Sangat memalukan apabila lorong kecemasan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dikesan dijadikan lokasi untuk bercumbu dan memadu kasih oleh sesetengah pengguna jalan raya.
Harian Metro melaporkan tindakan tersebut yang meletak kenderaan sambil leka berpelukan boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna kenderaan lain.
Pun begitu, tindakan degil sesetengah pasangan ini akhirnya mengundang padah apabila dikompaun Bahagian Penguatkuasa Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara kelmarin.
Kredit foto: Harian Metro
Saman telah dikeluarkan yang berjumlah keseluruhannya RM4,800 kepada 16 pemilik kenderaan yang meletakkan kereta mereka di tepi lebuh raya itu.
“Mereka didapati melakukan kesalahan halangan di atas lorong kecemasan di situ dan tindakan penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan tanpa sebarang kompromi.
“Polis mendapati sejak akhir-akhir ini pengguna jalan raya tanpa segan silu berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di situ walaupun terdapat papan tanda amaran dilarang berhenti di kawasan terbabit,” kata Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - CARI |