Lautan ‘merah’ di ceramah perdana PH, menanti ucapan Dr M
KUKUP: Kira-kira 2,000 hadirin memenuhi tapak pasar malam di Kukup Laut untuk ceramah perdana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan malam ini. Pentas malam ini menampilkan calon PH, Karmaine Sardini; Menteri Besar Johor, Sahruddin Jamal; Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution. Sebelum bermulanya ceramah perdana, acara dipanaskan oleh pimpinan Pemuda PH seperti Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir. Saifuddin dalam ucapannya mahu jentera bekerja kuat dalam tempoh 72 jam sebelum hari mengundi 16 Nov ini, dan bertemu seberapa banyak pengundi di Parlimen Tanjung Piai.
“Calon nak jumpa semua tak boleh. Kita wakil, bantu kempen untuk calon,” katanya. Lim dalam ucapannya memuji Karmaine sebagai seorang yang berintegriti, bersih, baik dan “kuat agama”. Beliau menyeru pengundi supaya memberikan peluang kepada PH menegakkan demokrasi dan menunaikan janji-janjinya. “Takkan 18 bulan semua jadi? Kena ambil masa. Bagi masa tunai janji. Biar kita sempurnakannya supaya hasrat Md Farid Md Rafik dapat ditunaikan,” katanya, merujuk kepada bekas ahli Parlimen kawasan itu.
|