Rumah yang berkonsepkan seni bina lama Terengganu ini mempunyai hasil kerja yang kemas dan asli seperti istana dan rumah zaman dahulu kala.
Lokasi yang berada lebih kurang 14 kilometer dari Bandar raya Kuala Terengganu pernah dijadikan sebagai penginapan homestay kepada pengunjung untuk merasai kehidupan di desa yang bercirikan Melayu Tradisional.
Rumah Pura Tanjung Sabtu yang berkeluasan 14 ekar dikatakan sudah berusia hampir 100 ke 200 tahun dan sumber asal bahan binaan diambil dari Kampung Atas Tol, Kampung Seberang Baruh, Kampung Sungai Rengas dan Kampung Nesan Empat dalam daerah Kuala Terengganu manakala istana di ambil dari Kampung Dalam Kota (belakang Istana Maziah).
Pura Tanjung Sabtu telah mendapat nama hasil daripada gabungan perkataan sanskrit ‘Pura’ yang membawa maksud istana, kuil atau bandar sementara ‘Tanjung Sabtu’ adalah sebuah nama desa di mana Pura Tanjung Sabtu ini telah dibina dengan gaya orang bangsawan istana Terengganu.
Namun kompleks yang berlatar belakang abad ke-18 itu sudah dipenuhi dengan semak samun dan tidak dijaga sebagaimana biasa sejak beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, pemilik asalnya adalah bernama Tengku Ismail Tengku Su dan beliaulah yang membina dan menjaga rumah tersebut dan tiada waris beliau yang mengambil alih untuk memelihara rumah itu selepas Tengku Ismail meninggal dunia.
Pura Tanjung Sabtu wajar diberi perhatian oleh pihak berkenaan supaya ia dapat dibaik pulih menjadi kompleks yang kaya dengan seni bina tradisional negeri Terengganu dan ia boleh menjadi produk pelancongan kepada pelawat dalam dan luar Negara kerana rumah unik ini pernah tercalon dalam Aga Khan Award for Architecture pada tahun 2007.
Pemilik Pura Tanjung Sabtu boleh merujuk atau bekerjasama contohnya dengan pihak muzium dalam prose baik pulih kompleks ini supaya ia kekal tersergam indah untuk tatapan generasi akan datang.
-Artikel Terengganu Times, sumber ffterengganu dan puratanjungsabtu.