Seorang warga emas berusia 87 tahun mengejar pencuri menggunakan pedang tentera milik mendiang suaminya selepas diserang dan dipukul dalam satu kejadian rompakan di rumahnya, bulan lalu.
Lapor Daily Mail, pada hari kejadian, Anastasia Lukianchikova terjaga daripada tidur kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) setelah terdengar bunyi kaca pecah di rumahnya di Acton, barat London.
Lukianchikova terkejut melihat pencuri itu, Ashley Riley, 28, berdiri di tepi pintu bilik tidurnya yang kemudian bertindak memukul kepala dan menumbuk warga emas itu beberapa kali sebelum menarik baju tidur untuk menutup mukanya.
Kredit foto: Daily Mail
Namun, warga emas itu melawan dan memukul Riley menggunakan lampu yang berada di sebelah katil tidurnya.
Riley hilang sabar lalu menekup muka Lukianchikova dengan bantal untuk melemaskan warga emas itu selepas dia menangis dan menjerit meminta bantuan dalam serangan selama 13 minit.
Riley sempat melarikan diri dengan membawa wang tunai dan barangan kemas yang bernilai lebih 50,000 Pound (RM275,912).
Ketika kejadian itu, Lukianchikova mengejar Riley dengan pedang tentera sebelum pencuri itu menaiki sebuah teksi.
Bagaimanapun, dia ditahan oleh polis selepas tindakannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah warga emas itu.
Mahkamah Isleworth Crown menjatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun terhadap Riley selepas dia mengaku bersalah melakukan rompakan dan memiliki senjata.