Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap seorang buruh kerana mencuri tong gas dan beras milik isterinya.
Memetik Sinar Harian, Mohd Rizal Moharapi, 34, mengaku bersalah mencuri satu tong gas berwarna hijau bercetak Petronas dan dua kampit beras milik isterinya, Suzilawati Ja’afar, 32, di rumah mangsa sebelum dijual di sebuah kedai runcit.
Kredit foto: Sinar Online
Akibat perbuatan Mohd Rizal dari Seberang Takir, Kuala Nerus itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM100.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Batin Perdana di Seberang Takir, Kuala Nerus kira-kira jam 10 pagi pada 15 November lalu.
Mohd Rizal didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - CARI |