Dicemari bakteria, Singapura tarik balik air minuman botol dari MalaysiaFMT Reporters -
December 4, 2020 5:46 PM
Bakteria itu dikesan dalam ujian rutin air minuman botol ‘Meadows’.PETALING JAYA: Pihak berkuasa Singapura memerintahkan penarikan balik air minuman dalam botol diimport dari Malaysia selepas didapati ia dicemari bakteria yang biasanya terdapat dalam najis, tanah, air dan kumbahan. Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, pihaknya mengesan bakteria “pseudomonas aeruginosa” dalam botol air “Meadows” ketika ujian rutin produk. Bakteria itu diketahui menyebabkan jangkitan pada darah dan radang paru-paru dalam tubuh manusia, selain menyebabkan penyakit pada tumbuhan dan haiwan. Kenyataan dari Singapura mengatakan Cold Storage Singapore Pte Ltd, pengimport air botol, menyelesaikan penarikan semula produk itu. “Pseudomonas aeruginosa ialah bakteria alam sekitar yang biasa dan terdapat dalam najis, tanah, air dan kumbahan. Ia boleh membiak di persekitaran air dan permukaan bahan organik yang sesuai dengan air.
“Penggunaan produk yang tercemar dengan pseudomonas aeruginosa boleh menyebabkan pelbagai jangkitan tetapi jarang menyebabkan penyakit serius pada individu yang sihat,” katanya. SFA juga menasihati mereka yang sudah menggunakan produk itu mendapatkan nasihat perubatan, sambil menambah pelanggan boleh mendapatkan bayaran balik dari tempat pembelian mereka.
|