Nazlan hakim baru adili kes Najib
https://www.malaysiakini.com/news/437056
Hafiz Yatim | Diterbitkan 2 Ogs 2018, 12:30 tengah hari | Dikemaskini 2 Ogs 2018, 1:14 petang
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjadi hakim baru yang akan mendengar kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Nazlan menggantikan hakim Datuk Sophian Abdul Razak yang mencatatkan pengakuan Najib yang meminta untuk dibicarakan atas pertuduhan tersebut pada bulan lalu.
Hakim yang mendapat pendidikan di University Oxford ini termasuk dalam senarai mahkamah untuk mengetuai pengurusan kes Najib pada hari Rabu 8 Ogos.
Pada jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan kemungkinan hakim baru akan menggantikan Sophian berikutan pertukarannya berkuatkuasa pada 1 Ogos ini dan Nazlan akan menggantikannya.
Hakim Sophian telah bertukar ke bahagian sivil bagi menggantikan hakim S Nantha Balan yang kini bertugas di bahagian komersial. S Nantha pula menggantikan hakim Nazlan.
Hakim Nazlan, 51, bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan graduan ijazah sarjana muda sastera dalam bidang undang-undang dan sarjana sastera daripada Universiti Oxford. Beliau ialah seorang barrister di Law of Lincoln's Inn.
Beliau pernah menjadi pengamal undang-undang di Zaid Ibrahim & Co selama lima tahun.
Sebelum menyertai badan kehakiman, hakim Nazlan juga pernah berkhidmat di Suruhanjaya Sekuriti sebagai ketua penguatkuasaan dan kemudian beliau berpindah ke Maybank bagi menyandang jawatan ketua perkhidmatan korporat dan perundangan, peguam umum serta naib presiden eksekutif bank itu. |