Biasalah caj ‘cukai’ Tahun Baru Cina, kata kedai sushi
GEORGE TOWN: Sebuah restoran sushi yang mengenakan ‘cukai’ 10% sempena Tahun Baru Cina mendakwa sudah menjadi “kebiasaan” untuk peniaga makanan mengenakan bayaran tokok bagi mengimbangi kenaikan harga barangan di musim perayaan. Bercakap kepada FMT, jurucakap itu berkata restoran lain turut mengenakan bayaran tokok pada bil akhir. “Tahukah kamu kebanyakan restoran mengenakan cukai 10% semasa Tahun Baru Cina? Ini kerana harga sayur-sayuran naik. “Kami letakkan notis di kaunter juruwang untuk perhatian para pelanggan. “Kami juga muatnaik notis di Facebook.
“Kami tak berniat menipu pelanggan kami; kami pengikut Buddha,” kata jurucakap itu. Ketika ditanya samada pihaknya patut menggunakan istilah bayaran tokok dan bukannnya “cukai”, jurucakap menjawab: “Ya, mungkin pada Tahun Baru Cina seterusnya kami akan menggunakan istilah bayaran tokok, dan meletakkan notis di pintu depan seperti yang kamu cadangkan.” Baru-baru ini, seorang wanita mengadu kepada FMT bilnya untuk 6 orang dikenakan “cukai Tahun Baru Cina 10%”, di samping bayaran perkhidmatan 10% dan GST 6%. Beliau hanya menyedari kewujudan “cukai” itu apabila menerima resit. Beliau kemudian mendapati cukai itu hanya dikenakan dari 27 Januari hingga 2 Februari, tetapi beliau mengunjungi restoran itu pada 3 Februari. Beliau menghubungi restoran untuk meminta bayaran semula, berjumlah hampir RM20. Pihak restoran bersetuju lalu memohon maaf di atas “kesilapan” dalam sistem tempat jualan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata cukai Tahun Baru Cina mungkin haram.
|