CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13456|Reply: 92

Puasa dan raya - zaman dulu-dulu

[Copy link]
Post time 24-5-2019 01:14 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Syd at 24-5-2019 01:18 PM

Bulan puasa, dulu-dulu

OPINION  |  FAISAL TEHRANI
Diterbitkan Hari ini 9:15 pagi  |  Dikemaskini Hari ini 9:15 pagi





Bagaimanakah orang Melayu berpuasa dulu-dulu?

Terdapat tiga petunjuk nyata bulan puasa, yang membezakannya dengan bulan-bulan lain. Za’ba, ilmuan dan pujangga besar Melayu ada merakam suasana berpuasa dalam beberapa nota kecilnya untuk majalah Qalam yang kemudian disusun oleh AH Edrus dalam sebuah buku.

Petanda pertama bulan puasa adalah sembahyang tarawih. Za’ba menulis mengenainya begini; “Sa-telah Sha’ban habis, tiba bulan puasa, dan suasana pun telah berubah pula. Malam puasa di-buat beramai2 di-surau atau di-masjid dan di-lakukan sasudah sembahyang ‘Isha. Sembahyang ‘Isha itu di-mulai dari hilang chahaya senja merah di-tepi langit. Sa-telah sembahyang ‘Isha maka mereka pun beramai2 Sembahyang Tarawih – ia-itu sembahyang yang di-galakkan membuatnya pada bulan puasa. Sembahyang ini di-jalankan malam ia-itu sa-lama sa-bulan di-dalam bulan puasa.”

Ini menjelaskan kepada kita acara sembahyang tarawih ini telah pun dilaksanakan sejak lama dan turut direkodkan dalam pantun orang Melayu, seperti dapat ditemukan dalam koleksi pantun Melayu di Riau:

Bulan puasa orang tarawih,
Berbuat amal bekal akhirat;
Putus cinta hatiku sedih,
Dunia ini serasa kiamat

Khazanah pantun Melayu Riau juga turut merakamkan satu lagi aktiviti bulan puasa;

Bulan puasa orang mengaji,
Duduk tadarus bersama-sama;
Putus cinta pusanglah hati,
Badan kurus hidup merana.

Petanda kedua seperti yang disebutkan di atas adalah suasana ‘bertadarrus’, yang mana menurut Za’ba dilakukan santak waktu berbuka iaitu sekitar pukul 3 pagi; “Sa-sudah mereka Sembahyang Tarawih biasanya mereka berihat sa-bentar. Kemudian tampil-lah ka-muka pemuda2 dan orang2 tua berkeliling di-dalam suatu keliling yang besar untok membacha Qur’an berganti2. Membacha Qur’an berganti2 ini di-sebut bertadarrus. Ini di-jalankan hingga jauh malam. Di-kampong2 terutama-nya di Kedah dan juga di-Kelantan bertadarrus ini di-jalankan hingga sampai makan sahor, makan malam yang dibuat lazimnya pada pukul tiga pagi.”

Za’ba menambah, acara bertadarrus ini apabila masuk sepuluh malam terakhir akan mulai menjadi meriah apabila “ahli2 bachaan Qur’an di-jemput dari jauh supaya datang ka-tempat mereka untok di-dengar bachaan-nya”. Acara mengaji ini sedikit istimewa berbanding dua puluh malam sebelum kerana lagu tertentu untuk membaca al-Quran tersebut diudarakan iaitu lagu Rakabi dan lagu Nahwan.

Za’ba seterusnya mencatit, di Kedah acara di bulan puasa ini jauh lebih meriah berbanding negeri lain. Dan orang Kedah tidur pada hari siang dan berjaga pada malamnya. AH Edrus penyusun buku yang menghimpunkan nota-nota Za’ba antara tahun 1951 ke 1954 ini turut mengiyakan lantaran beliau pernah bersahur dengan Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama pada pukul 3 pagi di Kedah.

Za’ba secara deskriptif memperihalkan kegiatan orang Melayu pada malam bulan puasa ini berbeza dengan malam pada bulan bukan Ramadan. Ini menunjukkan sembahyang tarawih itu menggantikan kegiatan lainnya.

Menurut Za’ba pada bulan biasa, orang Melayu akan duduk mengaji kitab Mutla’ul Badrain di surau, kerana “mestilah berguru – tidak boleh di-bacha sendiri sahaja”; tetapi dukacitanya mengaji yang dimaksudkan oleh Za’ba ini tidak pun menambahkan ilmu dan hanya sebagai satu rutin biasa: “…murid yang berkeliling itu mendengar sahaja yang di-bacha oleh tuan guru itu. Mereka tidak menanya atau menyo’al apa2 yang dikatakan oleh tuan guru itu. Kalau mereka menyo’al atau menanya maka ia akan di-pandang sa-bagai biadab kapada guru. Kerana ini faham ta’ faham akan apa yang di-bacha itu tidak-lah menjadi so’al. Mereka belajar bukan menchari faham tetapi ianya menchari pahala belajar. Kerana itu jarang benar ada di-antara mereka yang beroleh ilmu daripada belajar.”

Dalam hal ini, Za’ba ingin menyatakan bukanlah asing orang Melayu itu berhimpun di masjid atau surau pada malam hari, cuma yang berbeza adalah pada bulan puasa, orang Melayu lebih menumpukan sembahyang dan bertadarrus berbanding “mengaji” atau belajar.

Petikan di atas juga sangat penting untuk dihayati oleh orang Melayu-Islam memandangkan ia juga mengisyaratkan orang awam Melayu “kurang mengerti agama” dan lebih cenderung kepada upacara. Hal ini sejajar dengan rakaman residen British, Frank Swettenham yang menulis; “It is unlikely that the Malay has ever been a religious bigot, it is not in his nature; and though he is a professing Muhammadan and ready to die for a faith which he only dimly understands, he has never entirely abandoned the superstitions of his earlier days.”

Kembali kepada suasana berpuasa, Za’ba juga menceritakan pada tahun 1948/1949 acara berbuka puasa ini dibuat di masjid dengan masing-masing orang kampung membawa makanan ringan berbentuk kuih-muih sebelum pulang untuk makan sesuatu yang lebih berat. Orang kampung akan berhimpun semula untuk sembahyang tarawih dan bertadarrus ini. Za’ba menyatakan jangka masa sembahyang adalah sekitar satu jam dan yang lama adalah acara bertadarrus yang tamat antara jam 2 pagi ke 4 pagi.

Oleh sebab itu pada hari siang, orang Melayu hanya di rumah dan tidak melakukan aktiviti pekerjaan seperti biasa, Za’ba menulis begini; “everybody keeping the fast stays at home, and does as little physical work as possible.” Orang Melayu di desa dan bandar memang menanti-nanti bulan puasa kerana kelainan ini.

Petanda ketiga bulan puasa menurut Za’ba adalah malam Tujuh Likur (malam 27 puasa atau bulan Ramadan) yang mana Za’ba ada menulis mengenai hal ini untuk Royal Asiatic Society pada tahun 1948 dan diterbitkan pada tahun 1949. Nota atau makalah kecil Za’ba itu bertajuk “Malay Festivals and Some Aspects of Malay Religious Life”. Za’ba menjelaskan terdapat satu jangka masa ringkas pada malam tersebut yang merupakan satu momen yang apa sahaja doa atau hajat akan dimakbulkan. Waktu sekejap tersebut akan ditandai oleh hal atau insiden aneh seperti pokok yang bersujud, atau air di dalam perigi menjadi beku meskipun tiada musim salji. Ia dinamakan Laylatu’l-Qadar:

“…it is marked by miraculous occurrences in the surrounding world of nature: trees are seen to prostrate to earth in homage to God, and water in the wells and rivers becomes ice with no connection whatever with winter. The spectacle may be a spiritual illusion, but it has indeed been seen by many blessed souls and prayers made during this brief moment are known to have been literally answered and granted.”

Za’ba menyatakan moyangnya Haji ‘Amil dari Linggi pernah mendapatkan momen Laylatu’l-Qadar ini tetapi kerana kesuntukan masa, hanya sempat berdoa agar kelima-lima anak lelakinya diberi peluang menunaikan haji yang mana menjadi kenyataan kemudian.

Sepanjang malam sepuluh terakhir ini, pelita dan punjut akan dipasangkan sepanjang malam agar kekal menerangi kawasan kampung dan halaman rumah sehingga ke pagi.

Terdapat serangkap pantun yang menjelaskan kepentingan malam Tujuh Likur yang mana ia dikaitkan dengan hari kedua puluh tujuh;

Dua puluh tujuh bilangan bulan,
Tujuh likur bulan puasa;
Sudah patut dibalas Tuhan,
Kerana kita orang derhaka.

Jonas Daniel Vaughan dalam satu artikel bertajuk “Notes on the Malays of Pinang and Province Wellesley” yang diterbitkan pada tahun 1857 untuk Journal of the Indian Archipelago menyatakan hari ke 27 puasa ini juga saat dinantikan oleh Imam, khatib, bilal dan siak masjid kerana ini adalah saatnya orang kampung menyerahkan beras ke masjid dan jumlah keseluruhan tersebut dibahagi-bahagikan antara ‘orang masjid’ ini.

The priests and their attendants receive no fixed salaries but are paid from the revenue of the mosque and receive presents at each rite or ceremony from those at whose request it is performed. On the 27th day of the fast month, a collection of rice is made from each householder, and the quantity collected is divided between the Imam and his assistants.”

Terdapat kemungkinan agihan yang dinyatakan di atas adalah kutipan zakat fitrah, dan ada juga kemungkinan staf masjid memainkan peranan amil dan mengambil bahagian masing-masing yang mendatangkan kekeliruan kepada penulis. Pun, jika benar, ia juga menjolok mata menunjukkan hubungan laba keuntungan, massa dan agamawan tidaklah sederhana, dan mudah tergelincir sifat dan peranannya sejak dahulu lagi.

Untuk nota, pada tahun 1968 pula terdapat satu pertikaian yang penting mengenai penetapan tarikh berpuasa. Ini kerana dipercayai orang Islam di Malaysia telah berpuasa sehari lebih awal kerana mereka yang ditugaskan melihat anak bulan telah melihat “bulan tua Sha’aban” dan bukannya anak bulan Ramadan.

Hal ini secara logiknya dapat diserlahkan gara-gara kecuaian para agamawan memandangkan ucapan pengisytiharan tarikh awal puasa tersebut sendiri menyatakan kecuaian ini; “Pemegang Mohor besar Raja2 Melayu telah mengishtiharkan bahawa anak bulan telah kelihatan di-Telok Kemang, Negeri Sembilan, pada pukul 6.05 petang hari ini. Oleh itu puasa akan bermula pada esok hari, hari Khamis bersamaan 21 haribulan November, 1968.”

Harus dinyatakan di sini, matahari masuk pada pukul 6.28 petang dan masa melihat anak bulan itu ternyata lebih awal; justeru yang dilihat adalah “bulan tua Sha’aban” dan bukannya anak bulan Ramadhan.

Kecuaian ini mendapat kecaman hebat antara lain oleh Ahmad Daud yang menulis dalam Dewan Masharakat pada tahun 1968:

Keraguan saya telah terbukti pada tahun ini. Mereka yang di-suroh oleh To’2 Kadhi menengok anak bulan telah menunjokkan bahawa mereka tidak dapat membedzakan yang mana ‘anak bulan’ dan yang mana ‘bulan tua’. Pada sangka mereka asal nampak bulan sahaja sudah-lah chukup dan itu-lah ‘anak bulan’ Ramadhan. Mereka sembahkan kapada pehak yang berkuasa, dan kelihatan ‘bulan tua’ Sha’aban ini terus di-hebahkan dengan radio dan talivishen sa-bagai kelihatan ‘anak bulan’ Ramadhan dengan tidak di-semak baik2 terlebeh dahulu.
Dengan itu berpuasa-lah orang2 Islam di Malaysia pada hari Khamis 21 haribulan Noveber 1968, ia-itu satu hari terdahulu daripada awal Ramadhan. Ini-lah satu daripada akibat2 menengok bulan oleh orang2 yang tidak ada latehan dalam jurusan Asteronomi. Perkara yang sa-macham ini tidak boleh mendatangkan nama baik kapada chara berfikir dan kechekapan Ketua2 Ugama Islam di-Malaysia. Indonesia yang mendudoki wilayah yang sama dengan Malaysia di-muka bumi ini, mula berpuasa pada hari Juma’at 22 haribulan November 1968.”

Saya menyebutkan pertikaian di atas kerana ia menunjukkan kebebasan, keberanian dan kesediaan orang awam untuk mencabar pihak berkuasa agama dulu-dulu (pada tahun 1968), dan tidak hanya bersikap submisif. Tambah pula keterbukaan media, termasuk lidah dan wahana rasmi pemerintah seperti Dewan Masharakat yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka memberikan ruang untuk kaum agamawan dikritik dengan tajam sekali.





FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-5-2019 01:18 PM | Show all posts
terbaca artikel nih tadi. dan teringat pulak kenangan waktu kecik-kecik. puasa nenek arwah nenek, moyang etc.

situasi di kampung ketika itu.

lepas tu teringat pulak kisah raya awal etc tu.

ada terbaca artikel tu jugak.

kejap lagi letak.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2019 01:22 PM | Show all posts
SATURDAY, AUGUST 22, 2009

Nostalgia Bulan Puasa Di Desa

A Kadir Jasin


SAMBIL menanti waktu berbuka puasa, teringat saya kepada bulan puasa ketika kanak-kanak dulu.

Bagi pembaca dan pembahas yang segenerasi dengan saya atau yang 10 hingga 15 tahun lebih muda dan berasal dari kampung tentu masih ingat keistimewaan bulan puasa.

Mula-mula sekali debaran menunggu pengumuman puasa. Waktu itu kalau tengok anak bulan, memang tengok betul-betul. Kalau tak nampak anak bulan Ramadan, tak mula puasa.

Di pedalaman Kedah bukan mudah hendak dapat berita fasal tidak ramai orang ada radio. Salah satu kaedah menghebahkan puasa dan waktu puasa adalah dengan tembakan meriam di Alor Star.

Kerana waktu itu belum banyak kenderaan dan tidak hingar bingar macam sekarang, bunyi letupan meriam di Alor Star boleh didengar berpuluh kilometer jauhnya, apatah lagi kalau waktu air pasang besar.

Ada kalanya lain kampung lain hari permulaan puasa dan hari raya akibat tidak dapat berita atau kerana “fatwa” tok guru tempatan. Ada yang ditangkap Jabatan Agama Islam kerana tidak ikut arahan mula berpuasa dan beraya.

Waktu petang saya dan kawan-kawan seusia berbasikal berkilometer jauhnya untuk membeli air batu ketul yang paling murah. Kami berebut memilih ketul paling besar. Supaya lambat cair, ketul ais itu diseliputi habuk kayu atau sekam dan dibungkus dengan kertas surat khabar. Untuk lebih tahan, kami membalutnya pula dengan guni.

Waktu berbuka paling nikmat. Minum air serbat dan makan nasi serta kuih-muih sampai perut menggelembung macam belon dan jatuh terlentang.

Lepas itu kalau ada tenaga atau disuruh ibu bapa, kami berbasikal ke masjid untuk solat isyak, terawih (atau tarawih) - mengikut Kamus Dewan - dan makan moreh.

Kalau hari cuti atau ketika cuti sekolah dan dibenarkan ibu bapa kita tinggal di masjid untuk pukul gendang raya bila sampai waktu bangun bersahur.

Apabila bulan puasa jatuh ketika musim menuai, maka ramailah petani yang membanting padi pada waktu malam di bawah cahaya bulan atau lampu “goslin” (gasoline) kerana siang terlalu panas dan kehausan berpuasa.

Lagipun berbuka puasa sangat meriah kerana adik beradik ramai. Bersama ayah dan emak, bilangan kami menjadi 10. Makan mesti berebut kalau ayah dan emak tak nampak. Masing-masing takut tak cukup.

Demikian nostalgia. Untuk semua Muslimin dan Muslimat selamat berbuka.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2019 01:26 PM | Show all posts
Sambut Ramadan zaman dulu memang ‘best'

Jumaat, 25 Mei 2018 10:30 AM
Oleh: AHMAD ABD HAMID




Disebabkan tiada pembesar suara di surau atau masjid, pukulan beduk dijadikan sebagai tanda masuknya waktu solat, ada kematian dan juga kedatangan bulan Ramadan. Gambar hiasan.

RAMADAN datang lagi, membawa bersamanya memori kemeriahan menyambut puasa ketika zaman kanak-kanak penulis di kampung, Bagan Datuk, Perak pada pertengahan tahun 60-an dan awal 70-an.

Pengumuman permulaan puasa dinanti penuh debaran. Ia bagai satu ujian kerana tidak ramai yang memilik radio ketika itu, apatah lagi televisyen. Oleh itu hebahan terus tidak dapat diketahui oleh ramai penduduk.

Bagi penduduk kampung penulis, secara tradisinya cara memaklumkan permulaan puasa ialah melalui pukulan ‘kentung’ (ketuk-ketuk) di surau. Ada juga tempat memanggil beduk.

Ini dilakukan setelah mendapat maklumat sahih, misalnya daripada penghulu atau ketua kampung.

Bunyi kentung

Atau penduduk kampung yang memiliki radio dan mendengar pengumuman akan memaklumkan kepada imam untuk dibuat hebahan. Setelah sahih tarikh mula berpuasa, kentung akan dibunyikan pada malam tersebut.

Pukulan kentung ini dalam nada berlainan daripada pukulan menandakan masuk waktu solat. Apabila  penduduk mendengar bunyi kentung khas ini mereka faham esok puasa bermula. Mereka yang sudah berada di surau pada malam itu akan terus menunaikan solat sunat Terawih.

Anak-anak muda juga akan pergi keliling kampung riuh rendah menguar-uarkan kepada penduduk bahawa esok puasa bermula. Suasana malam itu jadi meriah sekampung.




Batang kayu yang ditebuk tengahnya dipanggil kentung dijadikan sebagai alat komunikasi suatu masa dahulu. Gambar hiasan.

Sebenarnya kentung atau tabuh memainkan peranan penting sebagai alat komunikasi dalami kalangan penduduk kampung ketika itu. Selain menandakan masuk waktu solat, ia juga memaklumkan mengenai kematian.

Dalam bulan Ramadan fungsinya bertambah. Selain mengumumkan permulaan berpuasa, pada waktu Maghrib kentung dipalu menandakan waktu berbuka puasa dan solat Maghrib.

Bulan Ramadan menyerlahkan lagi suasana kemesraan dan hubungan mesra penduduk sekampung, khususnya dengan jiran berhampiran rumah. Apatah lagi dalam kalangan jiran ini pula saudara mara sendiri.

Tukar juadah

Seawal hari pertama puasa kemesraan ini sudah terserlah apabila aktiviti tukar menukar juadah bermula, sama ada lauk pauk atau kuih muih. Inilah tradisi kampung yang sudah jadi amalan tidak bertulis.

Penulis berperanan menjadi ‘perantara’ tukar menukar juadah ini. Emak akan meminta penulis menghantar juadah ke rumah tertentu. Ada kala terus mendapat balasan juadah daripada tuan rumah yang dihantar. Jika tidak… esok lusa mereka pula menghantar juadah.

Beginilah moleknya tradisi masyarakat kampung. Apa yang dimasak oleh satu keluarga dinikmati sama oleh keluarga lain. Bukan sahaja dapat saling rasa merasai makanan tetapi juga menambah erat hubungan.

image: https://www.mstar.com.my/lain-la ... 98800306.ashx?la=en



Kalau dahulu jiran-jiran lebih gemar menukar juadah berbuka puasa kerana tiada bazar Ramadan seperti zaman moden sekarang.

Seperti juga kebiasaannya, buah kurma ialah penyeri bulan Ramadan. Namun ketika itu tidak ada kurma yang dijual dalam kotak-kotak menarik dengan pelbagai jenama seperti sekarang.

Yang penulis ingat kurma didatangkan ke kedai runcit di kampung penulis dalam guni jute dan dijual secara timbang.

Kurma ini dikatakan datang dari India. Namun kualitinya tidak begitu baik. Ada yang keras separuh masak. Namun bagi penduduk kampung ketika itu hanya inilah sumber kurma yang mereka boleh dapat.

Air batu ketul

Dahaga di siang hari memang menginginkan minuman sejuk waktu berbuka. Tanpa bekalan elektrik (bekalan air juga tiada) ke kampung ketika itu, air batu ketul tidak dijual di kedai-kedai kampung atau kampung di sekitar.

Sebaliknya air batu ketul blok didatangkan dari Teluk Anson (Teluk Intan) di mana terdapat kilang air batu. Jarak Teluk Anson dari kampung penulis di Parit Serong, Bagan Datuk, ialah 40 kilometer.

i
Membuat pelita raya menggunakan buluh antara tarikan pada zaman dahulu dan masih diteruskan segelintir generasi muda sekarang.

Proses jual beli air batu ini dijalankan dengan seorang penduduk kampung bertindak sebagai  ‘tauke’. Biasanya orang yang sama setiap tahun. Dia akan berurusan dengan syarikat pembekal air batu berkenaan.

Setiap hari lori yang membawa blok air batu dari Teluk Intan ini akan menurunkannya di kedai kampung di tepi jalan utama Teluk Intan-Bagan Datuk. ‘Tauke’ pula sudah sedia menunggu.

Selepas menerima bekalan dia akan membawa blok air batu ini ke surau di kampung untuk disimpan. Ini kerana bekalan air batu ini dihantar lama sebelum waktu berbuka puasa dan perlu disimpan dengan baik untuk mengelakkan daripada cair segera.

Sistem penyimpanan mudah tapi berkesan. Air batu ini akan disalut dengan habuk papan gergaji yang tebal dan kemudian ditutup pula dengan guni. Ia akan tahan sampai waktu dijual pada sebelah petang.

Pembelian melalui tempahan awal, bukan waktu air batu mula dijual. Tempahan awal ini penting untuk ‘tauke’ menentukan berapa blok air batu perlu dipesan dari kilang. Hanya mereka yang membuat tempahan awal akan dapat, kecuali jika kebetulan ada lebihan.

Untuk memastikan lebih ramai boleh menempah, jualan juga dihadkan sekitar ‘sekupang’ (10 sen) atau ‘dua kupang’ (20 sen).

Menjelang petang pengagihan air batu kepada mereka yang menempah dibuat. Blok air batu  dipotong menurut saiz tempahan menggunakan gergaji. Saiz ketul ais pembelian ‘sekupang’ pun sudah agak besar, tambahan bagi saiz ‘dua kupang’.

Nilai ‘dua kupang’ dan ‘sekupang’ besar ketika itu. Banyak makanan masih boleh dibeli dengan harga lima sen.

Rumah akan menjadi cantik dengan hiasan lampu raya menggunakan minyak tanah.

Air batu yang dibeli dibungkus dengan surat khabar dan diselaputi serbuk papan bagi mengelakkan cepat cair. Sudah dapat air batu perlu segera balik ke rumah. Emak sedang menunggu untuk membuat minuman.

Air minuman biasanya sirap sahaja. Untuk menambahkan seri dan rasa, emak akan tambah dengan biji selasih. Ringkasnya sirap selasih. Untuk air panas ialah teh O.

Setelah segala hidangan disediakan, masing-masing menunggu kentung di surau berbunyi. Bagi keluarga penulis biasanya berbuka terus makan nasi. Jika ada kuih hanya dirasa sedikit. Selebihnya untuk sajian malam nanti.

Selepas selesai solat Maghrib, bersedia pula untuk pergi menunaikan solat Terawih. Rumah penulis di pedalaman memang jauh daripada surau kampung. Selalu penulis pergi bersama bapa dengan berjalan kaki. Dalam kegelapan malam kami menggunakan lampu minyak tanah atau obor daun kelapa.

Moreh

Waktu selepas solat Terawih memang ditunggu-tunggu terutama oleh kanak-kanak kerana ada ‘moreh ’.  Para jemaah membawa kuih muih untuk dinikmati bersama. Pihak surau pula menyediakan minuman.

Menjelang dua minggu berpuasa suasana nampak berbeza. Ketika itu persiapan membuat juadah hari raya bermula. Penulis ingat ketika itu emak sudah mula menjemur tepung, gula dan beras.

Tepung, gula dan beras ini akan ditumbuk dalam lesung, diayak bagi mendapatkan tepung lebih halus, juga gula halus serta tepung beras. Semua disediakan sendiri bukan dalam bungkusan siap seperti hari ini.

Tepung dan gula halus diperlukan untuk membuat kuih, contoh kuih bakar dan bahulu. Tepung beras diperlukan untuk membuat dodol.


Moreh antara aktiviti yang sering dilakukan selepas solat Terawih dan sentiasa dinanti-nantikan oleh kanak-kanak.

Kuih tradisi seperti bahulu dan kuih bakar bagai kemestian. Selain itu juga dodol dan wajik. Membuat dodol memang mencabar dan mengambil masa. Mula memasak pada pagi sehingga lewat petang baru selesai.

Memang letih mengacau dodol untuk memastikan ia benar-benar masak agar tahan lama apabila disimpan.

Membuat kuih juga ada jadual. Satu hari membuat kuih bahulu, hari lain membuat kuih bakar dan seterusnya. Semua tersusun sehingga Ramadan mencecah ke hujung.

Penghujung Ramadan suasana meriah makin terasa. Lampu panjut mula menyerikan kawasan sekeliling rumah. Di dalam rumah yang biasanya diterangi minyak tanah diserikan oleh cahaya lampu gasoline yang cahayanya menerjah terang hingga ke halaman rumah.

Bunyi mercun atau meriam juga mula kedengaran di sana sini. Kemeriahan Aidilfitri mula melanda seluruh kampung. Kemeriahan dan kegiran ini berterusan sehingga munculnya fajar Aidilfitri.

Begitulah meriahnya Ramadan suatu ketika dahulu namun suasana sebegitu sudah tenggelam ketika ini dek kerana perubahan zaman.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2019 01:34 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2019 02:13 PM | Show all posts
dulu2 punya puasa, raya mmg best la..tak tau la sebab ms tu budak kecik atau zaman tu mmg seronok..

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-5-2019 03:43 PM From the mobile phone | Show all posts
Bercakap pasai raya ni. Teringat dulu perak & johor pernah raya awal sehari

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2019 11:44 PM | Show all posts
dulu2 seronok puasa dgn raya sbb family msh ramai dan
sihat2 semua..seronok msk2 tgh mlm dgn arwah bapa
arwah kakek ,arwah makcik pakcik yg dah takde skrg ni..
rasa sedih lain mcm..raya dulu2 wajib konvoi semua rumah
adik beradik arwah bapa.sedara adik beradik mak pl mmg dtg
kat umah..skrg dah tak mcm dl..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 28-5-2019 07:36 PM | Show all posts
ye la dulu2 memang best...rebus ketupat dalam tin minyak tinggi tu, penutupnya ditanggalkan pakai penebuk susu...tenggek kat atas batu-bata dgn api bakar kat kayu..rebus mlm2 raya...yg pasti time tu dengar pengumuman dulu raya ke tak..lepas tau baru rebus..kalau tak, selamat la ketupat jadi juadah buka puasa esok, raya tak cukup pulak ketupat..dgn kuah lodehnya...hmmm sedapnya..

kuih baulu awal2 lagi kena enjut dalam pasu dengan pemukul...semua mcm nak ngelak je pukul telur, bukan kejap2 nak pukul...lenguh ooo tangan

Kui tart pulak part nak buat jem nenas tu yang berpeluh...

bab2 terap biskut raya dan bakar biskut raya paling best....pantang ada yg mcm nak hangus sikit...mak pulak dah bagi green light, yg hangus boleh ambik makan....masalahnya nampak coklat sikit pun cakap hangus..nak makan punya pasal

pagi2 berebut bangun paling awal...nak berebut bilik air nan satu ittew...belum subuh dah bangun..pastu sambung balik lelap2...yang penting dah mandi

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 12:47 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 12:53 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 12:57 PM | Show all posts




buat kuih pung gotong royong.

jiran tetangga
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 01:01 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 01:02 PM | Show all posts


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 01:03 PM | Show all posts


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 01:04 PM | Show all posts


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 29-5-2019 01:05 PM | Show all posts


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 01:06 PM | Show all posts


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 01:07 PM | Show all posts


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-5-2019 01:08 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-10-2024 01:33 AM GMT+8 , Processed in 0.065460 second(s), 42 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list