View: 2469|Reply: 1
|
[Dunia]
Wanita Saudi menunggu April
[Copy link]
|
|
Wanita Saudi menunggu April
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
Dalam sibuk bersenam, Heelah Abdulaziz terus berdoa dan berharap agar kerajaan Arab Saudi mempercepatkan pemberian lesen kepada gimnasium khas buat wanita sebagai langkah untuk memperbaiki kehidupan golongan itu ibu di negara berkenaan.
Di Arab Saudi, wanita tidak dibenarkan bersenam di satu tempat yang sama dengan lelaki. Malangnya di negara itu tiada pusat kecergasan khusus untuk wanita kerana pakar agama melihat pembabitan mereka dalam aktiviti sukan sebagai satu perkara yang kurang sopan.
Oleh itu, kemunculan gimnasium wanita pertama yang mendapat sokongan Puteri Reema Bandar yang dibesarkan di Amerika Syarikat dan dilantik sebagai ketua unit wanita dalam Badan Sukan menjadi bualan hangat.
Puteri Reema dilaporkan berkata, gimnasium itu membuka pintunya kepada wanita daripada semua lapisan usia untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Jurucakap Badan Sukan memberitahu Thomson Reuters Foundation, lesen untuk gimnasium berkenaan hanya akan diberikan pada April ini bagi merangsang ekonomi sukan yang bukan saja memberi kesan kepada aktiviti fizikal malah membuka ruang pekerjaan dan peluang perniagaan.
Seperti ramai wanita lain, Heelah juga tidak sabar menantikan detik bersejarah itu. Baginya, kebenaran untuk membuka gimnasium wanita adalah satu perkara yang sangat diperlukan dan tepat pada masanya, apatah lagi kira-kira 44 peratus wanita Arab Saudi termasuk dalam kategori obes. Malah Arab Saudi dicatatkan sebagai antara negara yang mempunyai kadar obesiti dan diabetes tertinggi di dunia.
“Selepas ini lebih banyak gimnasium akan dibuka dan saling bersaing untuk mendapatkan pelanggan. Jadi, kadar bayaran untuk bersenam akan jadi semakin rendah yang membolehkan lebih ramai wanita pergi ke gimnasium,” katanya ketika ditemui di pusat kecergasan NuYu.
“Ketika di sekolah dulu saya tidak pernah terbabit dalam sebarang sukan tetapi minat itu timbul selepas mempunyai anak. Saya mahu menurunkan berat badan. Saya cuba juga bersenam di rumah,” kata Heelah. Ibu muda ini berjaya menurunkan 15 kilogram dalam tempoh setahun dengan bersenam.
Ketika ini, gimnasium yang dibuka kepada golongan itu hanya ada di pusat wanita. Bagaimanapun, ia hanya akan diberikan lesen jika fungsi utamanya bukan untuk senaman tetapi menawarkan perkhidmatan spa atau jualan runcit. Mana-mana pusat yang didapati melanggar peraturan akan ditutup.
Budaya makanan segera
Peraturan itu menyebabkan gimnasium komersial yang dikhususkan untuk pasukan sukan wanita atau golongan kelas pertengahan dengan bayaran keahlian RM887 berada dalam dilema selama bertahun-tahun.
Menurut Ketua Eksekutif rangkaian pusat kecergasan NuYu, Susan Turner, pemberian lesen kepada gimnasium wanita secara tidak langsung dapat mengurangkan kos, penggunaan bahan api dan memperbaiki standard pusat kecergasan.
NuYu, satu-satunya rangkaian pusat kecergasan wanita yang diasaskan oleh anak putera mahkota Arab Saudi, Puteri Sara Mohammad Al Saud pada 2012 kini mempunyai lima cawangan dan bercadang membuka tiga lagi cawangan tahun ini.
Katanya, antara halangan terbesar ialah kesukaran mendapatkan kakitangan tempatan kerana sukan tidak diwajibkan di sekolah perempuan. Malah pendidikan jasmani juga tidak menjadi kerjaya pilihan dalam kalangan wanita Arab Saudi.
“Buat masa ini kami terpaksa membawa jurulatih dari Barat tetapi jika kami dapat melatih wanita tempatan, ia akan dapat menjimatkan kos dan membantu lebih ramai kakitangan di gimnasium ini,” katanya yang berkata NuYu bercadang membuka akademi jurulatih kecergasan.
“Rasa sangat seronok apabila kami menerima kunjungan wanita dalam usia 30-an yang tidak pernah bersenam pun sebelum ini. Inilah budaya yang dirangsang oleh makanan segera,” katanya.
Lesen untuk gimnasium wanita menjadi antara titik perubahan dalam kehidupan wanita Arab Saudi - satu-satunya negara yang tidak membenarkan wanita memandu kenderaan, perlu ditemani ahli keluarga lelaki jika keluar serta menjalankan peraturan memisahkan antara lelaki adan perempuan yang tiada kaitan persaudaraan.
Perubahan yang berlaku - daripada pembabitan wanita dalam tenaga kerja yang membenarkan mereka bertanding dalam Sukan Olimpik buat kali pertama pada 2012 - mencambahkan perdebatan apakah ia memberi manfaat kepada ekonomi negara atau kesihatan, bukannya untuk memperkasakan golongan itu.
Bagaimanapun, ia sejajar dengan visi 2030 kerajaan Arab Saudi yang dikeluarkan tahun lalu, membentangkan keperluan untuk mempunyai penduduk dan ekonomi yang sihat dan lebih menyeluruh membabitkan wanita bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak.
Ketika berehat seketika daripada latihan mengangkat berat, Rahaf Naasani, 27, berkata, wanita Arab Saudi perlukan gimnasium untuk kekal cergas dan sihat.
“Tidak ada tempat lain untuk kami bersenam di luar dan aktiviti utama di sini biasanya membabitkan makanan,” kata Rahaf, wanita Syria yang mempunyai anak kembar berusia enam tahun dan menetap di Arab Saudi sejak tujuh tahun lalu.
Menurut Pengarah Inisiatif Global Human Rights Watch Minky Worden, yang mengkritik keengganan Arab Saudi memberikan hak bersukan kepada wanita, lesen gimnasium itu dianggap satu loncatan besar tetapi perubahan itu hanya membawa manfaat kepada kumpulan elit.
“Anda perlu jadi orang kaya untuk menikmati perubahan ini. Anda perlu ada wang untuk membayar yuran keahlian gimnasium, mengupah pemandu yang akan membawa anda ke sana dan mendapat kebenaran anggota keluarga lelaki,” katanya.
Dia menekankan keperluan untuk mewajibkan sukan bagi pelajar perempuan di sekolah dalam usaha menjadikan senaman sebagai gaya hidup dan pilihan kerjaya.
“Inilah peluang ekonomi yang tiada di Arab Saudi. Daripada bergantung kepada pengusaha gimnasium dari negara lain, wanita tempatan sepatutnya boleh membuka gimnasium mereka sendiri. Melalui cara ini mereka boleh mengupah jurulatih tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk wanita yang mungkin menjadi generasi usahawan pada masa akan datang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 9:47 PM
http://www.hmetro.com.my/node/216478
|
|
|
|
|
|
|
| |
|