|
SAMBUTAN Aidilfitri dan ulang tahun ke-38 penyampai radio Kool FM, AG Azmeer akan diingati sampai bila-bila selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Pasir Gudang, Johor.
Kejadian berlaku jam 10 malam, Isnin lalu ketika AG atau Muhammad Azmir Selamat bersama isteri dan empat anak dalam perjalanan ke rumah abang ipar sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira di laluan simpang empat kawasan perumahan.
Sehubungan itu, AG membuat laporan polis di IPD Seri Alam Masai bersama dengan pemandu kereta melanggarnya iaitu remaja lelaki berusia 23 tahun.
"Ini pertama kali saya mengalami kemalangan jalan raya. Kejadian berlaku sangat pantas. Kalau saya tercepat sikit mungkin jadi lebih teruk lagi.
"Apa berlaku saya anggap takdir. Walaupun isteri mengalami luka kecil, saya bersyukur kami anak beranak selamat. Allah masih panjangkan umur kami.
"Mungkin juga berkat amalan doa menaiki kenderaan antara sebab kami terselamat. Malah, saya selalu pesan kepada anak-anak berbuat sedemikian. Saya anggap ini 'hadiah' hari jadi yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila," katanya kepada Harian Metro.
Dalam kejadian itu, AG tidak mengalami kecederaan atau sakit badan manakala isteri luka di siku.
Anak-anaknya terhantuk selain kereta jenis Audi dipandu rosak pada bahagian kanan membabitkan tayar, lampu dan 'bumper'.
"Pemandu terbabit mengaku memandu laju dan tidak berhenti di garisan putih. Apa pun, semuanya sudah selesai dan kereta saya sudah dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
"Kalau ikutkan saya mahu minta ganti rugi tetapi ibu remaja terbabit menghubungi saya memaklumkan mereka tidak mampu untuk bayar. Jadi, saya perlu buat laporan polis bagi urusan pampasan insuran," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 12:52 PM
|
|