Nasi goreng kampung, nasi goreng cina, nasi goreng pattaya dan macam-macam lagi nasi goreng yang ada hingga kadang-kadang pening nak makan yang mana.
Bahan-bahan serta cara masakannya juga berbeza mengikut jenis serta tukang masak itu sendiri, apa yang utama adalah untuk menjadikan rasanya sedap hingga licin pinggan.
Tetapi ada satu nasi goreng yang mana jika anda membesar dalam suasana kampung pasti pernah makan dan rasanya sangat luar biasa sedap dimasak oleh emak atau opah.
Nasi Goreng Cabai Kering Tumbuk. Dengar sahaja namanya pasti membuat kita teringat keenakan hidangan berkenaan semasa dinikmati. Ada rasa pedas, masin, tak perlu lauk sebab dah ada ikan bilis serta telur ayam yang dipecahkan.
Jadi di sini kami ingin kongsikan kepada anda resipi Nasi Goreng Cabai Kering Tumbuk! Tak renyah langsung.
Bahan-Bahan:
Telur
Bilis
Nasi putih
Bawang merah
Bawang putih
Cili kering
Hanya enam bahan sahaja
Cara-cara
1) Potong cili kering dan rendamkan dalam air panas untuk bagi dia lembut jadi senang nak tumbuk
2) Masukkan bawang putih, bawang besar dan ikan bilis lalu ditumbuk sehingga lumat
Tumbukkan semua bahan tadi hingga lumat
3) Panaskan kuali dan masukkan minyak masak
Panaskan kuali dan masukkan minyak masak
4) Masukkan bahan yang ditumbuk tadi dan tumis sehingga naik minyak atau bau wangi
Tumis bahan ditumbuk hingga wangi
5) Pecahkan telur lalu digaul bersama bahan tumis tadi sehingga masak
Pecahkan telur dan hancurkan
6) Akhir sekali masukkan nasi dan perasakan dengan garam lalu gaul dan biarkan ia seketika sebelum ditutup api.
Mudah bukan? Tak susah mana pun nak sediakan makanan yang amat senang tetapi begitu sedap!
Tips: Bila masak nasi goreng pastikan ia betul-betul masak dan panas. Nak tahu ia masak betul adalah bila kita lihat nasi tu mula keluar asap.
Selamat mencuba semua. -CARI
Kredit Resipi: Hafizy Agy |