Seorang pelajar Radboud University sedang berehat di dalam lubang kubur. Kredit foto: Ruptly
Sebuah universiti di Nijmegen, Belanda menggunakan pendekatan yang luar biasa untuk membantu para pelajarnya menangani tekanan semasa peperiksaan.
Pelajar-pelajar Radboud University yang ingin meredakan tekanan boleh 'berehat' sebentar di dalam lubang kubur yang disediakan untuk tujuan terapi.
Memetik laporan Mirror, lubang kubur yang terletak di belakang sebuah gereja kecil itu menerima sambutan menggalakkan daripada para pelajar sehingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu giliran untuk memasukinya.
Seorang pelajar, Sean McLaughlin berkata, dia dan teman serumahnya telah merancang untuk berehat di dalam lubang kubur sejak lebih seminggu lalu namun masih belum berpeluang untuk berbuat demikian.
"Kami mendapati ada senarai menunggu untuk memasuki kubur tersebut, jadi ia agak popular, jadi kami masih belum dapat peluang, tetapi saya merancang untuk pergi ke sana sebaik sahaja giliran saya tiba," jelasnya.
Tikar yoga dijadikan pengalas ketika pelajar menggunakan lubang kubur untuk terapi meredakan tekanan peperiksaan. Kredit foto: Ruptly
Namun, pengasas projek berkenaan, John Hacking menyatakan bahawa lubang kubur itu sebenarnya berfungsi untuk menjadikan para pelajar lebih menghargai kehidupan mereka di dunia ini.
"Kematian dianggap satu pantang-larang, sukar bagi pelajar-pelajar... kematian adalah sesuatu yang sangat sukar untuk diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila anda berumur 18, 19, 20 tahun," katanya.
Projek yang dipopularkan melalui poster yang bertajuk 'memento mori' (istilah Latin yang bermaksud 'ingatlah anda akan mati') itu menawarkan pengalaman berehat di dalam lubang kubur antara 30 minit sehingga tiga jam.
Projek berehat di dalam lubang kubur dipopularkan dengan slogan 'memento mori'. Kredit foto: Ruptly
Teringat tentang program 'masuk liang lahat' yang pernah diadakan di Malaysia satu ketika dulu yang bertujuan mengingatkan peserta-peserta tentang kematian. - CARI |