Edited by Aking at 13-2-2021 05:19 PM
Abdul Hamid mendedahkan Jabatan Imigresen gagal mengesan Kuok Koi selepas ketua kongsi gelap China itu keluar dari Malaysia untuk ke Hong Kong pada 18 Mac tahun lalu.-Foto/ NSTP
Berita Harian
Faris Fuad
[email protected]
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses mendaftarkan nama ketua kongsi gelap dari China, Wan Kuok Koi dalam senarai notis merah agensi polis antarabangsa (INTERPOL) selepas lelaki itu didakwa bersembunyi di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mengikut rekod, Kuok Koi dikesan berada di Malaysia pada 2019 dan 2020 atas urusan perniagaan.
"Namun, selepas satu laporan dibuat terhadapnya atas dakwaan penipuan wang berjumlah RM6 juta, Kuok Koi terus menghilangkan diri.
"Kita akan usaha menangkapnya sekiranya dikesan berada di Malaysia. Ada satu rekod menunjukkan Kuok Koi keluar dari Malaysia pergi ke Hong Kong, pada 18 Mac tahun lalu.
"Semakan rekod Jabatan Imigresen setakat ini gagal mengesan keberadaan Kuok Kou di Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, The Straits Times di Singapura melaporkan, Kuok Koi dipercayai bersembunyi dan meneruskan aktiviti jenayah di Malaysia.
Lelaki berusia 65 tahun itu lebih dikenali sebagai 'Broken Tooth', dipercayai dikehendaki PDRM sejak 16 Oktober tahun lalu atas dakwaan terbabit kes gangsterisme dan penipuan berjumlah RM6 juta.
Kuok Koi sebelum ini menjalani hukuman penjara 14 tahun di Macau, selepas disabitkan kesalahan sindiket ceti haram atau along, pengubahan wang haram dan mengetuai kumpulan penjenayah, sebelum dibebaskan pada 2012.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat pula mendakwa Kuok Koi mengetuai kumpulan kongsi gelap dikenali 14K dan terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah, perjudian haram, pemerasan serta pemerdagangan manusia. |