Wan Faezah berdoa supaya adiknya Wan Nashaifudin yang dikhuatiri lemas dijumpai. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
[email protected]
Marang: "Badan saya menggigil sebaik mendapat tahu berita itu," kata Wan Faezah Wan Latif selepas adiknya, Wan Nashaifudin, dilaporkan lemas di pantai Jambu Bongkok, malam kelmarin.
Wan Faezah, 50, berkata, dia dimaklumkan berita mengejutkan itu daripada dua rakan adiknya yang datang ke rumahnya di Kuala Berang, jam 7.20 malam tadi.
"Saya pelik apabila dua rakan adik tiba di rumah tanpa kehadirannya. Keadaan itu menimbulkan tanda tanya.
"Mulanya saya sangka mereka nak beritahu adik demam namun (saya) sangat terkejut dan menggigil seluruh badan bila (dimaklumkan) adik hilang di laut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Wan Faezah berkata, mulanya dia masih curiga dengan berita itu namun kedua-dua rakan adik meyakinkannya.
"Saya tanpa membuang masa terus bersama adik beradik yang lain bergegas ke tempat kejadian," katanya.
Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika anak ketiga daripada enam beradik itu berkunjung ke rumahnya kira-kira dua minggu lalu.
"Ketika bertemu, dia (adik) tidak menunjukkan sikap pelik dan kelihatan biasa sahaja," katanya.
Jumaat lalu, Wan Nashaifudin dipercayai lemas ketika beriadah di pantai berkenaan bersama enam rakannya, kira-kira jam 6.15 petang.
Mangsa dikatakan lemas selepas dipukul ombak besar sebelum ditarik ke tengah laut.
Sehingga kini Wan Nashaifudin masih belum ditemui. Usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan pihak berkuasa. |