Bayangkan situasi ini - anda terlupa untuk memperbaharui cukai jalan (road tax) sehinggalah anda terlihat ada sekeping sampul surat yang setelah dibuka, mengandungi wang tunai sebanyak RM150 beserta sekeping nota meminta supaya cukai tersebut diperbaharui.
Pasti anda berasa was-was dan seakan tidak percaya kan?
Namun, inilah yang berlaku kepada seorang netizen, Nur Aqeela yang menceritakannya kembali di media sosial.
Kredit foto: Twitter & FB
Menurut Aqeela, kereta satria tersebut jarang digunakannya kerana sentiasa bermasalah. Jadi, kenderaan utamanya ialah motosikal untuk berulang-alik bekerja. Bagaimanapun setelah dua minggu tidak menjenguk kereta tersebut, dia akhirnya menghampiri kereta itu sekadar untuk menghidupkan enjin, namun terperanjat apabila melihat beg kecil di sebelah 'wiper'. Dengan keadaan terperanjat, Aqeela menuju ke arah rakannya lalu meminta mereka untuk membuka bungkusan tersebut. Alangkah terkejutnya apabila melihat tiga keping RM50 berada dengan sekeping nota.
Twitter
Menurut Aqeela, pemberi wang tersebut mungkin pernah terserempak dengannya kerana dapat mengenali habitnya yang akan menghidupkan kereta tersebut sekali-sekala. Malahan, Aqeela turut menceritakan yang rakannya pernah ternampak bungkusan yang sama sebelum ini, tetapi rakannya itu membuang kerana ingatkan itu adalah sampah. Nampaknya niat pemberi wang dimakbulkan kerana kali ini dia sendiri yang menyedarinya.
Ada netizen secara bergurau menyatakan yang pemberi wang tersebut sebenarnya mempunyai perasaan kepadanya hingga menyebabkan duit tersebut diletakkan walaupun menyedari risikonya.
Bagaimanapun, ada juga yang mengatakan ianya hanya kisah rekaan semata-mata kerana tiada bukti jelas mengenai peristiwa tersebut. Namun Aqeela dalam status terbarunya menegaskan yang itu adalah kisah benar. Terpulang kepada pembaca sama ada untuk mempercayainya atau tidak.
Masih ada orang yang baik di dunia ini. Mungkin si pemberi wang berasa puas hati dapat menolong mereka yang memerlukan. Jadi, kisah dongeng atau tidak terpulang kepada diri masing-masing. - CARI
|