KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia hari ini mengesahkan seorang kakitangannya positif COVID-19 dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh. Dalam satu kenyataannya, kementerian memaklumkan kakitangan terbabit disahkan positif virus itu pada 4 Oktober lalu.
Langkah pencegahan segera diambil dengan mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan (KKM). "Kontak rapat dalam kalangan kakitangan kementerian sudah menjalani saringan kesihatan serta menjalani proses kuarantin di rumah. "Langkah proaktif seterusnya diambil dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran kementerian. "Sebagai langkah tambahan, ujian calitan akan dilakukan ke atas pegawai kementerian," menurut kenyataan itu. Menurut kenyataan itu lagi, berkuat kuasa serta-merta, semua program dan aktiviti Kementerian Sumber Manusia ditangguhkan sehingga 16 Oktober ini. Kementerian itu akan terus memantau perkembangan terkini COVID-19 serta memperketatkan langkah pencegahan melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan wabak itu dapat dibendung.
|