"Dalam hal ini, saya mengaku masih belum menjelaskan bayaran semua orang kerana diuji dengan beberapa perkara kebelakangan ini termasuk wabak Covid-19 yang melanda negara kita."
Penerbit, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy membuat pengakuan itu susulan dakwaan dibuat Aloy Paradoks di Facebooknya.
Dakwa penulis skrip teater komedi Korupsi Dewan Semandung itu, sehingga kini dia masih belum menerima baki tunggakan daripada Ogy walaupun pementasan teater itu selesai Mac lalu.
Kredit foto: IG
Enggan isu ini menjadi polemik dalam kalangan netizen dan penggiat seni, Ogy kemudian tampil mengakui perkara itu dan membuat penjelasan kepada mStar Online.
"Selaku penerbit, saya sedang berusaha untuk selesaikan semua bayaran baki tertunggak. Cuma, sekarang usaha itu masih belum menyebelahi saya," katanya.
Ogy juga menegaskan bahawa dia bukannya tidak bayar langsung, sebaliknya 30 peratus bayaran sudah dibuat kepada Aloy dan Rayza Mukmin, penulis skrip teater itu.
Kredit foto: IG
"Ini saya kena beritahu, bukan saya tak bayar langsung ya! Saya dah beri 30 peratus dan baki masih belum dilunaskan lagi kerana beberapa masalah yang tak dapat dielakkan.
"Saya tak pernah anggap mereka macam peminta sedekah kerana apabila sebut hutang semestinya wajib dibayar! Saya sedar mengenai hal itu," tegasnya yang masih belum putus asa mencari sumber kewangan untuk melunaskan hutang.
Masih belum bertemu dengan Aloy untuk membincangkan isu itu, Ogy sudah menjangka dan tidak menghalang mana-mana pihak meluahkannya di media sosial.
"Tiada sebarang perjumpaan lagi, tapi kami semua ada berhubung dalam group Whatsapp. Saya pun dah boleh agak jika mereka akan menggunakan media sosial bagi meluahkan mengenai perkara ini," katanya.
Kredit foto: FB
Terdahulu, Aloy menerusi Facebooknya meluahkan rasa kecewa terhadap sebuah produksi kerana belum menerima bayaran yang disertakan sekali dengan tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp.
Walaupun tidak menyebut kepada siapa mesej itu ditujukan, ramai dapat meneka individu dimaksudkan ialah Ogy.
Semoga urusan Kak Ogy membuat baki bayaran dipermudahkan dan pihak Aloy faham dengan situasi dihadapi Kak Ogy. - CARI |