KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pengakuan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa parti itu gagal meyakinkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menutup Lynas Corporation Ltd. (Lynas) membuktikan bahawa mereka hanya sekadar `hamba’ di dalam kerajaan.
Presiden MCA, Datuk Dr. Dominic Lau mengucapkan terima kasih kepada Guan Eng kerana telah mendedahkan betapa DAP tidak mempunyai sebarang kuasa di dalam Kabinet. Selain itu, ujarnya, situasi itu juga menunjukkan parti berkenaan walaupun memiliki enam orang menteri dan tujuh timbalan menteri masih gagal bersaing dengan parti minoriti dalam Pakatan Harapan (PH). “Kenyataan Guan Eng seolah-olah memberitahu semua orang bahawa DAP tidak kompeten, bagaimanapun saya berbangga dengan apa yang beliau katakan. “Beliau juga telah menunjukkan DAP dengan enam orang menteri dan tujuh orang timbalan menteri melutut kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Penuh dengan perhambaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Semalam, Guan Eng mengakui DAP tidak berjaya meyakinkan Dr. Mahathir untuk menutup operasi Lynas di Malaysia. Katanya, kenyataan itu sekaligus menolak dakwaan bahawa PH kini didominasi oleh DAP. – UTUSAN ONLINE
|