerja wanita Islam untuk terus menjalankan urusan perniagaan di premis masing-masing.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1329480/mcmc-fasa-akhir-teliti-notis-bencana-terus-kepada-penduduk
|