KDN telah mengeluarkan perintah larangan terhadap komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama. Kredit foto: Facebook
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap komik kontroversi 'Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama' kerana mempunyai kandungan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan.
Perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) terhadap penerbitan komik tersebut dalam bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.
Memetik kenyataan KDN dalam laman Facebook rasminya, komik terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai itu didapati cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.
Kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia, Dr. Hew Kuan Yau turut terlibat dalam penerbitan komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama. Kredit foto: Facebook
Komik tersebut juga menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap gerakan pengganas itu.
"Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh/pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.
"Kandungan penerbitan ini dlilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini," jelas KDN.
Kekejaman pengganas komunis meninggalkan titik hitam dalam sejarah negara. Kredit foto: Carian Google
KDN menegaskan, kegiatan seperti mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki komik berkenaan adalah dianggap suatu kesalahan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebagai rakyat dalam negara berbilang kaum, sewajarnya kita sentiasa menjaga sensitiviti agar suasana harmoni yang dikecapi ini tidak terjejas. - CARI |