Di saat satu negara kecoh dengan fenomena tudung 'terbang' di kalangan artis, ada artis yang sudah mula berhijrah. Antaranya ialah Nur Jihan binti Muse atau lebih dikenali sebagai Jihan Muse.
Jihan ialah seorang pelawak wanita, hos dan juga pelakon yang kini merupakan antara yang paling panas dan paling popular. Sebelum menyertai program Raja Lawak, Jihan pernah menyertai teater pentas terlebih dahulu.
Kredit foto: IG Jihan Muse
Menurut Jihan yang berusia 36 tahun itu, dia mula mengenakan skaf kepala ketika menyertai Misi Kemanusiaan di Palu, Indonesia. Ketika itu, foto berkenaan mendapat perhatian peminat dan ramai yang mendoakannya untuk mula bertudung.
Jihan juga semakin berkobar-kobar untuk bertudung apabila #10yearschallenge mula trending di media sosial, yang membandingkan fotonya semasa 2009 dan 2019, membuatkan dia terdetik untuk mula berubah.
Kredit foto: IG Jihan Muse
Selain itu, Jihan juga ada menonton kisah penghijrahan Mizz Nina dan tertarik untuk melakukan perubahan pada dirinya dan menjadi insan lebih baik.
Menurut Jihan lagi, dia sudah lama ingin bertudung tetapi terlalu banyak halangan yang datang menyebabkan niatnya itu tertangguh.
Bagaimanapun, Jihan mendedahkan dia tidak mengisytiharkan dirinya sudah menutup aurat sempurna kerana ia adalah suatu perkara subjektif. Jihan akui dia masih tidak mengikut cara berhijab dengan betul kerana hanya mengenakan skaf setakat ini.
Justeru, dia lebih selesa mengatakan bahawa dia sudah mula menutup kepala, dan bukan menutup aurat sepenuhnya lagi.
Kredit foto: IG Jihan Muse
Ketika melancong ke Jepun baru-baru ini bersama keluarganya, Jihan juga dilihat memuat naik foto-fotonya mengenakan skaf kepala.
Semoga dengan penghijrahan Jihan ini, dia akan lebih istiqamah dan akan terus berusaha untuk jadi yang terbaik. Mudah-mudahan orang sekeliling memberikan semangat buat Jihan dan tidak hanya tahu mengkritik sahaja. - CARI
Kredit foto: IG Jihan Muse |