|
Keadaan Ashira masih lemah dan sukar bercakap, manakala suara mula hilang kerana asyik batuk serta sakit tekak. - Foto IG Ashira
KUALA LUMPUR: Penyanyi Di Ombak Resah, Ashira Aziz, 37, mengesahkan dirinya positif pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, bekas finalis program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh itu tidak pasti bagaimana mendapat jangkitan memandangkan jarang keluar rumah.
"Saya tidak pasti bagaimana mendapat jangkitan. Kali terakhir saya keluar rumah bagi mendapatkan suntikan vaksin pada 18 Julai lalu.
"Saya mula tidak sihat, sejak empat hari lalu. Saya terpaksa ke klinik berhampiran apabila sukar bernafas dan hidung tersumbat, semalam.
"Bagaimanapun, ujian calitan COVID-19 mengesahkan saya positif. Buat masa ini, hanya saya sahaja positif, manakala suami, Bad Indigo pula disahkan bebas pandemik apabila keputusan keluar, malam ini.
"Anak dan anak saudara yang tinggal bersama akan melakukan ujian calitan, esok," katanya kepada BH Online.
Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz berkongsi, hanya dirinya mengalami simptom COVID-19, manakala suami dan anak tiada apa-apa.
Katanya, suami sudah melengkapkan dos vaksin kedua dan tidak menunjukkan sebarang simptom.
"Saya tetap suruh suami melakukan ujian calitan kerana bimbang keadaannya menghidap penyakit kencing manis.
"Kini, saya masih menunggu maklum balas Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Buat masa ini, saya menjalani kuarantin kendiri di rumah," katanya.
Ashira bersyukur suaminya, Bad Indigo bebas COVID-19 apabila mendapat keputusan ujian calitan, malam ini. - Foto IG Ashira
Anak kepada penyanyi veteran, Syed Abdul Aziz Syed Alwi itu berkata, dia belum mendapat maklum balas CAC dan KKM berikutan menjalani ujian calitan di klinik swasta, mungkin akan mengambil sedikit masa.
"Keadaan masih lemah dan sukar untuk bercakap. Suara sudah mula hilang kerana asyik batuk dan sakit tekak.
"Saya dapat hampir semua gejala COVID-19, cuma deria rasa masih ada, manakala deria bau makin berkurangan. Bagaimanapun, doktor di CAC minta saya terus ke hospital jika menghadapi kesukaran bernafas lagi," katanya.
Terdahulu, bapa Ashira yang juga penyanyi veteran, Syed Abdul Aziz Syed Alwi dan ibu tiri yang dipanggil Mak Norma turut dijangkiti COVID-19 pada 25 Julai lalu.
Bagaimanapun, Ashira mengesahkan, dia tidak mendapatkan jangkitan daripada orang tuanya memandangkan sudah lama tidak bertemu mereka yang tinggal di Selayang.
"Abah menjalani kuarantin kendiri di rumah, manakala ibu tiri masih dirawat di hospital. Keadaan kesihatannya turun naik, ada masa okay dan sebaliknya.
"Alhamdulillah, abah tidak berdepan serangan yang teruk. Tetapi, abah perlu menjalani ujian calitan sekali lagi," katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my
|
|