View: 1555|Reply: 2
|
[Tempatan]
Sanggup berhenti kerja Pengarah Seni. Fokus jadi pelukis motorsikal. Income pulu
[Copy link]
|
|
Ghairah lukis motosikal
myMetro>mutakhir
Syaherah Mustafa

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Itulah peribahasa yang sesuai dengan kisah seorang pemuda yang sanggup melepaskan kerjaya sebagai pengarah seni di sebuah syarikat swasta dan menjadi pengkarya lukisan motosikal (garisan radikal) bebas dengan pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.
Nama Ahmad Al Hafidz Musa, 37, tidak asing lagi dalam kalangan penggiat seni lukisan tempatan dan luar negara.
Justeru, tidak hairanlah hasil tangannya mampu dijual sehingga ribuan ringgit untuk sekeping lukisan.
Anak kelahiran Tapah, Perak itu, pernah mendapat jemputan membuat pameran hasil lukisan bukan sahaja secara solo di Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur, malah sehingga ke peringkat antarabangsa seperti di Paris dan Amerika Syarikat.
Katanya, dia meminati bidang lukisan sejak kecil dan berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
"Saya benar-benar aktif sebagai pelukis khusus lukisan radikal motosikal sejak dua tahun lalu selepas menemui 'keghairahan' tersendiri dalam melakar subjek yang saya suka dan berpuas hati dengan hasilnya.
"Terdapat pelbagai model lukisan motosikal yang saya hasilkan seperti jenama Triumph, Moto Guzzi, Ducati, serta Harley-Davidson dan setakat ini, karya yang paling mahal dijual ialah lukisan motosikal jenis Honda C 70 bernilai RM5,000.
"Biasanya lukisan saya dijual serendah RM450 bergantung kepada model atau jenama motosikal selain masa diambil untuk menyiapkannya terutama bagi melakar bahagian enjin motosikal yang memerlukan fokus dan ketelitian sepenuhnya," katanya yang ditemui di Kota Bharu, semalam.
Ahmad Al Hafidz berkata, dia gembira kerana minatnya dalam bidang seni lukisan bukan sahaja mampu memberi pendapatan lumayan, tetapi memberi peluang dia bercuti ke seluruh negara.
Bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui ada masanya dia mengambil peluang ke lokasi percutian yang menenangkan bagi mencari inspirasi untuk menghasilkan lukisan terbaik.
"Setiap lukisan saya biasanya dimuat naik di Instagram yang memang sering 'dikunjungi' ramai peminat motosikal atau pengumpul lukisan sebelum ia terjual.
"Malah, ada yang ingin membeli hasil karya saya untuk dicetak pada baju, cenderamata dan sebagainya," katanya yang menjadikan Aie Sulong dan pelukis antarabangsa, Pablo Picasso sebagai idola.
Menurutnya, kerjaya itu mempunyai cabarannya tersendiri apabila ada karyanya 'dicuri' segelintir individu tidak bertanggungjawab.
Katanya, mereka menggunakan lukisan tanpa pengetahuan dan kebenaran, malah ia berlaku bukan sahaja dalam negara tetapi dikesan di Mexico, Australia dan Turki.
"Alhamdulillah, saya gembira dengan kerja ini kerana ia juga membolehkan saya berkenalan dengan ramai pelanggan luar negara seperti dari Rusia, Italy, Portugal dan United Kingdom," katanya yang kini menetap di Sungai Buloh, Kuala Lumpur.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 10:04 AM
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
LHDN sila alert   |
|
|
|
|
|
|
|
nti ada org keluar ebook jana pendapatan dengan lukisan |
|
|
|
|
|
|
| |
|