Dilema survival artis veteran - Nasib artis lama di negara ini jauh berbeza dengan apa yang ditekankan penggiat industri Hollywood. Semakin tua, mereka semakin dihargai dengan bayaran yang tidak pernah menyusut malah sering diberikan watak utama/penting.
Berbeza di Malaysia, semakin tua seorang artis, khidmat mereka seolah dilupakan. Malah jika ada tawaran diberi, sekadar menjadi tempelan muncul beberapa babak atau paling kerap diberi watak menjadi orang gaji atau hantu.
Bagi mereka yang bergantung sepenuhnya terhadap bayaran lakonan untuk menyara keluarga, susah untuk meneruskan kehidupan. Ada dalam kalangan artis veteran suatu ketika dahulu popular tetapi kini hidup susah berikutan tiada pendapatan tetap.
Pelakon senior Delimawati berasa sedih mengenangkan nasib segelintir rakan seperjuangannya yang berdepan kesukaran hidup ketika dihujung karier mereka.
"Kadang tu nak belanja pun tak ada duit, kita kasihan... jadi kita minta jaga kebajikan kami, ni nak duduk rumah pun tak ada, " katanya memetik laporan dari mStar.
Sebagai pelakon senior, mereka tidak menuntut dibayar dengan harga yang tinggi. Cukuplah ianya berbaloi dan setimpal dengan kerja yang mereka lakukan. Malah mereka tidak pernah 'demand' dan mutu kerja pelakon senior bukanlah cincai-cincai atau lebih kurang sahaja.
Artis lama seperti mutiara walaupun tidak digilap ia tetap bersinar dan berharga. Tetapi itulah dunia hiburan, ada naik dan turunnya juga. Artis veretan ini akan diingati dan diberi penghargaan apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini.
Delimawati terkejut tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular
Dalam perkembangan lain, pelakon yang berasal dari Perak yang popular dengan watak sebagai 'Hantu Kak Limah' akan bersaing dengan empat lagi pelakon popular iaitu Erra Fazira, Hannah Delisha, Mira Filzah dan Uqasha Senrose kerana turut tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH32).
Beliau bersyukur kerana turut tercalon dan mengharapkan kemenangan. Selamat Maju Jaya Delimawati.- CARI
|