CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2097|Reply: 2

Legenda Candi Sewu Yang Dibina Dalam Satu Malam

[Copy link]
Post time 13-1-2021 05:06 PM | Show all posts |Read mode





Tersebutlah kisah di zaman dahulu kala, ada sebuah kerajaan besar bernama Prambanan dipimpin oleh raja berwibawa bernama Prabu Baka. Untuk sekian waktu mereka hidup aman dan damai dalam wilayah yang saling menghormati persempadanannya.


Namun kesejahteraan mereka tidak dipedulikan sebuah kerajaan bernama Pengging, yang sentiasa dahaga untuk meluaskan jajahan takluknya. Angkatannya diterajui seorang kesatria sakti bernama Bandung Bondowoso, yang turut memiliki bala tentera dari kaum jin.


Maka satu hari mereka melanggar kerajaan Prambanan. Prabu Baka serta seluruh istana tidak bersedia berdepan serangan itu, akhirnya baginda tumbang di tangan Bandung Bondowoso yang sekali gus menakluk takhta kerajaan Prambanan. Maka segala isi istana dan seluruh wilayah naungan Prambanan menjadi miliknya.


Tidak lama, matanya terpaut pada seorang puteri Prabu Baka yang ayu jelita bernama Roro Jonggrang. Terus ditanyakan kepada puteri itu sudi atau tidak menjadi permaisurinya. Ia lantas mengundang benci Roro Jonggrang, sungguh tidak malu Bandung Bondowoso cuba melamarnya selepas membunuh ayahandanya.


Namun, dia takut untuk menolak lamaran mengejut itu mengenangkan kesaktian dahsyat dimiliki Bandung Bondowoso. Lalu terlintas akal muslihat dalam fikirannya untuk menolak pinangan itu secara halus.


Maka Roro Jonggrang berkata kepada Bandung Bondowoso bahawa dia boleh menerima lamaran tersebut dengan syarat, harus dibina 1,000 buah candi dan dua buah sumur dalam tempoh satu malam.


Pada fikiran Roro Jonggrang, itu adalah syarat yang mustahil untuk ditunaikan. Namun dia lupa bahawa Bandung Bondowoso memimpin seangkatan tentera jin yang tunduk dan taat kepada general jahat itu. Dengan segera, Bandung Bondowoso mengumpul konco-konco jinnya lalu mula membina 1,000 candi sepertimana diarahkan dengan begitu pantas.







Menyedari keadaan ini, Roro Jonggrang gelisah memikirkan cara untuk menghentikan jin-jin itu sebelum siap kesemuanya. Ilham pun tiba, dan dia memanggil seluruh dayang-dayangnya dan mengarahkan mereka untuk membakar jerami, mengetuk lesung batu dan menabur bunga-bunga wangi, mengundang kokok ayam.


Melihat langit kemerah-merahan daripada api pembakaran jerami seakan fajar yang menyinsing serta bunyi riuh kampung, para jin menyangkakan matahari pagi sudah terbit. Lantas mereka lari dan kembali bersembunyi di dalam kegelapan meninggalkan candi yang tidak sempat disiapkan. Bandung Bondowoso kesal dengan pemergian bala tentera jinnya, terpaksalah dia sendiri menyiapkan baki candi yang belum terbina seorang diri.


Apabila terbitnya fajar yang benar, Bandung Bondowoso membawa Roro Jonggrang melihat candi yang dimintanya. Dikira satu persatu setiap candi, dan hanya mendapati ada 999 buah sahaja. Kurang satu daripada apa yang disyaratkan, maka pinangan Bandung Bondowoso harus ditolak Roro Jonggrang.


Murkalah Bandung Bondowoso, merasakan puteri itu sendiri telah menggagalkan rancangannya, maka disumpah Roro Jonggrang menjadi patung batu. Di lokasi berdirinya patung batu itu, didirikan candi Roro Jonggrang yang kemudian dipanggil candi Prambanan, kekal dan boleh dilihat sehingga hari ini.







Selama berabad lamanya, penduduk tempatan percaya dengan legenda ini yang menceritakan asal usul kewujudan candi tersebut. Sehinggalah pada 1811, seorang juruukur British bernama Colin Mackenzie yang bekerja di bawah Gabenor Syarikat Hindia Timur Belanda, Sir Thomas Stamford Raffles, dengan tidak sengaja menemukan tapak purba ini.


Berdasarkan prasasti Kelurak bertarikh 782 Masihi dan prasasti Manjusrighra (792M) yang ditemui pada 1960-an, candi Sewu dibina pada penghujung kurun kelapan di akhir kekuasaan Rakai Panangkaran dan disiapkan oleh penggantinya, Raja Indra. Kedua-dua raja kerajaan Medang Mataram ini adalah penganut Buddha Mahayana yang sangat taat dan setia.


Daripada prasasti itu juga, dipercayai nama asal candi Sewu adalah 'Manjusri ghra' yang bererti 'Rumah Manjusri'. Manjusri adalah seorang keramat Buddha yang melambangkan kebijaksanaan. Nama Sewu bererti 'seribu' dalam bahasa Jawa, diberikan oleh penduduk tempatan berdasarkan legenda itu, walhal sebenarnya hanya ada 249 kuil sahaja di kompleks tersebut.







Candi Sewu dibina 70 tahun lebih awal daripada candi Prambanan yang jaraknya 800 meter antara kedua-duanya. Ketika candi Sewu adalah sebuah kompleks kuil Buddha, Prambanan pula dibina pada tahun 850M sebagai menandakan kembalinya Dinasti Hindu Sanjaya selepas dominasi Dinasti Buddha Sailendra selama satu abad. Ia merupakan kuil Hindu ketiga terbesar di Asia Tenggara yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.


Walaupun sekadar dongeng ciptaan daripada imaginasi manusia, ia disulami nilai kehalusan budaya Jawa secara khususnya dan Melayu secara amnya. Roro Jonggrang tidak menolak mentah-mentah lamaran Bandung Bondowoso, tetapi diletakkan syarat yang mustahil untuk dipenuhi. Sama seperti kisah bagaimana Puteri Gunung Ledang meletakkan tujuh syarat tak masuk akal apabila dilamar Sultan Mahmud, antaranya tujuh dulang hati hama, tujuh dulang hati nyamuk, jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka, dan semangkuk darah anak Sultan Melaka itu.


Mitos dongeng rakyat terjawab dengan penemuan artifak sejarah, bagaimanapun yang kekal menjadi misteri sehingga hari ini adalah bagaimanakah bentuk peradaban ketika itu yang mampu membina kompleks sebesar itu dengan ketajaman dan kehalusan pada setiap perincian binaannya.




Sumber: Wikipedia, histori.id, gurupendidikan.co.id/rancaktv

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-1-2021 07:09 PM From the mobile phone | Show all posts
Hari tu ada baca dlm srtkhabar pasal penemuan kedai mkn kat Pompei yg terbalik. Ada lukisan ayam, 2 lg x igt...kuda... ???...Mgknkah peradaban org dolu2 jg setanding kita...
Reply

Use magic Report

Post time 14-1-2021 11:15 PM From the mobile phone | Show all posts
Nice info{:hooray
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 02:49 AM GMT+8 , Processed in 0.053558 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list