Edited by EJALTI at 16-1-2018 05:31 AM
Yabba, Dabba, Doo... sultan Johor terima kereta Flintstones
https://www.malaysiakini.com/news/408830
Hari ini, 12:32 pm Hari ini, 12:40 pm
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan mempunyai kereta tambahan dalam koleksi kenderaannya tetapi perolehan terbarunya itu amat berlainan.
Tidak seperti sebahagian besar koleksinya itu, kereta terbaru itu tidak mungkin mampu mencipta rekod perlumbaan kerana tidak mempunyai enjin.
Ini kerana kenderaan terbaru sultan itu adalah versi replika kereta Fred Flintstones, yang dihadiahkan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Apa yang menarik, replika kenderaan itu memiliki motor sendiri untuk bergerak, berbeza daripada kereta asal dalam siri animasi itu, yang mana digerakkan oleh watak utama, Fred, menggunakan kaki.
"Flintstones adalah kartun kegemaran Tuanku Sultan Ibrahim, dengan Fred Flintstone menjadi watak kartun kegemaran baginda.
"Dan jika hujan, kereta itu dilengkapi bumbung kain 'sementara',” petik tulisan di laman rasmi Facebook baginda.
Sultan Ibrahim memang dikenali sebagai peminat kenderaan mewah, dengan memiliki beberapa buah Chevrolet Corvettes, Ford Mustangs, Lamborghinis, Maseratis dan juga Humvee dalam koleksinya.
Pada tahun 2015, baginda membeli sebuah trak Mack pada harga yang dikatakan mungkin mencecah RM1.4 juta.
Antara ciri eksklusif trak berkenaan ialah ia dilengkapi dengan enam kamera litar tutup (CCTV), dua set televisyen, dapur barbeku dan katil kelamin, selain tempat duduk yang dijahit dengan benang emas.
Minat mendalam Sultan Ibrahim dengan The Flintstones, siri kartun popular sekitar tahun 1960an oleh Hanna Barbara, bukan rahsia.
Baginda sedang membina sebuah "Istana Flintstones" di Mersing, Johor yang pernah digambarkan baginda sebagai "hadiahnya kepada rakyat Johor" dan "keajaiban kelapan dunia".
Beliau memberitahu History Channel bahawa istana baru akan membantu meningkatkan pelancongan di bandar yang lesu itu dan ia akan dibuka kepada orang ramai.
|