Kumpulan pakar memberi amaran berhubung dunia diancam kekurangan bekalan pasir apabila hanya terdapat kurang daripada 1,000 lombong pasir dan batu kerikil di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Lapor Daily Mail, kekurangan itu bukan sahaja menyebabkan penghasilan berbilion botol kaca bagi vaksin Covid-19 tergendala, bahkan menyebabkan kekangan terhadap penghasilan telefon pintar dan bangunan pejabat.
Gambar hiasan - Vegas PBS/The Guardian
Saintis Iklim di Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), Pascal Peduzzi berkata, kita selalu berfikir pasir terdapat di mana-mana kawasan dan tidak pernah menjangka kekurangan sumber bahan mentah tersebut.
“Sekiranya kita tidak memandang ke hadapan, atau tidak memberi sebarang jangkaan, kita akan berdepan masalah besar tentang bekalan pasir dunia,” katanya.
Selepas sumber air, pasir merupakan bahan mentah paling banyak digunakan di dunia untuk menghasilkan kaca, konkrit, tar dan silikon mikrocip.
Industri pembinaan sendiri menggunakan 50 bilion tan pasir setahun dan permintaan akan melambung tinggi kerana dunia memerlukan dua bilion botol kaca dalam tempoh dua tahun akan datang ketika vaksin Covid-19 diedarkan.
Menurut UNEP, ini bermakna berlaku penambahan sebanyak 300 peratus kenaikan sejak 20 tahun lalu serta memerlukan setiap sungai yang berada di planet ini selama dua tahun untuk menggantikannya.
“Trend ini dijangka berterusan kerana permintaan terus meningkat disebabkan kesan urbanisasi, populasi berkembang dan perkembangan infrastruktur,” katanya.
Sumber: Utusan |