|
SEKADAR mengimbau kembali kata-kata konduktor muzik terkenal, Ramli MS, seorang penyanyi atau penghibur yang hebat, ada kalanya terpaksa juga berdepan dengan 'stage fright' atau perasaan gemuruh di pentas ketika membuat persembahan.
Namun, saat menyaksikan persembahan finalis Bintang RTM2009, Ernie pada Malam Seribu Bintang, minggu lalu, diperhatikan faktor ‘stage fright’ pada persembahannnya berada pada tahap paling minimum.
Justeru, ketika namanya diumumkan sebagai Johan Pertandingan Akhir Bintang RTM2009, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan, ditambah kelantangan vokal Ernie ketika mendendangkan lagu Kau Yang Istimewa (nyanyian asal Aishah) dan Cahaya (Kris Dayanti) yang diakui barisan juri sebagai yang terbaik pada malam itu, melengkapkan gelaran juara sebagai miliknya yang mutlak.
Ernie adalah finalis paling muda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akhir tahun ini, mengakui ramai meramalkan Jo-Anna bergelar juara disebabkan dia memiliki pakej lengkap. Namun, apabila Jo-Anna diumumkan sebagai Naib Juara, hatinya terdetik, mungkin Saidatul Aina bakal bergelar juara kerana membawa ramai penyokongnya ke Stadium Negara, sebaliknya Ernie pula diumumkan sebagai juara!
Situasi di luar dugaan itu membuatkan Ernie melompat gembira sehingga tidak sedar gelagat keterlaluan itu diperhatikan VIP yang berada di pentas ketika itu termasuklah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isterinya, Datin Seri Masnah Rais. Aksi ‘over’ Ernie mendapat kritikan media apabila menyifatkan aksi terkinja-kinja itu menyakitkan mata memandang!
“Saya terkejut apabila nama diumumkan sebagai juara, itu yang membuatkan saya melompat di pentas sehingga tak sedar ada Menteri di situ. Saya akui kesilapan itu, memang saya tak sedar aksi ‘over’ yang dilakukan kerana terlalu gembira! Justeru, jika ada segelintir pihak yang tidak senang dengan kelakuan saya di pentas pada malam itu, saya minta maaf banyak-banyak termasuklah kepada Datuk Seri Dr Rais dan isterinya,” kata Ernie yang ditemui B*Pop, petang Rabu lalu.
Mungkin faktor usia membuatkan Ernie alpa dengan situasi persekitaran, justeru wajarlah dimaafkan kelakuannya yang ternyata masih keanak-anakan itu.
Ibu Ernie sepupu Ziana Zain
Selepas diselidiki, Ernie rupa-rupanya berdarah seni. Selain bapanya, Zakri Ahmad, 48, yang pernah menganggotai band Kilat, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Klang, Selangor dengan bermain dram, dia juga mempunyai ikatan persaudaraan dengan penyanyi terkenal, Ziana dan Anuar Zain! Ibu Ernie, Rafiaah Mohamed, 43, adalah sepupu kepada kedua-dua artis popular itu apabila Ernie memanggil Ziana, Mak Long, manakala Anuar dipanggil Pak Ngah.
“Sejak saya berusia lima tahun lagi, saya sudah mula menyanyi di pentas apabila sering mengikuti band Kilat membuat persembahan. Ketika itu lagu yang menjadi kegemaran saya ialah Panasaran. Pernah juga terdetik ingin menjadi penyanyi berjaya seperti Mak Long, kebanyakan lagu popularnya sering saya dendangkan ketika membuat persembahan,” katanya lagi.
Apabila sudah bergelar bintang baru, bagaimana penerimaan rakan sebaya di sekolah, apakah Ernie sudah merasai bahang menjadi selebriti dikenali ramai?
Sasar keputusan SPM dapat 9A1
Kata Ernie, kehidupan hariannya sebagai pelajar sekolah, biasa saja, setiap pagi lengkap berpakaian seragam sekolah dia menyertai pembelajaran bersama teman-temannya, cuma ada segelintir daripada rakannya itu, menyindir dirinya sudah banyak berubah, berlagak sombong dan bermacam-macam lagi, namun dia tidak pernah memandang serius perkara itu, selain menganggapnya sebagai gurauan semata-mata.
Pastinya ketika ini fokus Ernie ialah mencapai keputusan cemerlang dalam SPM apabila meletakkan sasaran memperoleh keputusan 9A1. Namun, pada masa sama, ada beberapa syarikat rakaman sedang mengintai persetujuan Ernie untuk menyuntingnya sebagai artis rakaman, namun jelas Ernie semuanya masih di peringkat perbincangan bersama keluarga kerana baginya paling utama ketika ini ialah berjaya dalam pelajaran.
|
|