Seekor anak anjing lahir dengan ekor kedua di antara matanya dan dijaga oleh Pusat penyelamat anjing, Mac's Mission di Missouri, AS, sewaktu dijumpai merayau-rayau di jalanan sendirian.
Anak anjing berekor dua itu dinamakan 'Narwhal' sebagai penghormatan kepada tambahan struktur badannya yang dianggap sebagai 'sedikit kecacatan yang sangat sempurna'.
Nama penuh anak anjing berusia 10 minggu itu ialah 'Narwhal the Little Magical Unicorn'.
"Ia sememangnya binatang yang penuh magis, sentiasa gembira," kata Rochelle Steffen, pengasas pusat penyelamat tersebut. "Semua orang nak tengok dia. Ramai sukarelawan yang datang dan akan kata 'Hei, boleh kami bermain dengan Narwhal?' Dan sekarang mengambil selfie dengan Narwhal dah jadi satu trend sebab dia sangat comel."
Melalui imbasan X-ray, didapati ekor tersebut tiada tulang. Ini bermakna, Narwhal tidak boleh mengibas atau menggunakan ekor tersebut untuk mengesat mata.
Imbasan X-ray menunjukkan ekor tersebut tidak bertulang. Kredit Foto: Florida Today
Walaupun Steffen memilih untuk mengekalkan ekor itu, namun dia tidak menolak sekiranya perlu memotongnya andai ia mula memanjang ke dalam atau mengganggu penglihatan Narwhal.
Anjing itu juga tidak akan diberi untuk dipelihara buat masa ini sehingga pihak penyelamat dapat memastikan ekor depannya itu tidak menimbulkan isu lain apabila anjing itu membesar. - CARI |