Terlalu asyik berswafoto boleh bahayakan diri sendiri. (Gambar Pixabay)
FMT
Malang bagi seorang wanita apabila maut selepas terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus deras ketika mengambil swafoto di sebuah lokasi berkelah di India, awal bulan ini.
Daily Mail melaporkan, mangsa yang dikenal pasti sebagai Nirupama Prajapati mengambil gambar di pinggir sungai di Kanakunda, sebelum terjatuh dalam air yang deras ke arah air terjun.
Video yang tersebar di internet menunjukkan seorang lelaki tergelincir di belakang Prajapati, dipercayai yang menyebabkan Prajapati hilang fokus dan imbangan sebelum terjatuh dari batu besar di mana dia berdiri mengambil gambar.
Seorang wanita kedengaran menjerit manakala mangsa terus dibawa arus deras walaupun sungai itu sebenarnya tidak dalam.
Media tempatan melaporkan kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan orang ramai dan keluarga Prajapati tidak mampu berbuat apa-apa dan wanita itu hilang dari pandangan.
Menurut India Today, mayat wanita malang itu hanya ditemui sehari kemudian di hilir sungai, terperangkap di kawasan batu besar, kira-kira 400 meter dari tempat dia terjatuh.
Ini bukan kali pertama kejadian maut ketika mengambil swafoto di India, malah di beberapa lokasi pihak kerajaan tempatan terpaksa meletakkan papan tanda mengingatkan orang ramai tidak mengambil gambar kerana terlalu merbahaya.
Malah, pada 2017 kerajaan negeri Karnataka di selatan negara itu mengadakan kempen mengingatkan orang ramai mengenai bahaya mengambil swafoto, susulan kematian beberapa pelajar ketika bergambar.
Beberapa kematian lain ketika mengambil swafoto termasuk seorang lelaki yang dipijak mati oleh gajah di taman perlindungan hidupan liar, serta seorang lelaki dewasa dan budak 11 tahun yang mati direnjat ketika bergambar di atas kereta api. |