CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3932|Reply: 12

IR 4.0 dan cabaran terhadap industri Halal

[Copy link]
Post time 15-1-2019 07:17 PM | Show all posts |Read mode
BAYAN LINNAS SIRI KE-162: REVOLUSI PERINDUSTRIAN 4.0: CABARAN TERHADAP INDUSTRI HALAL
DetailsUploaded by Luqman Tarmizi Published: 10 January 2019
pautan asal:http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3008-bayan-linnas-siri-ke-162-revolusi-perindustrian-4-0-cabaran-terhadap-industri-halal

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-1-2019 07:21 PM | Show all posts
Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada hari ini, 10 Januari 2019, kami ditaklifkan untuk menyampaikan ucaptama anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam majlis Rountable Discussion on Halal Logistics and Supply Chain (RTD-HLCS) 2019 di EDC Hotel, Kuala Lumpur. Tajuk untuk kami sampaikannya ialah Cabaran Logistik dan Rantaian Bekalan Halal di Era Revolusi Perindustrian 4.0. Memandangkan ia amat penting untuk difahami dalam mendepani cabaran semasa, maka kami jadikannya sebagai Bayan Linnas dan kami tajukkannya dengan Revolusi Perindustrian 4.0: Cabaran Terhadap Industri Halal agar kefahaman berkenaan dengan isu yang dibangkitkan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi manfaat kepada kita semua dalam memahami isu halal dan pelaksanaannya di Malaysia.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:21 PM | Show all posts
Syarahan Hadis

Kami sengaja memulakan dengan mensyarahkan dua hadis Nabi SAW.

Hadis Pertama: Daripada Nu’man bin Basyir R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ، لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ، فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَقَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh sebahagian manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhat bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana pengembala yang membawa haiwan gembalaannya disekitar padang larangan, maka lambat laun dia mungkin akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat al-Bukhari (45) dan Muslim (133)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:22 PM | Show all posts
Antara istifadah daripada hadis di atas ialah:

Pertama: Perkara yang dinaskan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagai halal, maka ianya tetap halal dan perkara yang dinaskan oleh Allah dan Rasul-Nya sebagai haram, maka ianya tetap haram. Akan tetapi di antara keduanya itu ada sesuatu perkara yang tidak jelas kedudukannya sama ada halal atau haram. Maka perkara itu dinamakan Syubhat.

Perkara yang halal yang telah dinaskan oleh Allah secara jelas terkandung banyak di dalam al-Quran mahupun sabda Rasul-Nya, seperti, makan, minum, menaiki kenderaan, berwangi-wangian dan sebagainya.

Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

Maksudnya: Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).

(Surah al-Maidah: 5)

Perkara yang haram yang telah dinaskan oleh Allah secara jelas, ialah seperti perbuatan riba, zina, bunuh diri dan lain-lain lagi.

Firman Allah SWT:

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

(Surah al-Baqarah: 279)

Kedua: Allah SWT telah menjelaskan akan perihal perkara yang halal dan haram secara jelas dan nyata, dan selain itu ada perkara yang tidak dijelaskan secara terperinci, perkara itu dinamakan sebagai musytabihat iaitu kesamaran.

Sepertimana di dalam lafaz hadis di atas iaitu ‘Di antara keduanya adalah hal yang meragukan’, bermaksud perkara yang samar tentang hukumnya dan tidak dikenali secara pasti.

“Tidak banyak orang yang mengetahuinya”, yang dimaksudkan adalah tidak mengetahui hukumnya. Hal ini dijelaskan dalam riwayat Imam al-Tirmizi dengan lafaz, “Banyak orang yang tidak mengetahuinya.” Yang dapat difahami di sini ialah hanya sebahagian kecil manusia sahaja yang mengetahui akan hukumnya iaitu para mujtahid.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:22 PM | Show all posts
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari, menyebut secara ringkasnya ada empat penafsiran tentang syubhat iaitu:

i. Terjadinya pertentangan dalil-dalil yang ada.

ii. Perbezaan ulama yang bermula dari adanya dalil-dalil yang saling bertentangan.

iii. Yang dimaksudkan dengan perkataan syubhat adalah disebutkan dengan makruh, kerana perkataan tersebut mengandungi unsur ‘melakukan’ dan ‘meninggalkan.’

iv. Yang dimaksudkan dengan syubhat adalah mubah (yang dibolehkan). Dinukilkan daripada Ibn Munir, beliau berkata: “Makruh merupakan pembatas antara hamba dan hal-hal yang haram. Sesiapa yang banyak melaksanakan perbuatan makruh maka dia berjalan menuju kepada perkara yang haram. Sedangkan mubah adalah pembatas antara hamba dengan yang makruh. Sesiapa yang banyak melakukan hal yang mubah, maka dia telah menuju kepada hal yang makruh.”

Pendapat keempat ini dikuatkan oleh riwayat Ibn Hibban dengan jalur yang disebutkan oleh Imam Muslim tanpa menyebutkan lafaznya dan dalam hadis tersebut terdapat tambahan: “Buatlah pemisah antara yang halal dengan yang haram. Yang melakukan hal tersebut, maka perilaku dan agamanya akan terselamat. Orang yang menikmati hal tersebut seolah-olah menikmati yang dilarang, ditakutkan akan jatuh ke dalam yang dilarang.” Ini kerana, bahawa perkara mubah yang dikhuatirkan menjadi makruh atau haram, maka seeloknya dijauhi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:22 PM | Show all posts
Ketiga: Imam Ibn Daqiq al-‘Id Rahimahullah menyebutkan bahawa para ulama berbeza pendapat dalam mengkategorikan perkara syubhat:

i. Golongan yang mengatakan syubhat sebagai perkara yang haram. Alasan mereka adalah ucapan Nabi SAW: “Barangsiapa yang menghindar dari yang samar maka dia telah menjaga agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara yang samar maka dia telah terjatuh dalam perkara yang haram.”

ii. Golongan yang mengatakan syubhat sebagai perkara yang halal. Alasan mereka adalah ucapan Nabi SAW: “Seperti penggembala yang berada dekat di pagar milik orang lain.” Ini menunjukkan dia belum menjejaki kepada keharaman, namun sebaiknya kita bersikap wara’ (hati-hati) untuk meninggalkannya.

iii. Golongan yang mengatakan bahawa syubhat bukanlah halal dan bukan pula haram, dan Nabi SAW telah menyebutkan bahawa halal dan haram adalah jelas, maka hendaknya kita bersikap seperti itu. Tetapi meninggalkannya adalah lebih baik, dan hendaklah bersikap wara’.

Pendapat golongan ketiga inilah yang nampaknya lebih kuat. Hal ini diperkuat lagi oleh ucapan Nabi:

لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ

Maksudnya: “Banyak manusia yang tidak mengetahuinya.”

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 15-1-2019 07:23 PM | Show all posts
Keempat: Berkata Imam Ibn Daqiq al-‘Id Rahimahullah:

وفيه دليل على أن الشبهة لها حكم خاص بها يدل عليه دليل شرعي يمكن أن يصل إليه بعض الناس

Maksudnya: “Hal ini menunjukkan bahawa masalah syubhat mempunyai hukum tersendiri yang diterangkan oleh syariat sehingga sebahagian orang ada yang berhasil mengetahui hukumnya dengan tepat.”

Nabi SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada yang tidak meragukan kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Kelima: Kenyataan Ulama Salaf dalam meninggalkan perkara syubhat.

Abu Darda’ RA berkata: “Sempurnanya ketaqwaan ialah apabila seseorang hamba takutkan Allah sehinggakan dalam perkara sekecil zarah dan sehingga dia meninggalkan sebahagian perkara yang dilihatnya halal kerana takut ianya haram, sebagai pendinding diantaranya dengan perkara yang haram.”
Hasan al-Basri berkata: “Sifat taqwa akan sentiasa bersama-sama dengan orang yang bertaqwa apabila mereka meninggalkan banyak perkara halal kerana takut terjatuh ke dalam perkara yang haram.”
Al-Thauri berkata: “Sesungguhnya dinamakan orang yang bertaqwa kerana mereka takut terhadap perkara yang tidak ditakuti.”
Ibn Umar berkata: “Sesungguhnya aku suka menjadikan perkara halal yang aku tinggalkan sebagai pendinding diantaraku dengan perkara yang haram.”
Sufyan bin Uyainah berkata: “Seseorang itu tidak mencapai hakikat iman sehinggalah dia menjadikan perkara halal sebagai benteng diantaranya dengan perkara haram, dan sehinggalah dia meninggalkan dosa dan perkara yang seumpamanya.”
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:24 PM | Show all posts
Keenam: Sebab-sebab berlaku kekeliruan atau syubhat, terbahagi kepada empat:

  • Kurangnya ilmu.
  • Kurangnya kefahaman.
  • Kecuaian dalam pemerhatian dan kajian.
  • Buruknya niat dan tujuan.
  • Ketujuh: Kami nukilkan di sini prinsip-prinsip Islam berkenaan halal dan haram daripada karya Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara lain menyebut:

  • Hukum asal sesuatu ialah harus (dibolehkan).
  • Kuasa halal dan haram adalah hak Allah SWT semata-mata.
  • Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, sama dengan syirik kepada Allah SWT.
  • Pengharaman membawa kepada keburukan dan bahaya.
  • Penggunaan halal tidak lagi berhajat kepada penggunaan haram.
  • Apa yang membawa kepada perkara yang haram, hukumnya haram.
  • Haram membuat tipu helah untuk perkara yang haram.
  • Niat yang baik tidak boleh membersihkan yang haram.
  • Memelihara diri dari perkara yang syubhah, iaitu yang samar-samar.
  • Sesuatu yang haram itu tetap haram kepada semua.
  • Darurat membolehkan sesuatu yang dilarang.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 15-1-2019 07:25 PM | Show all posts
Kelapan: Hadis ini menjelaskan bahawa daerah dan ruang lingkup perkara yang halal adalah sangat luas. Bahkan, ia lebih luas daripada daerah perkara yang haram. Hal ini dapat difahami daripada perumpamaan Rasulullah SAW yang membandingkan perkara haram seumpama kawasan larangan. Oleh itu, selain kawasan larangan tersebut ialah kawasan halal. Demikianlah betapa besar dan luasnya daerah perkara halal berbanding perkara haram.



Hadis Kedua: Daripada Abi Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا"، وَقَالَ تَعَالَى: "يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ" ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟"

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan frman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baikbaik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:25 PM | Show all posts
Antara istifadah daripada hadis di atas ialah:

Pertama: Tayyib bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 3/535)

Kedua: Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Bahawa seorang mukmin itu semuanya baik hati, lidah dan tubuh badannya lantaran iman yang terdapat di dalam hatinya, zikir yang lahir pada lidahnya dan amalan soleh yang lahir daripada seluruh anggotanya yang merupakan hasil daripada keimanan bahkan ianya termasuk di dalam pengertian iman.”

Ketiga: Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Mukminun: 51)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Dikehendaki dengan ayat ini bahawa para Rasul dan umat mereka diperintahkan untuk memilih makanan yang baik yang halal dan beramal dengan amalan soleh. Ini kerana, apabila makanan itu halal maka sudah tentu amalan soleh akan diterima oleh Allah.”

Al-Maraghi berkata: “Walaupun perintah ini ditujukan kepada para Nabi, namun umat juga disaran untuk mengikuti mereka. Ini seolah-olah Allah SWT berfirman kepada kita: Wahai kaum muslimin yang berada di seluruh pelusuk bumi, makanlah makanan yang halal, bersih dan baik. Yang halal ialah yang tidak mengandungi penderhakaan kepada Allah, manakala yang bersih ialah tidak mengandungi perkara yang dapat melupakan Allah, yang baik pula ialah dapat menahan nafsu dan memelihara akal. Oleh itu, kerjakanlah amal soleh.”

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:25 PM | Show all posts
Pengenalan Tajuk

Perbadanan Pembangunan Industri Halal, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mentakrifkan ‘halal logistik’ sebagai pergerakan barangan dan perkhidmatan bermula dari ladang kepada pengguna yang selamat daripada bahaya pencemaran keselamatan makanan dan pencemaran silang dengan bahan-bahan atau produk tidak halal.[1] Manakala ‘rantaian bekalan halal’ merujuk kepada rangkaian syarikat bermula daripada pembekal sehingga pengguna, yang mana setiap syarikat tersebut memiliki niat bersama untuk mengintegrasi bekalan dan permintaan melalui usaha yang tersusun. [2]



Isu Revolusi Industri 4.0

Revolusi Industri 4.0 yang sedang berlaku sekarang menekankan aspek penggunaan teknologi baharu dan kemudahan layan diri dalam pembuatan dan pemasaran produk. Begitu juga dengan penggunaan teknologi yang melibatkan Big Data (Data Besar) dan Artificial Intelligence (Kecerdasan Buatan) dalam perkhidmatan yang meminimumkan penglibatan manusia dalam operasi pengumpulan dan perkongsian data. Teknologi internet yang semakin laju dan teknologi Cloud Storage (Storan Awanan) telah memberikan potensi dan anjakan yang besar kepada globalisasi membuatkan operasi perniagaan mempunyai rangkaian yang lebih besar dan penggunaan yang lebih optimum berbanding Revolusi Perindustrian 3.0 yang lebih bersifat pengenalan kepada komputer dan mesin elektronik. [3]

Fakta ini pernah dititah oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Seminar Halal Dunia 2018 yang dianjurkan di Kuala Lumpur, pada 5 April 2018, bahawa pemain industri halal perlu beradaptasi dengan teknologi-teknologi baru untuk kekal maju dan berdaya saing. Baginda bertitah, bahawa kegagalan syarikat-syarikat dan industri-industri sewaktu fasa Revolusi Perindustrian 3.0 adalah berpunca daripada gagal beradaptasi dengan teknologi baharu yang muncul akibat perubahan dunia yang pesat dan transformasi ekonomi pada peringkat global. Pemain industri halal juga perlu mengambilkira peningkatan standard kehidupan, isu keselamatan dan privasi pengguna seperti skandal yang melibatkan Big Data, dan pertambahan penduduk sebagai cabaran dan potensi mereka untuk berkembang pada peringkat antarabangsa. Beliau juga bertitah bahawa industri halal tidak lagi terhad pada penghasilan makanan yang halal, sebaliknya merangkumi juga aspek perdagangan yang berteraskan Syariah seperti industri rawatan dan kesihatan, industri kosmetik, industri perlancongan dan juga industri pembiayaan kewangan seperti sukuk dan takaful.[4]

Memahami realiti ini, pasti pelbagai cabaran baru yang muncul dalam industri halal pada peringkat negara dan antarabangsa. Kepesatan perkembangan teknologi informasi dan internet bukan sahaja memberikan potensi dan peluang yang besar tetapi juga mendedahkan kepada cabaran yang baharu dan lebih kompleks.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam ucapannya dalam majlis Roundtable Discussion on Halal Logistics and Supply Chain (RTD HLSC) menyebut: “Memang tidak dapat dinafikan bahawa potensi industri logistik halal dan rantaian bekalan semakin meningkat dan merupakan industri yang amat penting serta relevan bagi Malaysia dan rantau sekitarnya termasuk negara-negara ASEAN. Faktor yang menyumbang terhadap peningkatan ini ialah jumlah populasi penduduk Islam dunia pada ketika ini, iaitu seramai 1.8 billion, dan angka ini akan terus bertambah sehingga 2.2 billion pada tahun 2030. Populasi penduduk Islam ini meliputi 28 peratus daripada jumlah penduduk dunia. Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal begitu tinggi sehingga boleh mencecah USD680 billion setahun. Jelas sekali, peluang dan potensi untuk pertumbuhan industri logistik halal dan rantaian bekalan begitu sangat besar dan astronomical.”

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:26 PM | Show all posts
Cabaran-Cabaran Terkini Kepada Industri Halal

1. Isu Keselamatan Data Peribadi dalam Fenomena Big Data

Antara isu yang dibangkitkan dalam Big Data Analytics; adakah bermoral dan beretika dari perspektif Islam untuk mengumpul data-data peribadi dan demografi pengguna melalui sumber-sumber yang pelbagai untuk digunakan dalam penggubalan polisi atau dasar, dalam konteks semasa, syarikat-syarikat dalam rangkaian rantaian bekalan dan logistik halal?

Memandangkan penggunaan Big Data telah digunakan secara meluas di serata dunia dalam pelbagai industri, industri halal juga pastinya akan turut sama terjun ke dalam bidang ini. Data-data pengguna dari sudut jantina, demografi, kecenderungan dan minat akan diambil kira untuk mengoptimumkan keuntungan industri. Namun demikian, persoalan hak kerahsiaan dan privasi pengguna mestilah dititikberatkan dan tidak wajar dikesampingkan demi meraih keuntungan dan pertumbuhan.

2. Penggunaan Teknologi Blockchain

Teknologi blockchain yang sedang hangat diperkatakan pada masa sekarang merupakan satu sistem penyimpanan maklumat yang bersifat lejer terbuka (open ledger) di mana rekodnya boleh diakses secara bebas oleh pengguna.

Hakikatnya, teknologi blockchain memiliki potensi yang sangat besar kepada industri halal. Ini kerana, sebagai contoh, sijil halal yang dijana oleh teknologi Blockchain tidak boleh dipalsukan tanpa meninggalkan kesan sehingga ia mudah untuk dijejaki oleh pihak berkuasa dan regulator sekiranya berlaku aktiviti yang mencurigakan. Ini memberikan keyakinan pelabur, pemain dan pengguna terhadap kemampuan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Namun teknologi blockchain sebenarnya masih baharu, dan ia tidak terlepas daripada kritikan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa teknologi ini tidaklah kebal daripada pemalsuan seperti yang didakwa.

3. Penggunaan Mesin yang Berasaskan Kecerdasan Buatan

Sebagai contoh, antara yang dilaporkan oleh media, seorang pensyarah penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia telah berjaya membangunkan Syariah-Compliant Automated Chicken Processing System yang merujuk kepada mesin yang mampu memproses ayam secara automatik mengikut standard Syariah. Ia menggunakan teknologi kamera terkini yang benar-benar memastikan proses penyembelihan mengikut garis panduan penyembelihan yang betul.

Namun begitu, cabarannya pastilah merupakan sumber modal dan kapital yang akan menelan belanja yang besar. Pelabur dan pemodal pastinya ingin melihat sejauhmana industri ini mampu berkembang lebih jauh.

4. Meminimumkan Penggunaan Tenaga Manusia

Revolusi Industri 4.0 meminimumkan penggunaan tenaga manusia dan lebih menumpukan penggunaan tenaga mesin dan robot. Ini berkemungkinan wujudnya lambakan tenaga manusia mahir dan tidak mahir yang bakal berdepan cabaran kehilangan pekerjaan yang telah diambil alih tenaga mesin.

Justeru, para pemikir dan pemain industri perlu memikirkan dan mencetus satu industri baharu bagi menangani masalah ini, seterusnya mengatasi lambakan tenaga kerja. Ini juga membuka ruang kepada penerokaan idea-idea baharu yang bakal melonjakkan lagi industri halal dari sudut populariti dan pertumbuhan.

5. Isu Keyakinan Kepada Sijil Halal JAKIM dan Fenomena Boikot Barangan Bukan Islam

Konsep logistik dan rantaian bekalan dalam industri halal tidak lagi terhad kepada industri yang diusahakan oleh orang Islam sahaja. Ia sudah berevolusi kepada industri yang berasaskan nilai yang boleh juga diusahakan oleh pemain bukan Islam, selagi mana menepati garis panduan Syarak yang dibuat oleh pihak berautoriti. Antara isu yang pernah dibangkitkan ialah isu boikot McDonald yang pernah melanda negara kerana tuduhan menyumbang kepada ekonomi Israel melalui jualan. Sedangkan, rangkaian restoran berkenaan di Malaysia merupakan pemegang sijil halal yang sah dan sentiasa dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Isu ini sebenarnya berbangkit daripada persepsi masyarakat yang begitu prihatin terhadap diskriminasi yang berlaku terhadap negara Palestin yang menyebabkan sebahagian NGO mengambil langkah mengempen boikot barang-barang keluaran syarikat yang dikaitkan dengan Israel termasuk Amerika. Namun, apabila pihak McDonald bertindak ingin menyaman pihak-pihak yang berkempen boikot berkenaan, mereka telah menarik balik tuduhan tersebut.

Begitu juga dengan trend memboikot barang-barang buatan bukan Islam yang dijanakan oleh sebahagian pihak, termasuk kepada orang Islam yang membuat syarikat dengan rakan kongsi bukan Islam. Sekalipun memiliki sijil halal dan menggunakan selebriti Muslim, persepsi politik golongan berkepentingan yang mendakwa bangsa tertentu ingin menguasai ekonomi Malaysia. Sekalipun memiliki unsur perkauman dalam kempen tersebut, ia memberikan gambaran bahawa keyakinan kepada JAKIM itu agak tergugat sebagai regulator industri halal walaupun hakikatnya masalah persepsi dan politik adalah suatu isu yang subjektif, kompleks dan sukar untuk mendapat kata sepakat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 15-1-2019 07:26 PM | Show all posts
Kesimpulan

Tuntasnya, cabaran-cabaran yang muncul kesan daripada Revolusi Industri 4.0 ini sebenarnya merupakan peluang-peluang keemasan yang perlu digunakan sebaiknya oleh pemain industri halal. Namun beberapa isu perlu diberi perhatian:

Aspek hak kerahsiaan pengguna dalam aplikasi Big Data Analytics.
Penggunaan teknologi blockchain dan kemampuan sebenarnya mengatasi pemalsuan sijil halal.
Penggunaan mesin yang berasaskan kecerdasan buatan dan ketepatannya dalam penyembelihan.
Penggunaan teknologi mesin dan robotik mampu meningkatkan efisiensi kerja, tapi menyebabkan pengangguran.
Cabaran terhadap JAKIM dalam membina keyakinan pengguna terhadap sijil halal yang dikeluarkan, dan menangani persepsi masyarakat terhadap integriti badan halal.
Pada masa kini, kita dapat menyaksikan trend penerimaan produk dan perkhidmatan halal oleh negara-negara bukan Islam seperti Brazil, Jepun, Thailand, Korea Selatan, Australia dan China atas faktor keyakinan terhadap kesucian, kebersihan (hygiene) dan kualiti. Bahkan buat masa ini, negara Korea Selatan sedang dalam usaha untuk meningkatkan kualiti makanan halal dan bilangan restoran yang menawarkan makanan halal bagi memberi keselesaan kepada pelancong-pelancong beragama Islam yang semakin bertambah terutama dari Timur Tengah dan negara-negara Asia Tenggara.

Malah, negara-negara di rantau ASEAN (ASEAN Economic Council-AEC) sedang dalam perbincangan untuk menyeragamkan pensijilan halal yang sedia ada. Penyeragaman ini dapat menempatkan industri dari segi kualiti ke tahap premier; sekali gus membangunkan negara-negara ASEAN untuk turut menjadi industri halal ASEAN setanding dengan negara-negara yang menerajui industri halal tertentu seperti daging lembu halal dari Australia, daging kambing dari New Zealand dan sebagainya. Saya bangga menyatakan Malaysia juga merupakan satu daripada pembekal utama (main player) untuk produk-produk seperti makanan yang diproses.

Semoga industri halal di Malaysia dan juga pelaksanaannya berada pada tahap yang terbaik dan menjadi rujukan kepada seluruh negara dan pemain-pemain industri halal di dunia.





Nota Hujung:

[1] http://www.hdcglobal.com/publisher/halal_park_logistics

[2] Jaafar, H. S., Faisol, N., Rahman, F. A., & Muhammad, A. (2016). Halal Logistics Versus Halal Supply Chain: A Preliminary Insight. In Contemporary Issues and Development in the Global Halal Industry (pp. 579-588). Springer, Singapore.

[3] https://www.forbes.com/sites/ber ... nyone/#43f528059788

[4] http://www.theborneopost.com/201 ... le-in-industry-4-0/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 08:55 PM GMT+8 , Processed in 0.060784 second(s), 38 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list