“DIA sepatutnya bermalam di rumah abang kami di Padang Jawa, Shah Alam bagi menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, kelmarin.
“Tetapi sehingga sekarang kelibatnya tidak muncul-muncul,” kata Nun Faizah Mohd Rozali, 23, kakak kepada Amir Hamzah, 21, yang hilang selepas dipercayai cuba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Baru Lembah Klang Baru, Jumaat lalu.
Menurut Nun Faizah, ketika hari kemalangan yang menyebabkan seorang lelaki dan seorang wanita maut, manakala tujuh lagi parah, adiknya itu memulakan menunggang motosikal jenis Yamaha LC513 seorang diri dari Lenggong, Perak ke Padang Jawa.
Katanya, dia sepatutnya tiba di rumah abang mereka, kira-kira 3 pagi.
“Namun, abang kami yang menunggu pelik apabila dia tidak muncul berikutan keesokannya (Sabtu), sedangkan dia (Amir) perlu ke UPM bagi menghadiri majlis konvokesyen.
“Kami hanya dapat tahu dia hilang pada hari Sabtu selepas dimaklumkan bahawa motosikalnya ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di tepi lebuh raya yang menjadi lokasi kemalangan maut Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi NSTP.
Nun Faizah berkata, susulan itu, abang sulungnya, Mohamad Khairul Anuar Mohd Rozali bergegas ke lokasi kemalangan bagi mencari adiknya itu.
Katanya, hasil pencarian, mereka menemui beg kecil dipakai adiknya di bahagian bawah jambatan di lokasi kemalangan yang terletak berhampiran Sungai Kayu Ara.
“Beg itu memang milik Amir dan didalamnya hanya ada kad pelajar miliknya.
“Jadi, kami percaya mungkin dia turut terbabit dalam kemalangan berkenaan kerana ada saksi menyatakan melihat Amir berhenti di sisi jalan bagi membantu mangsa kemalangan.
“Ia apabila sebuah treler membawa muatan kampit simen terbabas sebelum terbalik merentangi lorong tengah serta lorong kanan lebuh raya dalam kejadian jam 4.40 pagi itu,” katanya.
Menurut Nun Faizah, dia serta ahli keluarga yang lain yakin bahawa Amir masih hidup, namun gagal ditemui.
“Naluri ibu kami menyatakan bahawa Amir masih hidup, tetapi dia tidak dapat dijumpai mungkin kerana disorok unsur ghaib.
“Jadi, kami sekeluarga bercadang menggunakan kaedah tradisional berlandaskan Islam bagi mengesannya disamping usaha pencarian oleh bomba dan polis,” katanya.
Nun Faizah berkata, semua panggilan dibuat ke telefon bimbit adiknya hanya masuk ke mesin peti suara sekali gus menguatkan dakwaan kemungkinan adiknya itu turut terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Katanya, Sabtu lalu, adiknya yang baru menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Pengurusan Penerbangan, Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, di ibu negara, sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen di UPM.
Namun, dia dilaporkan hilang selepas motosikalnya ditemui dalam keadaan enjin masih hidup sebaik pihak berkuasa selesai mengalihkan beberapa kenderaan terbabit dalam kemalangan di NKVE.
KES kemalangan membabitkan lori kontena, treler, lori dan kereta di Kilometer 14.5 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) yang mengakibatkan dua maut, Jumaat lalu menimbulkan misteri apabila sebuah motosikal ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di lokasi kejadian.
Ini berikutan penunggang motosikal itu Amir Hamzah Mohd Rozali, 23, gagal dikesan sehingga ke hari ini sekali gus dikhuatiri turut menjadi mangsa kemalangan tragis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, maklumat penemuan motosikal itu dimaklumkan kepada abang lelaki itu yang kemudian membuat laporan polis.
Menurutnya, menerusi siasatan dijalankan, lelaki itu yang menunggang Yamaha LC135 berwarna merah dipercayai berhenti untuk membantu mangsa kemalangan apabila sebuah treler membawa muatan kampit simen terbabas sebelum terbalik merentangi lorong tengah serta lorong kanan lebuh raya dalam kejadian jam 4.40 pagi itu.
“Lelaki itu dipercayai hilang selepas kemalangan kedua berlaku dalam beberapa minit kemudian apabila sebuah lori kontena merempuh sebuah lagi lori yang kemudian menghimpit sebuah kereta Honda Civic.
“Kejadian itu dilihat oleh dua lelaki yang kemudian menemui helmet dipakai mangsa dalam keadaan pecah di atas jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zani berkata, abang mangsa yang menerima maklumat mengenai penemuan motosikal adiknya, semalam kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui beg pinggang mangsa di bawah jambatan jam 10.30 pagi.
“Bertindak atas penemuan itu, bermula semalam, operasi mencari mangsa yang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Kayu Ara dengan bantuan bomba dan unit anjing pengesan giat dijalankan.
“Malah, usaha mencari mangsa juga dibuat di lokasi simen dibuang, namun tidak menemui apa-apa termasuk petunjuk yang boleh dikaitkan dengan kehilangan mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara Ramli Harun berkata, operasi mencari bermula semalam mengenai lelaki yang dikhuatiri terjatuh ketika kemalangan berlaku.
“Operasi pencarian yang dilakukan sejak semalam di lokasi kejadian di tebing sungai sepanjang dua kilometer itu tidak menemui sebarang petunjuk yang dapat dikaitkan dengan misteri kehilangan lelaki terbabit.
“Justeru, kita meluaskan radius pencarian membabitkan 13 anggota dari BBP Damansara danenam dari BBP Petaling Jaya selain dibantu lima anggota K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dua anjing pengesan, hari ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018