|
|
Dr Hafiz Zainal bersyukur klinik giginya dapat beroperasi walaupun dalam kapasiti pesakit yang terhad.
 Kredit foto: IG
Menurut laporan Harian Metro, bekas peserta Big Stage 2020 itu reda Toothsuite Dental di Bukit Jalil tidak dapat beroperasi seperti dirancang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP sejak dibuka sebulan lalu.
Katanya, dia memilih membuka klinik gigi memandangkan karier sebagai penyanyi semakin kelam dalam situasi pandemik Covid-19.
"Selepas hampir 10 bulan saya berhenti kerja di sebuah klinik gigi kerana ingin memberi fokus kepada kerjaya nyanyian, saya nekad untuk membuka klinik gigi bersama seorang lagi kawan baik.
"Sepanjang tempoh tidak bekerja sebagai doktor gigi saya teringin nak merasai pengalaman bekerja sepenuh masa sebagai penyanyi," katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, tidak mudah untuk mengharapkan punca rezeki dari kerjaya nyanyian semata-mata, akuinya.
"Jadi saya buka sebuah klinik gigi. Nak dijadikan cerita baru saja dibuka, tiba-tiba kerajaan mengumumkan PKP 3.0, tapi mujurlah klinik dapat beroperasi dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi. Jadi tidaklah terkesan sangat," katanya.
Dedahnya, dia mendapat dorongan daripada orang ramai supaya membuka klinik gigi sendiri dan untuk itu, sudah ratusan ribu ringgit dihabiskan untuk membuka klinik itu.
Dia memilih lokasi di Bukit Jalil kerana kawasannya sangat strategik dan mudah untuk diakses. Justeru, dia meminta orang ramai mendoakan segala urusan dipermudahkan.
 Kredit foto: IG
"Saya tahu nak jalankan perniagaan sendiri tidak mudah memandangkan saya tiada pengalaman dalam perniagaan tapi saya dan kawan baik sentiasa optimis selain mempunyai impian besar untuk meluaskan lagi empayar Toothsuite Dental," katanya. - CARI
|
|