MUDURNU - TURKI. Orang ramai tidak mampu menahan rasa terharu apabila menyaksikan seorang warga emas menangis dan memeluk kucing kesayangannya selepas rumahnya musnah dalam kebakaran, kelmarin.
Menurut Daily Sabah, mangsa Ali Mese, 83 tidak sengaja menyebabkan kebakaran tersebut selepas cuba menyalakan dapur menggunakan minyak tanah.
Jiran yang menyedari rumah Ali terbakar menelefon pihak bomba yang kemudian menyelamatkan Ali, isterinya dan kucingnya tepat pada masanya.
Selanjutnya, orang ramai hanya mampu menyaksikan Ali menangis memeluk kucingnya selepas rumah kayu milik mangsa musnah dalam kejadian tragis itu.
Bagai jatuh ditimpa tangga, 13 dari 14 ekor ayam yang dibela keluarga Ali turut menjadi korban kebakaran berkenaan.
Bagaimanapun, kesedihan Ali tidak berpanjangan selepas kerajaan tempatan membuat keputusan untuk membantu Ali, isteri dan dua anaknya mendapatkan tempat tinggal baharu.
Tak cukup dengan itu, pelayar laman sosial tempatan juga mengadakan kempen untuk membantu keluarga mangsa dengan mengumpul bahan keperluan untuk didermakan.