Kredit foto : Berita Harian
Disahkan menghidap penyakit kronik SLE (Sistemik Lupus Eritematosus) atau Lupus, pelakon yang pernah popular menerusi drama Dunia Baru, Anita Baharom menafikan ianya faktor utama dia jarang dilihat muncul di kaca televisyen.
Anita sebaliknya menjelaskan bahawa dia hanya menerima tawaran berlakon bersesuaian dengan masanya sebagai ibu kepada tiga cahaya mata.
"Bukannya memilih, tetapi saya menerima tawaran bersesuaian dengan masa. Sebelum memiliki cahaya mata, bolehlah sibuk di lokasi penggambaran, kini susah sikit lebih-lebih lagi, memiliki cahaya mata yang sedang membesar dan memerlukan perhatian." katanya kepada BH Online.
Pernah diserang sakit sendi hingga membuatkan jarinya bengkok dan tidak mampu berjalan selepas menjalani penggambaran filem Keluarga Iskandar The Movie pada Mac tahun lalu, Anita berkata, keadaannya kini semakin stabil.
"Jika boleh, saya tak mahu membesarkan perkara ini, takut orang cakap saya mengada-ngada. Selepas menjalani pemeriksaan di hospital dan pakar mengesahkan saya menghidap SLE, saya kena mengatur kerja supaya tidak menyusahkan orang lain.
"Saya tak boleh bekerja dalam keadaan terlalu tertekan dan penat. Sekiranya penat, sendi akan mula sakit. Sekarang, Alhamdulillah apabila melakukan pemeriksaan di hospital, tahap SLE saya sudah bertambah baik," katanya lagi.
Systemic Lupus Erythematosus (SLE) adalah penyakit kronik auto-imun menyebabkan badan pesakit menghasilkan protein darah dengan banyak. Protein darah yang dipanggil antibodi ini dengan sendirinya memberi tindak balas terhadap tisu seseorang. Dengan kaedah rawatan yang betul, penularan penyakit dapat dielakkan dan pesakit boleh menjalani kehidupan normal. - CARI
|