Edited by JohnyEnglish at 3-8-2021 01:27 PM
TAIPING: Tindakan seorang gadis yang berada dalam tempoh kuarantin, menanggalkan gelang pink atau merah jambu semata-mata untuk keluar bersiar-siar, menerima padah apabila dikompaun RM5,000 oleh polis susulan perbuatan itu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata kompaun berkenaan dikeluarkan selepas video remaja berusia 17 tahun itu tular di media sosial sejak semalam.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Kamunting di sini.
"Selepas mengenal pasti video itu, polis mengesan lokasi remaja tersebut yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).
"Remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperoleh. Difahamkan ketika kejadian itu, dia dikatakan singgah di rumah rakannya di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan. Osman berkata, kompaun dikenakan kerana remaja itu didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. "Polis menasihatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak COVID-19. "Mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya. Semalam tular di applikasi Tik Tok berdurasi 31 saat yang memaparkan aksi seorang perempuan mengenakan topi keledar menanggalkan gelang merah jambu di satu kediaman. Dalam video itu difahamkan perempuan itu berbuat demikian berikutan mahu keluar bersiar-siar.
|