Aiskrim Matcha Viral Di Jepun Yang Confirm Buat Orang Tersedak!
Satu kedai pencuci mulut di Tokyo menjadi terkenal gara-gara aiskrim matcha yang dijual mereka. Apa yang menariknya, aiskrim itu diselaputi dengan sejumlah serbuk matcha yang sangat banyak sehinggakan siapa yang memakannya pasti akan tersedak. Disebabkan itu, ianya menjadi trend dalam kalangan penduduk tempatan untuk mencubanya sendiri.
Sikap pemurah pemilik kedai yang memberikan serbuk matcha yang banyak ini menyebabkan rata-rata yang mencubanya pasti akan tersedak hanya dalam masa beberapa saat. Melihatkan pada gambar-gambar yang dikongsikan, aiskrim lembut itu sememangnya diselaputi serbuk matcha yang begitu banyak dari biasa.
Walaupun kedai The Nagamine Tea Store di Tagata, Tokyo ini telah lama memperkenalkan menu istimewa ini di kedai mereka kira-kira empat tahun lepas, cuma baru-baru ini ianya menjadi perbualan hangat penduduk di sana. Semuanya selepas ianya viral dipaparkan di dalam satu program hiburan TV iaitu Monday Late Show. Di dalam segmen itu, mereka telah mencuba aiskrim matcha ini dan menunjukkan reaksi mereka yang memakannya.
Di dalam rancangan itu, kesemua mereka yang mencubanya memberikan reaksi yang sama iaitu tersedak walaupun pada gigitan yang pertama. Serbuk matcha di dalam jumlah yang banyak ini membuatkan mulut dan tekak seseorang terasa kering yang akhirnya membuatkan seseorang batuk. Tetapi jika dimakan menggunakan sudu kecil, reaksinya berbeza.
Walaupun ramai yang berminat ingin mencubanya, ada juga yang memberitahu kesan sampingan yang mungkin membahayakan seseorang seperti tercekik dan menyukarkan pernafasan. Malah ada yang tertanya-tanya bagaimana pemiliknya mempunyai keberanian untuk menjual produk tersebut dengan risiko seperti ini.
Tetapi oleh kerana ianya diletakkan pada aiskrim, rasa lembut dan cair aiskrim membantu mencairkan serbuk matcha yang terasa kering di tekak. Jadi ramai yang memberikan kepastian ianya tidaklah sebahaya yang disangkakan. Aiskrim matcha ini juga telah menjadi menu paling laris di kedai tersebut kerana kesedapannya dan bukan disebabkan isu viral ini sahaja.