Petaling Jaya 13 Ogos, 2017 – Barisan Nasional (BN) yang menjadi nadi kemajuan Selangor sejak merdeka, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu rakyat negeri itu kembali ke pangkal jalan bagi perikatan itu merampas balik negeri paling kaya itu. Setiausaha agung BN ini berkata penyokongnya perlu bekerja keras sekiranya parti itu mahu kembali memerintah Selangor setelah 2 penggal kecundang kepada pakatan pembangkang. Beliau yang juga setiausaha agung Umno berkata, pembangunan yang dinikmati rakyat Selangor kini hasil usaha dan penat lelah Umno dan BN, sekali gus ia tidak boleh diserahkan kepada pembangkang begitu sahaja. “Petaling Jaya ini dah cantik, dah indah sekarang. Tetapi mereka sedarkah datuk dia, bapa dia yang bertungkus-lumus, kerja keras untuk pastikan keuntungan di masa hadapan. “Lepas bangunkan, senang-senang nak bagi kepada pembangkang? Kita punya lah ‘reserve’ berbilion-bilion.” Beliau seterusnya bertanya: “Selangor ni gila ke apa?” “Saya cuma bagi tahu apa yang saya rasa,” kata beliau, yang juga setiausaha agung BN, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya Utara lapor FMT. “Nasib kerajaan persekutuan masih lagi BN, Selangor itu masih lah lagi boleh dibantu, boleh ditengok apa yang patut, kalau BN bukan kerajaan persekutuan, mungkin dewan ni pun tak ada orang. “Sebab itu saya kata kita kena rampas Selangor balik. Kita nak rakyat Selangor balik ke pangkal jalan, jangan dulu duduk rumah setinggan, sekarang kita masuk Umno Cawangan, dah nampak pembangunan, jangan kita cemuh Umno, kita hantar anak muda belajar di luar negara, balik sini cemuh Umno,” katanya.
|