|
KUALA TERENGGANU - Seorang suami nekad 'meragut' beg tangan milik isterinya selepas bengang mangsa masih berdegil tidak mahu pulang ke rumah setelah puas dipujuk, dalam kejadian di Jalan Balik Bukit, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, suspek, 47, dikatakan turut tergamak bertindak kasar dengan menampar mangsa, 36, yang juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam sehingga mengalami kecederaan.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dikatakan sedang berjalan kaki berseorangan untuk ke tempat kerjanya.
"Bagaimanapun, semasa tiba di lokasi, secara tiba-tiba mangsa dihampiri sebuah kereta yang dipandu suspek sebelum bertindak menghalang perjalanannya.
"Kemudian, suspek keluar daripada kenderaan itu dan menampar muka mangsa beberapa kali lalu meragut beg tangan yang dibawa wanita itu sebelum beredar.
"Tergamam diperlakukan sedemikian oleh suaminya, mangsa tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya melihat begnya yang mengandungi dokumen penting termasuk lesen memandu, kad pengenalan dan kad bank serta wang tunai RM100 dilarikan lelaki itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di lutut kerana terjatuh semasa diragut dan sakit di muka akibat ditampar sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan susulan.
Sementara itu, suspek yang ditangkap berikutan laporan polis yang diterima diperintahkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini supaya ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 2012. |
|