P. Rajagopal didapati bersalah pada 2004 kerana membunuh. Kredit foto: Rightlog India
Raja Tose dari India, P. Rajagopal meninggal dunia beberapa hari selepas beliau gagal dalam usahanya untuk mengelakkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh.
Memetik laporan The Guardian, pemilik rangkaian restoran global, Saravana Bhavan yang berusia 71 tahun itu menghembuskan nafas terakhir setelah mengalami masalah jantung di sebuah hospital di Chennai, India pada 17 Julai lalu.
Rajagopal yang berasal dari keluarga miskin menjadi kaya raya hasil kejayaannya mengusahakan rangkaian restoran vegetarian terbesar di dunia yang menghidangkan juadah istimewa selatan India seperti tose, vadei dan idli.
Tose yang dihidangkan di restoran Saravana Bhanan kelihatan lazat. Kredit foto: Trip Adivisor
Namun, reputasinya tercemar apabila beliau didapati bersalah di mahkamah 15 tahun lalu kerana membunuh suami kepada seorang wanita muda yang ingin dijadikannya sebagai isteri ketiga.
Wanita tersebut yang ketika itu berusia sekitar 20-an tetap setia dengan suaminya dan menolak lamaran Rajagopal.
Rajagopal seterusnya mengganggu, mengancam dan memeras ugut wanita itu serta mengupah seorang penembak untuk membunuh suaminya.
Cubaan membunuh itu gagal tetapi mayat lelaki terbabit kemudian ditemukan dalam kawasan hutan di Tamil Nadu.
Sejak dijatuhkan hukuman, Rajagopal cuba mengelak daripada memasuki penjara namun beliau telah diarahkan untuk menyerah diri minggu lalu.
Mendiang datang ke Mahkamah Tinggi Chennai dengan menaiki sebuah ambulans dan menggunakan alat bantuan pernafasan.
Rajagopal menggunakan alat bantuan pernafasan. Kredit foto: Times Now
Pada 2004, Rajagopal didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan apabila beliau membuat rayuan, tempoh pemenjaraannya ditingkatkan kepada seumur hidup.
Tidak diketahui apakah nasib wanita malang yang pastinya hidup menderita setelah suaminya terkorban angkara perbuatan Rajagopal yang terlalu mengikut nafsu. - CARI |