Wanita Dakwa Dicabul Dalam Bas Ke Batu Pahat Published on May 2, 2017
JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Malaysia yang bekerja di Singapura mendakwa dirinya telah dicabul semasa menaiki bas ke Batu Pahat.
Mangsa, Xin Yan, 21, berkata, dia telah telah menaiki bas dari stesen bas Larkin untuk pulang ke rumahnya pada Ahad (30 April).
Kira-kira pukul 6 petang, seseorang telah memeluk pinggangnya dan meraba alat sulitnya dari tempat duduk belakang.
“Saya menoleh ke belakang dan seorang lelaki yang sedang duduk di belakang saya cepat-cepat berpaling ke arah lain,” katanya di laman Facebook.
Dia kemudian tertidur dan apabila bas tiba di kawasan Simpang Renggam, dia berasa dadanya sedang diraba.
“Saya sangat terkejut, sukar mahu percaya apabila lelaki tadi yang duduk di belakang saya kini di sebelah saya.
“Dia segera kembali ke tempat duduknya. Saya pergi kepadanya dan menjerit ‘you buat apa?’. Dia berpura-pura membetulkan penghawa dingin,” katanya.
Mangsa segera memberitahu pemandu bas apa yang telah berlaku dan meminta agar lelaki yang mencabulnya itu tidak dibenarkan keluar dari bas.
Apabila bas sampai di perhentian bas Ayer Hitam, lelaki terbabit ingin turun dari kenderaan tetapi dia telah dihalang oleh penumpang lain yang menyuruhnya duduk.
“Bagaimanapun, apabila seorang penumpang turun dari bas di Parit Raja, lelaki itu berjaya melarikan diri menggunakan pintu kecemasan,” kata wanita itu.
Dia berkata penumpang lain kemudian bertindak mengejarnya. Dengan bantuan orang lain di situ, mereka berjaya menangkap suspek dan menyerahkannya kepada pihak polis.
“Saya telah bekerja di Singapura sejak tiga tahun lalu dan sentiasa berhati-hati tentang keselamatan diri. Saya tidak menjangka ini akan berlaku kepada saya,” katanya. – mStar Online
KLUANG - Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan selepas dipercayai meraba buah dada seorang wanita di dalam bas berhampiran Hentian Rehat Simpang Renggam, dekat sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 6 petang dan laporan polis telah dibuat oleh mangsa berkenaan selepas kejadian tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa yang berusia 21 tahun itu kejadian berlaku ketika dia berada di dalam bas ekspres dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat.
"Mangsa yang bekerja di Singapura dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat mengatakan yang beliau merasakan pinggangnya disentuh seseorang.
"Semasa mangsa pusing ke belakang dapati seorang lelaki yang tidak dikenali berada di belakang pengadu namun lelaki tersebut sedang memandang ke arah lain.
"Selepas itu, mangsa tertidur dan semasa sampai di Hentian Rehat Simpang Renggam, dia tersedar selepas buah dadanya disentuh.
Mangsa terkejut kerana melihat lelaki yang duduk di belakangnya sebelum ini telah duduk di sebelahnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohamad berkata, sejurus kejadian tersebut mangsa menjerit dan sempat bertanya kepada suspek kenapa memegang buah dada pengadu.
Bagaimanapun, beliau berkata, suspek tidak mengaku dan mengatakan hanya membetulkan penghawa dingin.
"Pengadu yang merupakan mangsa berkenaan telah memberitahu pemandu bas mengenai kejadian ini untuk bantuan.
"Semasa sampai di Perhentian Bas Ayer Hitam suspek cuba untuk turun dari bas namun ditahan oleh pemandu bas dan penumpang yang lain.
"Semasa sampai di Perhentian Bas Parit Raja, suspek bertindak dengan keluar melalui pintu kecemasan dan cuba melarikan diri.
Dengan bantuan orang awam yang ada suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis," katanya.
Mohamad berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat.
Beliau berkata, ketika ini suspek yang merupakan seorang penganggur telah ditahan reman sehingga 4 Mei ini untuk siasatan lanjut.
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register