|
"Sekarang setiap kali keluar ada yang tegur dan tangkap gambar, jadi saya perlu kelihatan bersedia walaupun hanya sekadar solekan asas sahaja."
Demikian kata-kata penyampai radio Suria FM, Roslinda Abd Majid, 40, atau lebih dikenali dengan panggilan DJ Lin yang mengatakan dia kini perlu lebih menitikberatkan penampilannya di hadapan umum.
"Saya sebenarnya seorang yang sederhana dan tidak suka bersolek, tapi orang sekeliling minta agar sentiasa jaga penampilan terutama bila keluar ke tempat awam," katanya kepada mStar Online.
Meskipun menjaga penampilan, DJ Lin mengelak daripada menerima apa-apa suntikan untuk kecantikan.
"Saya tidak pernah ambil apa-apa suntikan untuk cantik seperti botox kerana ia membahayakan kesihatan untuk jangka masa panjang.
"Biarlah apa yang ada ini kita jaga dengan baik dan saya tahu peminat akan tetap sokong dalam apa juga keadaan kita," katanya.
Dalam perkembangan kariernya, DJ Lin tercalon dalam kategori Penyampai Radio Meletop dan Program Radio Meletop.
"Alhamdulillah, saya teruja apabila tercalon dalam dua kategori ini pada anugerah anjuran stesen televisyen Astro, ia merupakan pengalaman manis buat saya.
"Menang atau kalah ia perkara kedua kerana pencalonan ini sahaja satu pencapaian pada kerjaya saya dalam industri ini," katanya.
Foto: IG DJ Lin
Wah, semakin cantik la dia nanti ya bila dah pandai bertata rias. Semoga DJ Lin terus berjaya dalam apa jua bidang diceburi. - CARI |
|