CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: makhluk

Koleksi Keratan Akhbar mengenai ZZ since 1991

[Copy link]
 Author| Post time 2-6-2007 09:00 PM | Show all posts
ini pula luahan hati ZZ setelah setahun lebih kuarkan album solo, previously dia terpaksa nunggu lama untuk record album...

Document 2 of 179

Publication :BM-BTV

Edition :TE

Date :      06/12/1992   

Page Number :06

Headline :Pedih apabila lagu diambil orang

Words :386

Byline :By Ziana Zain

Text :
   

   
    SALAM sejahtera kepada pembaca Berita Harian/Berita Minggu. Terima kasih
kepada akhbar ini kerana memberi kesempatan membuat sedikit catatan untuk
tatapan peminat Ziana.
  Sejak bergelumang dalam dunia artis, banyak pengalaman suka duka yang
Ziana alami. Sejarah pahit yang kekal hingga sekarang ialah kegagalan
menyanyikan lagu Madah Berhelah ketika membuat satu persembahan di Dataran
Merdeka. Hingga sekarang Ziana dianggap sebagai penyanyi yang tidak mampu
menyanyi dengan baik. Ketika itu, Ziana sebenarnya terlalu letih kerana
baru selesai menghabiskan kerja sebagai pramugari.
  Satu lagi peristiwa pahit ialah apabila lagu Rela yang Ziana sudah
nyanyikan untuk album sulung Ziana dinyanyikan semula oleh penyanyi lain.
Sebenarnya ketika album itu dalam proses pembikinan, Ziana mendapat
tawaran kerja di Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai pramugari.
  Ziana dalam dilema ketika itu dan terpaksa mengambil keputusan menerima
tawaran MAS. Akibatnya, rakaman untuk album itu dibatalkan dan lagu Rela
dinyanyikan oleh Tila. Apabila lagu Rela berkumandang di udara, perasaan
Ziana ketika itu bercampur aduk, ada marah, kecewa dan sedih.
  Sejak itu, pembabitan Ziana dalam dunia nyanyian terus tenggelam kerana
Ziana sibuk dengan kerja baru. Ketika mula-mula kerja, Ziana kena ragging
dari pekerja senior, tetapi syukur berkat ketabahan Ziana kini dapat
membuat tugas yang diarahkan dengan sempurna.
  Karier nyanyian yang selama ini Ziana anggap gelap kembali bersinar
apabila Ziana bertemu dengan Pengurus A&R BMG, Aziz Bakar dan isterinya,
Norma Norell yang mengiringi kumpulan Search untuk membuat persembahan di
Singapura.
  Ketika itu, Aziz bertanya kepada Ziana sama ada masih berminat atau
tidak untuk menyanyi semula. Ziana menjawab, jika ada tawaran Ziana akan
terima kerana Ziana memang masih berminat menyanyi. Ekoran daripada
pertemuan itu, Ziana mengikat kontrak dengan BMG dan akhirnya lahirlah
album Madah Berhelah.
   Berkat dari kesabaran ini, sedikit demi sedikit Ziana mula rasai
kejayaan sebagai penyanyi. Bukanlah niat hendak membanggakan diri, tetapi
dengan kesabaran itu, Ziana ditawarkan menyanyikan lagu bahasa Jepun dan
dua lagu Inggeris bersama lima penyanyi Asia Tenggara untuk projek album
Color Of Love.
  Dorongan dari keluarga dan rakan-rakan sekerja menjadikan Ziana semakin
bersemangat untuk berusaha dengan gigih dibidang yang Ziana ceburi ini.
Akhirnya Ziana berjaya memperolehi cakera Emas dan yang terbaru lagu Madah
Berhelah layak keperingkat akhir Muzik Muzik.
  Dorongan dan sokongan yang paling Ziana harapkan ialah peminat kerana
tanpa anda Ziana tidak akan berdiri hingga ke tahap sekarang. Salam sayang
untuk semua peminat Ziana Zain.
Ziana Zain
Disember `92
                               (END)

btw, keratan akhbar untuk 1993 is ongoing k...tunggu!!!
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 2-6-2007 11:45 PM | Show all posts
eh bestnya, awk ni sapa? mana dpt semua ni. blh saya masukan dlm web saya www.zianazain.multiply.com
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-6-2007 09:32 AM | Show all posts
masukkan jer...koleksi keratan akhbar aje...
Reply

Use magic Report

Post time 4-6-2007 10:51 AM | Show all posts
rajinnyer kak makhluk nie.....
Reply

Use magic Report

Post time 4-6-2007 09:44 PM | Show all posts
TQ TQ
Reply

Use magic Report

Post time 5-6-2007 08:39 PM | Show all posts
aku ada gak berita2 ziana. dan ada gmbr ziana masa dia 1st pakai skirt merah dgn MH tu.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 6-6-2007 05:23 PM | Show all posts
Document 5 of 389
        Publication :         BH
        Edition :         TE
        Date :         31/07/1993
        Page Number :         19
        Headline :         Ziana kesal dakwaan peminat
        Words :         419
        Byline :         By Shamshul Azree Samshir
        Text :        
       

ZIANA Zain mendakwa ada peminat tidak bersikap adil dengan menuduh hanya
dia saja tidak mampu menyanyikan lagu bernada tinggi sedangkan pada masa
yang sama mereka cuba `melindungi' penyanyi lain yang menghadapi masalah
seperti itu.
  Ziana berkata, peminat sering menunding jari dan menganggap dia tidak
mampu menyampaikan lagu bernada tinggi selepas gagal menyanyikan lagu
Madah Berhelah dalam satu persembahan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
tidak lama dulu.
  "Ziana kesal kerana masih ada peminat memandang rendah kebolehan Ziana
mendendangkan lagu bernada tinggi.
  "Apa yang dikesalkan, peminat itu seolah-olah `melindungi' beberapa
penyanyi lain yang sebenarnya berhadapan dengan masalah itu atau tidak
mampu langsung mendendangkan lagu bernada tinggi.
  "Ziana perhatikan ada penyanyi yang gagal menyampaikan lagu bernada
tinggi tidak dikritik malah terus disanjung sedangkan kesilapan yang Ziana
lakukan terus diperkatakan hingga sekarang," katanya ketika ditemui di
promosi album terbarunya Putus Terpaksa di Johor Bahru, Khamis lalu.
  Ziana yang kian popular dengan lagu terbarunya Anggapanmu berkata, dia
sudah jemu dengan tuduhan peminat dan mengajak mereka menyaksikan
persembahan terbukanya di mana sahaja.
  "Ziana meminta peminat yang ragu-ragu dengan kebolehan Ziana supaya
menyaksikan persembahan Ziana di pentas terbuka.
  "Di sana nanti mungkin mereka dapat melihat sama ada Ziana mampu
menyanyi lagu bernada tinggi atau sebaliknya," katanya.
  Ziana berkata, dia cukup yakin dengan kemampuannya menyanyikan lagu
bernada tinggi dan hakikatnya boleh dilihat melalui album keduanya yang
sebahagian besar mempunyai lagu bernada tinggi.
  "Memang Ziana pastikan lagu dalam album itu mempunyai nada tinggi kerana
mahu peminat menilai kemampuan Ziana," katanya.
  Dia memberi jaminan mampu mendendangkan lagu bernada tinggi dengan baik
asalkan mendapat rehat yang cukup selain mampu mengawal suara dengan
betul.
  Mengenai penerimaan peminat terhadap album keduanya itu, Ziana berkata
setakat ini sambutan amat memuaskan.
  "Sambutan peminat terhadap album ini lebih baik daripada album pertama
Madah Berhelah  yang mengambil masa kira-kira enam bulan untuk popular
selepas diedarkan," katanya.
  Mengenai persiapan ke Indonesia, Ziana berkata sepuluh lagu dijangka
dimuatkan dalam album untuk pasaran negara itu, termasuk lagu Putus
Terpaksa yang diubah suai mengikut selera Indonesia dan sebuah lagi
ciptaan komposer negara itu.
  "Bagaimanapun, Ziana belum menerima lagu dari ciptaan komposer Indonesia
itu. Mungkin dalam bulan Ogos ini Ziana berpeluang ke sana untuk membuat
persiapan," katanya.
  Ziana berkata, dia yakin diterima di Indonesia berdasarkan mendapat
sambutan dan layanan baik ketika berada di negara itu tidak lama dulu.
  Sementara itu, dia bercadang berduet dengan Annuar dalam album ketiganya
yang mungkin dirakamkan tahun depan.
  "Bagaimanapun, belum dapat dipastikan jenis lagu atau konsep rakaman
itu. Namun, Ziana berminat berduet dengan Annuar yang banyak membantu
Ziana selama ini," katanya.
                               (END)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:26 PM | Show all posts
Document 6 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         17/07/1993
        Page Number :         15
        Headline :         Gigit hingga berbekas
        Words :         483
        Byline :         By Azwani Abdul Ghani
        Column Name :         Megastar
        Text :        
       

AKU rasa satu hari nanti, budak ni mesti meletup!
  Begitulah bisikan yang pernah terkeluar dari mulut komposer Rahim Othman
selepas kali pertama mendengar suara serta gaya Ziana Zain menyanyi.
  Ternyata, kata-kata itu menjadi kenyataan tidak lama kemudian apabila
album pertama Ziana, Madah Berhelah meletup di pasaran dan sekaligus
meletakkan Ziana sebaris dengan penyanyi popular tanah air.
  "Tapi sebelum itu, enam bulan kami menanggung kerisauan menunggu kerana
sebaik saja Madah Berhelah dipasarkan, tak ada pula yang hendak beli -
mungkin kerana dia penyanyi baru.
  "Kemudian selepas ia sering diputarkan di radio, pendengar mula tertarik
dengan lagu Madah Berhelah dan tiba-tiba saja boom!," kata penciptanya,
Saari Amri.
  Mujurlah lagu itu mendapat sambutan, kalau tidak Ziana pasti melopong
kerana sebelum ini, dia secara tidak sengaja pernah menolak rezeki yang
datang menggolek.
  "Ingat tak lagu Rela yang dinyanyikan oleh Tila kira-kira tiga tahun
lalu? Lagu itu sebenarnya Rahim sediakan untuk album pertama Ziana, tapi
gagal dirakamkan.
  "Pada masa itu Ziana sudah memegang jawatan pramugari dan terlalu sibuk
dengan tugas. Apabila ditawarkan membuat album, dia terpaksa menolak lalu
Rahim beri lagu Rela pada Tila.
  "Selepas lagu Rela meletup dan nama Tila mula terkenal, barulah Ziana
berkesempatan merakam lagu. Akhirnya Rahim jugalah yang menjadi penerbit
album sulung Ziana," katanya.
  Sejak lagu Madah Berhelah popular, perhubungan Ziana dan Saari turut
mejadi akrab. Sebelum ini Saari hanya berdiri di belakang sekadar
memerhatikan Ziana mendendang lagu ciptaannya.
  "Tetapi kami mula rapat seperti adik-beradik, bertepuk bertampar dan tak
henti bergaduh. Pernah dia gigit tangan saya sehingga boleh kira berapa
jumlah kesan giginya.
  "Begitupun dia tak lupa belanja saya makan selepas lagu Madah Berhelah
popular!
  "Malah dia juga minta lagu untuk album keduanya yang akan diterbitkan
bersama oleh M Nasir, Fauzi Marzuki dan Zuriani Khalid. Kali ini saya
menciptakan lagu Putus Terpaksa.
  "Sewaktu dalam studio, kami bergaduh lagi.
  "Saya tak puas hati apabila Zuriani menerbitkan lagu Putus Terpaksa.
Cita rasanya terlalu berbeza dengan kehendak saya.
  "Akhirnya saya pergi jumpa pihak atasan syarikat rakaman Ziana, komplen
tak puas hati. Alasannya, lagu itu saya yang punya dan sudah tentu saya
yang lebih faham.
  "Dia orang marah. Katanya, kamu siapa hendak bising-bising, Zuriani itu
pula siapa. Tapi bagi saya, saya ada hak kerana lagu itu saya punya," kata
Saari.
  Selepas beberapa hari bertelagah, akhirnya Saari berjaya mendapat apa
yang dihajati, iaitu menerbitkan sendiri lagu Putus  Terpaksa mengikut
cita rasanya.
  "Sudah satu perkara, timbul pula lagi satu masalah!
  "Ziana pula tak berkenaan dengan judul Putus Terpaksa. Dia mahukan judul
yang hanya ada sepatah perkataan.
  "Kami bertekak lagi. Akhirnya saya kata pada dia: ...okay, nak tukar
boleh. Kau carilah tajuk yang kau suka. Tapi sampai sekarang tak dapat,
sedangkan album sudah dijual!," kata Saari Amri dalam mengenang catatan
hubungannya bersama penyanyi muda yang semakin popular sekarang.
  Semoga segala pengalaman, pahit manis dan kecekalan hati Ziana Zain
hingga setakat ini menjadi contoh kepada generasi baru yang sedang
mengasah bakat mengejar cita-cita dalam seni.
                               (END)
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-6-2007 05:26 PM | Show all posts
Document 4 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         12/07/1993
        Page Number :         16
        Headline :         Uji tak nak nyanyi lagi, uji takut: Zain
        Words :         732
        Byline :         By Azwani Abdul Ghani
        Column Name :         Megastar
        Text :        
       

PUCAT lesi mukanya apabila sebuah majalah memaparkan gosip, menuduh bahawa
dia adalah di antara beberapa artis wanita yang sanggup menggadaikan
maruah dengan bergambar bogel.
  "Waktu itu, seperti kata orang kalau dituris tidak berdarah. Mungkin
kerana terlalu terkejut membaca tohmahan yang dikenakan ke atas dirinya,"
cerita bapanya, Zain Abdullah.
  Gosip itu juga hampir berjaya membuatkan Ziana Zain, 25, atau nama
sebenarnya Siti Roziana Zain menarik diri daripada bernaung di bawah
bidang seni suara yang diminati sejak kecil.
  "Dia kata pada saya, Abah, Uji tak nak menyanyi lagi, Uji takut! Sambil
itu air matanya berjurai-jurai jatuh. Berminggu-minggu dia malu serta
takut hendak keluar dari rumah.
  "Katanya, apabila berjalan di khalayak ramai, dia terasa seperti tidak
berpakaian! Bukan saja dia yang malu, saya dan emaknya juga malu dengan
cerita seperti itu.
  "Bukan saja kami terpaksa berhadapan dengan jiran yang bertanyakan hal
itu, tapi saudara mara di kampung juga, malah ada yang percaya terus
dengan gosip liar seperti itu.
  "Pernah ada di antaranya yang bertanyakan saya, Zain, macam mana engkau
jaga anak engkau?," katanya mengimbau kenangan anak sulungnya yang lebih
manja dengan nama timangan Uji.
  Begitulah antara cabaran yang menimpa bekas pramugari yang kini menjadi
penyanyi sepenuh masa. Nama Ziana mula melonjak naik selepas lagu Madah
Berhelah meletup di pasaran tahun lalu.
  Tapi sebelum itu, tiada seorangpun ahli keluarga menyangka bahawa gadis
tinggi lampai bertubuh langsing itu akan menjadi penyanyi, cuma yang
mereka tahu Ziana memang sering menyanyi di bilik air.
  "Saya pernah menegurnya, kau nak dapat suami tua menyanyi dalam bilik
air? Tapi dia hanya jawab, Uji nak berlatihlah kerana malam nanti ada
peraduan menyanyi.
  "Kalau saya tak silap, dia suka benar menyanyi lagu J Kamisah dan
Sanisah Huri tapi judulnya saya tak ingat. Sedar-sedar saja, dia bawa
balik trofi besar kerana menang menyanyi.
  "Rasa banggapun ada, tapi dalam hati saya dan isteri sebenarnya tidak
suka dia menjadi penyanyi. Kami takut dia menyimpang jauh, lari daripada
batas adat Melayu dan agama Islam.
  "Malah impian saya ialah supaya dia menjadi orang yang berguna seperti
doktor atau apa saja jawatan yang dapat membantu orang lain. Tapi saya tak
berdaya menyekat minatnya.
  "Cuma yang saya dapat berikan ialah asuhan agama supaya dia tahu menilai
yang mana baik dan yang mana buruk kerana kami sedar hanya itu yang boleh
mengawasi dirinya," kata pesara polis trafik berpangkat sarjan itu.
  Baginya, selain pelajaran agama, paling penting diterapkan ke dalam jiwa
anak-anak sejak kecil ialah didikan displin, sikap bertanggungjawab,
amanah serta kasih sayang.
  "Pernah saya merotan Ziana kerana dia ke rumah jiran `berkubang' di atas
tilam bersama rakan sebayanya yang juga anak jiran itu. Saya tak suka dia
berkelakuan tak senonoh di rumah orang.
  "Malah di rumah sendiripun saya dan isteri agak tegas dalam mengawal
perangai anak-anak. Jentik-menjentik jari itu perkara biasa kerana Ziana
memang anak yang nakal.
  "Apatah lagi dia anak sulung, cuma yang saya rasa bersyukur ialah Ziana
adalah seorang anak yang cepat mendengar kata walaupun agak nakal.
  "Selain itu dia juga agresif, tak tahu duduk diam. Perangainya seperti
tomboy suka memanjat pokok. Pernah kami sekeluarga gempar apabila dia
terjatuh dari pokok jambu di depan rumah.
  "Satu lagi hobi dia ialah mengusik adik-adik dia, Anuar, Faizal, Salwani
dan Adlin. Dia suka sangat mencubit pipi adik-adiknya sambil mengetapkan
giginya kerana geram.
  "Kalau tak dapat cubit, dia akan gomol adik-adiknya habis-habisan. Kalau
tak dapat adiknya, saya dan ibu dia pula yang jadi mangsa kena cubit,
kadang-kadang kena gigit.
  "Tapi bila diingatkan memang lucu kerana dalam nakal-nakal, dia juga
manja dengan saya. Paling manja dengan saya, walaupun kalau dia buat
jahat, sayalah yang lebih tegas berbanding ibunya.
  "Sampai sekarang dia masih mencubit-cubit pipi saya sehingga adakalanya
saya terpaksa menegur, kau sudah besar nak, malu abah! Tapi dia tak peduli
kerana alasannya rindu," katanya.
* MINAT Ziana menyanyi memang tidak boleh disangkalkan kerana bapanya juga
boleh menyanyi  begitu juga adik lelakinya, Anuar yang pernah merakamkan
lagu Kain Pelikat berduet dengan Elina.
  Tapi sangka keluarga dia sekadar menyanyi sukasuka, mereka tidak tahu di
belakang mereka dia begitu ligat menyertai setiap pertandingan menyanyi di
sekolah. Ikutilah kisah Ziana seterusnya esok...
Biodata
Nama        : Siti Roziana Zin @ Zain
Tarikh lahir: 2 Mei 1968
Tempat lahir: Kampung Simpang, Merlimau, Melaka
Keluarga    : Anak sulung daripada lima beradik
Sekolah     : Sekolah Rendah Jalan Dawai, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor,
              (1975-80)
            : Sekolah Menengah Seksyen 2, Shah Alam, Selangor (1981-85)
Album       : Madah Berhelah (1992) dan Ziana Zain (1993)
                               (END)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:28 PM | Show all posts
Document 7 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         16/07/1993
        Page Number :         13
        Headline :         Kerana burung kami termasuk longkang
        Words :         505
        Byline :         By Azwani Abdul Ghani
        Column Name :         Megastar
        Text :        
       

PADA 1985, sewaktu pihak RTM sibuk menguji bakat peserta Bintang RTM,
Ziana dan Nani berpakat untuk memberanikan diri ke Angkasapuri di luar
pengetahuan keluarga masing-masing.
  "Engkau beritahu emak engkau tak?," tanya Nani kepada Ziana sebaik
sahaja mendaftar nama di pondok kawalan di luar bangunan Angkasapuri.
  Jawapan yang diterima daripada Ziana hanyalah sepatah: "Tak!" sambil
tersengih. Jawapan Ziana membimbangkan Nani apabila membayangkan apa akan
terjadi jika ibu bapa Ziana mengetahui perkara itu kelak.
  Sebaik saja tiba di Angkasapuri, mereka ternampak barisan peserta yang
agak panjang. Masing-masing nampak dewasa berbanding Ziana dan Nani yang
baru berumur 17 tahun.
  Selepas melihat beberapa saingan mereka beraksi, hati Ziana dan Nani
mula kecut. Baru mereka sedar di mana mereka berada dan tinggi rendahnya
langit kerana sebelum itu, mereka menganggap merekalah juara segala juara
- tapi sekadar di sekolah.
  "Eh Rozi, engkau sanggup nak beratur ke?
  "Nani malaslah, barisan panjang sangat!," kata Nani kepada Ziana yang
dipanggilnya Rozi, iaitu singkatan nama Siti Roziana.
  "Entahlah! akupun mula seram sejuk, kita balik sajalah, tak payahlah
masuk!," jawab Ziana.
  "Okay, okay lain kali kita cuba," balas Nani sebelum kedua-duanya
beredar dari situ perlahan-lahan.
  Tapi kalau sudah rezeki Ziana dalam bidang nyanyian, tak perlulah dia
menyertai pertandingan Bintang RTM untuk popular. Cuma Nani yang masih
kurang yakin untuk menyanyi seperti sahabatnya.
  "Biarlah Rozi seorang jadi penyanyi dan Nani sekadar menumpang bangga
dengan kejayaannya. Lagipun Rozi tidak pernah sombong dan kami masih
bersahabat baik sehingga sekarang," katanya.
  Persahabatan yang terjalin sejak berbelas tahun lalu tidak langsung
tergugat oleh populariti Ziana, apatah lagi penyanyi itu adalah seorang
yang mempunyai `kepala hotak' kelakar.
  "Pernah kami jatuh longkang kerana terlalu leka melihat burung berak!
  "Sewaktu itu kami dalam perjalanan ke sekolah agama. Ziana kayuh
basikal, Nani pula membonceng di belakang.
  "Tiba-tiba dia pandang tepi, Nani, tengok tu, burung sedang berak!,"
sambil kami terkekeh-kekeh ketawa.
  "Tapi sedar-sedar basikal kami sudah melencong ke longkang," cerita Nani
mengenang kenakalan mereka ketika kecil.
  Atas sebab saling mengenali dan pergaulan sejak kecil itu juga dia tidak
pernah percaya apabila tersiar gosip yang mengatakan Ziana bergambar
bogel. Nani juga kecewa apabila tugas Ziana sebagai pramugari turut
dipandang serong oleh sesetengah masyarakat.
  "Bohonglah! Nani tak percaya Rozi sanggup melakukan perkara macam itu
hanya untuk glamour. Itu bukan sikap Rozi dan Nani kenal hati budinya
lebih daripada orang lain.
  "Malah, sewaktu Rozi bertugas sebagai pramugari dulu, Nani pernah
bertanya kepadanya sama ada betulkah pramugari berperangai tidak elok
seperti yang sering diperkatakan.
  "Rozi jawab, kerja dalam bidang apa sekalipun, yang penting terletak
pada diri sendiri," katanya.
  Apa yang nyata, Ziana memang keberatan meninggalkan tugasnya sebagai
pramugari. Sementara itu, kariernya dalam bidang nyanyian juga semakin
berkembang.
  Selepas menilai keburukan serta kebaikannya, Ziana terpaksa mengambil
keputusan memilih di antara dua. Akhirnya, dia mengambil keputusan
menjadikan nyanyian sebagai sumber rezeki.
ESOK: Tidak keterlaluan jika dikatakan sentuhan Saari Amri turut membuka
peluang Ziana mencipta nama. Ini dibuktikan oleh populariti lagu Madah
Berhelah ciptaan Saari yang dimuatkan dalam album pertama Ziana.
  Begitupun, di dalam studio, kedua-duanya ibarat anjing dan kucing!
  Mengapa? Ada jawapannya, esok.
                               (END)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:29 PM | Show all posts
Document 8 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         14/04/1993
        Page Number :         16
        Headline :         Ziana Zain masih simpan rahsia
        Words :         434
        Byline :         By Norfatimah Ahamd
        Text :        
       

ZIANA Zain tak berubah! Gaya, rupa dan perawakannya masih seperti dulu.
Senyum dan tawanya juga tetap melambangkan dirinya yang sentiasa happy go
lucky.
  Kini dengan kerjasama pengurus peribadinya, Sirhaini Surya (Nanee), yang
mengendalikan promosi serta pertunjukan pentas untuk Ziana, segala
kegiatan sehariannya cuba diatur sebaik mungkin.
  Kelahiran album yang ditunggu oleh peminatnya sudah pasti membuatkan
penyanyi ini terus berusaha memperbaiki mutu suaranya yang pernah menjadi
persoalan dulu.
  "Ziana cuba memperbaiki suara dan berharap `pisang tak berbuah dua
kali'," katanya.
  Suara yang lebih matang diharap dapat memuaskan hati pendengar, lebih-
lebih lagi Ziana kini menumpukan masa sepenuh perhatian di bidang yang
menjadi sumber rezeki.
  Begitulah kisah penyanyi yang berjaya mengukir nama menerusi lagu
popular Madah Berhelah dan kini menaruh harapan untuk meneruskan
perjuangannya dengan kelahiran album keduanya, Ziana Zain.
  Album terbarunya yang diterbitkan oleh M Nasir, Saari Amri, Asmin Mudin
dan Anuar mungkin dapat menjawap segala persoalan kerana album itu
memuatkan luahan isi hatinya.
  Pengalaman yang diperolehi ketika bekerja di bawah empat penerbit
membolehkan Ziana bertindak lebih matang dalam membuat sebarang keputusan
yang berkaitan dengan masa depannya.
  Ziana mengaku lagu-lagu terbaru dendangannya kali ini mencerminkan
dirinya, lebih-lebih lagi apabila dimuatkan tiga lagu rentak R&B yang
digemari iaitu Ku Cinta Padamu, Mimpimu Bukan Mimpiku dan Di Sini
Selamanya ciptaan Zuriani Khalid dan lirik oleh Nanee.
  Antara lagu yang dimuatkan menerusi album terbarunya adalah Putus
Terpaksa (Saari Amri), Kaulah Penentunya (Zuraini/Nanee), Rindu Yang Ku
Pendam (M Nasir/Bob), Kasih Ku Pertahankan (Anuar/Azam Dungun) dan
Anggapanmu (Asmin Mudin).
  Bagi memastikan penghasilan album terbarunya berjalan dengan lancar,
Ziana dan Nanee sama-sama berusaha ke arah itu.
  "Boleh dikatakan 60 peratus daripada pembikinan album kali ini adalah
ilham kami bersama," kata Ziana.
  Kegembiraan jelas terbayang pada wajahnya, walaupun berdebar-debar
menantikan sambutan yang akan diterima apabila album terbarunya diedarkan
kelak.
BERCAKAP MENGENAI PENERBIT ALBUM
"MEMANG cerewet," kata Ziana Zain ketika ditanya berkaitan dengan salah
seorang penerbit album terbarunya, Saari Amri.
  Tetapi kerana perwatakan pencipta itu memang sudah diketahui oleh Ziana,
dia tidak hiraukan tingkah laku yang ditunjukkan oleh Saari.
  Komposer terkenal yang turut menyumbangkan lagu ciptaannya, Putus
Terpaksa menerusi album kedua Ziana dianggap sukar menerima pendapat yang
disampaikan olehnya sepanjang rakaman.
  "Ziana tak kisah, mungkin itu caranya, lagipun dia lebih berpengalaman,"
katanya.
  Namun kadang-kala Ziana berasa agak sukar untuk bekerjasama dengan Saari
kerana terpaksa mengikut ideanya tanpa mengambil kira pendapat orang lain.
  Bagaimanapun lama-kelamaan Ziana dapat menyesuaikan diri dengan gelagat
Saari walaupun beberapa kali harus merakamkan lagu itu.
  Walau apa yang dilakukan, penyanyi ini akan tetap menghormatinya selaku
penerbit album dan juga salah seorang pencipta lagu yang diminati ramai
masa kini.
                               (END)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:30 PM | Show all posts
Document 9 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         13/07/1993
        Page Number :         15
        Headline :         Kerana kuat membebel...
        Words :         524
        Byline :         By Azwani Abdul Ghani
        Column Name :         Megastar
        Text :        
       

ORANGNYA tinggi lampai, langsing dan berkulit hitam manis. Mungkin ramai
yang perasan akan warna kulitnya yang agak gelap berbanding warna kulit
bapanya, Zain dan emaknya, Robiah.
  Malah sewaktu pelancaran album pertamanya, Madah Berhelah pada tahun
lalu terdengar ada wartawan dan jurugambar yang berbisik, eh! itu mak
Ziana ke? Mak dia lawa lagilah!
  Dan apabila soalan itu diajukan kepada ibunya ketika wawancara bersama
keluarga penyanyi itu, di rumah mereka di Shah Alam baru-baru ini, secepat
kilat adik Ziana, Anuar menjawab: "Ya! memang betul!".
  "Ramai orang yang berkata begitu, malah Ziana sendiri tahu pasal itu,
tapi dia tak kisah," kata Anuar yang dulu terkenal dengan lagu Kain
Pelikat dan sekarang bertugas sebagai pramugara MAS.
  "Kulit Ziana lebih gelap kerana dia lebih banyak ikut mak mentua saya
yang berdarah Pakistan. Bentuk badan mereka juga sama, tak naik berat
badan walaupun makan banyak!
  "Sedangkan keturunan saya pula ada bercampur darah Iran, tapi Ziana
tidak banyak mengikut saya, malah selera dia pun lebih kepada selera
mamak, suka makan sambal tumis!," cerita emaknya.
  Robiah ketawa mengenangkan peristiwa sewaktu mengandungkan anak
sulungnya itu. Sesuai dengan lagu yang membawa kejayaan kepada Ziana,
penyanyi itu sejak dalam kandungan memang pandai `berhelah'.
  "Adakalanya saya rasa bosan mengandungkan Ziana kerana sering bangun
malam untuk buang air kecil. Bayangkan siapa yang tak jemu kalau kena
bangun sehingga 28 kali semalam.
  "Bukan saya saja yang tak boleh tidur, suami juga turut tak boleh tidur.
Tiap-tiap malam dia akan kira berapa kali saya bangun buang air kecil,
puratanya ialah 28 kali!," katanya menggeleng kepala.
  Sepanjang meningkat dewasa, Ziana dididik dengan penuh disiplin dan
kasih sayang. Sejak berumur 11 tahun, Robiah mula melatih Ziana dengan
adat wanita timur.
  "Saya ajar dia melakukan kerja rumah, manakala abahnya mengajar dia
mengaji Quran. Peristiwa yang tidak boleh dilupakan ialah apabila saya
memukul tangannya sehingga merah.
  "Sewaktu itu dia sekolah darjah lima. Selepas pulang dari sekolah, lucut
pakaian seragam dan makan nasi saya biarkan dia berehat sebentar kerana
tahu dia letih.
  "Tidak lama kemudian saya menyuruhnya basuh pinggan, sengaja saya tidak
basuh pinggan hari itu kerana hendak mengajarnya.
  "Saya kata padanya, Roziana, basuh pinggan nak. Dia jawab, nanti
kejaplah mak, Uji baru balik sekolah, letihlah. Sayapun biar dulu kerana
faham dia baru pulang.
  "Kemudian saya suruh lagi, dia kata, alah mak, orang penat baru balik
dari sekolah. Saya nasihatkan padanya bahawa kita orang perempuan, kena
belajar buat kerja rumah.
  "Saya ambil besen, letakkan sabun dan suruh sekali lagi. Tapi dia
berdegil juga sambil mulutnya membebel, orang penatlah, kerja sekolah
banyak, mak tak fahamlah.
  "Cukup tiga kali, saya marahkan dia, mulalah mulutnya membebel. Bila
saya tegur, dia baling gayung. Saya pun hilang sabar, ambil gayung tadi
dan pukul kesepuluh-sepuluh jarinya.
  "Selepas itu dia tak berani melawan lagi dan sehingga sekarang setakat
memasak, Ziana memang cekap. Dia pula yang marahkan adiknya, kalau mereka
malas, sama seperti saya marahnya dulu," katanya.
KELUARGA Ziana tidak terkejut jika dia berbakat menyanyi kerana mereka
sering mendengarnya melalak di dalam bilik air, tapi tidak pula mereka
menyangka dia kini menjadi penyanyi rakaman.
  Rupa-rupanya dalam diam-diam Ziana menyertai pelbagai pertandingan
menyanyi di sekolahnya. Jangan ketinggalan mengikuti perjalanan hidup
penyanyi Madah Berhelah ini seterusnya esok...
                               (END)

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:31 PM | Show all posts
Document 10 of 389
        Publication :         BH
        Edition :         TE
        Date :         08/04/1993
        Page Number :         17
        Headline :         Album terbaru Ziana lebih hebat
        Words :         366
        Byline :         By Jenney Juanis
        Text :        
       

SELEPAS kejayaan lagu Madah Berhelah, penyanyi bersuara nyaring Ziana Zain
kembali dengan album solo yang lebih hebat berjudul Ziana Zain yang berada
di pasaran mulai Isnin ini.
  Album yang memuatkan 10 lagu itu turut menyelitkan sebuah lagu Jepun,
Chito Bashi, yang dimuatkan dalam album Asian Voices untuk pasaran Jepun,
tahun lalu.
  Album ini lebih hebat daripada Madah Berhelah kerana memuatkan pelbagai
rentak seperti komersil pop, R & B, disko dan balada yang dijangka boleh
diterima semua lapisan masyarakat.
  Ia juga menggabungkan empat penerbit terkenal iaitu M Nasir, Saari Amri,
Zuriani Khalid dan Anuar (pendatang baru yang masih menuntut di ITM).
  "Dengan gabungan pelbagai komposer itu, ia juga secara tidak langsung
akan mempelbagaikan irama dan rentak lagu dalam album itu.
  "Saya gembira kerana diberi peluang menyanyikan lagu pelbagai konsep,"
kata Ziana ketika mengunjungi pejabat Berita Harian, semalam.
  Menurutnya, beberapa lagu dalam album itu dijangka menjadi hit kerana
agak berbeza mengikut konsep R & B iaitu lagu Putus Terpaksa, Kasih Ku
Pertahankan, Anggapan Mu dan Rindu Yang Kupendam.
  Ziana berkata, Anggapan Mu, lagu dan lirik dicipta oleh Asmin Mudin
adalah lagu yang boleh menyaingi populariti Madah Berhelah.
  Ia bukan saja bernada tinggi dan berirama merdu tetapi mempunyai lirik
yang melankolik.
  Lirik Anggapan Mu banyak menggunakan unsur metafora. Ia menggunakan
bunga dan kebun untuk menceritakan kesedihan bercinta, misalnya, dalam
rangkap pertama sekebun cinta nan berbunga dan rangkap kedua baris kelima
aku di taman hanya perhiasan.
  Lagu itu pernah memberi populariti kepada Ziana Zain di Jepun.
  Mengenai jualannya, Ziana berkata, sehingga ini, album itu sudah
menerima tempahan kira-kira 20,000 unit dan dijangka mampu menyaingi
jualan album pertama yang sudah mencapai 43,000 unit.
  Kejayaan itu juga melayakkan Ziana menerima Anugerah Cakera Emas baru-
baru ini.
  Lagu lain dalam album Ziana Zain ialah Mimpi Mu Bukan Mimpi Ku, Hadir
Mu, Kaulah Penentunya, Ku Cinta Pada Mu dan Di Sini Selamanya.
  Mengenai tunjuk perasaan di Terengganu baru-baru ini, Ziana berkata, dia
sudah menjangka keadaan itu berlaku berdasarkan kepada pengalaman artis
sebelum ini.
  "Saya tidak terkejut apabila polis terpaksa menyurai kira-kira 100 orang
penunjuk perasaan bertujuan menggagalkan konsert itu," katanya.
  Ziana berkata, dia tidak faham mengapa ada pihak yang membenci muzik
yang sudah terbukti mempunyai nilai murni yang tersendiri.
                               (END)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:32 PM | Show all posts
Document 15 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         27/03/1993
        Page Number :         18
        Headline :         Ziana bukan baru muncul
        Words :         373
        Byline :         By Azwani Abdul Ghani
        Text :        
       

MUNGKIN tidak ramai yang tahu sejak 1986, gadis manis ini sentiasa
berulang-alik ke Johor mengikuti Kombo Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk
meraikan hari keputeraan Sultan Johor.
  "Saya seronok setiap kali ke sana kerana habis saja konsert, kami
beramai-ramai akan merayau di Pantai Lido cari tempat makan. Makanan di
situ best!," kata Ziana Zain ketika ditemui di majlis berbuka puasa petang
kelmarin.
  Majlis itu diadakan di Pusat Pembangunan Asia Pasifik (APDC), Jalan
Duta, sempena melancarkan album barunya, Madah  Berhelah.
  Ziana yang kelihatan riang menyatakan sekalipun kadangkala terasa letih
melayan penumpang atau berkejar ke pentas untuk menyanyi, hatinya puas
kerana masanya tidak terbuang. Dia tidak bimbang kerana dalam kesibukan
dia masih mempunyai masa untuk berihat.
  "Lagipun kalau duduk di rumah lama-lama saya cepat bosan. Tak tahu apa
nak buat, melopong aje! Jadi lebih baik bekerja dan di samping itu
mencuba-cuba di bidang nyanyian," kata Ziana yang juga seorang pramugari.
  Di majlis itu, Ziana yang ditemani ibu bapanya, Puan Robiah Abdul dan
Zain Abdullah mengambil kesempatan menyanyikan empat lagu daripada album
berkenaan. Lagunya ialah Madah Berhelah, Teruna Dara,  Rentak Hidup dan
Riwayat Cinta.
  Kemunculan Ziana Zain bukanlah baru, malah sebelum ini dia pernah
merakamkan lagu bersama beberapa penyanyi lain untuk album Kini Saatnya -
Album Sukan SEA  ke-15. Ketika itu Ziana mendendangkan lagu Lukisan Wajah
Cinta, ciptaan Akhbar Nawab dan lirik oleh Talha Tukimin.
  Selepas itu dia sekali lagi berpeluang merakamkan lagu ke dalam album
Ibarat Lilin. Turut serta ialah penyanyi daripada ahli keluarga polis.
Ketika itu Ziana menyampaikan lagu Hanya Waktu Yang Menentukan ciptaan
serta lirik oleh Saari Amri.
  Kejayaannya yang boleh dibanggakan ialah apabila dia terpilih menjadi
seorang daripada beberapa penyanyi Asia untuk projek Asean Voices. Projek
itu bertujuan memperkenalkan penyanyi Asia kepada rakyat Jepun. Ziana
adalah antara yang terpilih menyanyikan lagu Jepun Chitoshe  Bashi.
  Sementara itu, dalam album Ziana Zain  Madah Berhelah, dia menyanyikan
sepuluh lagu berentak pop. Antaranya ialah Kehidupan, Ke mana Perginya
Cahaya, Kekalkan Warisan, Cinta Gugur Satu-satu, Teruna Dara, Sebelum
Terlewat Waktu dan Rentak Hidup.
  Tiga lagu lagi, Madah Berhelah, Riwayat  Cinta dan Dalam Kesakitan Ini
adalah antara lagu yang dijangka menjadi hit. Penerbit album Ziana, Rahim
Othman menjangkakan Madah Berhelah akan digemari ramai.
  Album ini berada di pasaran sejak dua bulan lalu.
                               (END
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:33 PM | Show all posts
Document 20 of 389
        Publication :         BH
        Edition :         TE
        Date :         27/09/1993
        Page Number :         17
        Headline :         Ziana mahu bukti keupayaan
        Words :         361
        Byline :         By Zubairi Zabidin
        Text :        
       

ZIANA Zain yang terpilih ke Festival Asian Pop  Queen anjuran NHK Jepun di
Fukuoka dan Hiroshima, Jepun, selama tiga hari bermula 2 Oktober ini mahu
membuktikan penyanyi Malaysia juga mampu menyerlah di peringkat
antarabangsa.
  Lima penyanyi dari empat negara Asia mengambil bahagian. Selain Ziana
yang mewakili Malaysia, Jepun menghantar dua artis manakala Indonesia dan
Filipina seorang peserta.
  Indonesia dijangka diwakili penyanyi popularnya, Hetty Koes Endang,
manakala Filipina kumpulan remaja Smokey Mountain.
  Persembahan pertama di Fukuoka pada 2 dan 3 Oktober disiarkan secara
langsung ke beberapa negara di Asia, manakala persembahan seterusnya ialah
di Hiroshima pada 5 Oktober.
  Pengurus Ziana, Nanee, yang mengiringi penyanyi itu berkata, berkata
mereka akan bertolak ke Jepun lebih awal iaitu esok (Selasa) untuk
mengadakan latihan pesat dengan band pengiring yang disediakan penganjur.
  "Ziana berasa bangga kerana terpilih menyertai festival itu dan
sekaligus memberi peluang kepadanya untuk mengenali dirinya dengan lebih
dekat dengan peminat seni suara negara itu.
  "Sebelum ini lagunya  dalam bahasa Jepun berjudul Chitose Bashi,
dimuatkan dalam album Asian Voice yang menampilkan persembahan artis
beberapa negara Asia, sudah dijual di sana.
  "Peluang keemasan ini tidak akan disia-siakan oleh Ziana, di samping
mahu membuktikan kepada negara luar bahawa Malaysia juga mempunyai ramai
artis yang berbakat.
  "Setiap artis diberi masa 20 minit untuk mengadakan persembahan. Ziana
akan mendendangkan tiga lagu iaitu Anggapanmu, Kucinta Padamu  dan lagu
Jepun Chitose Bashi," katanya.
  Mengenai persiapan itu, menurut Nanee lagi, Ziana kini menjalani latihan
pesat iaitu di segi vokal dan persembahan.
  "Kami menyediakan seorang yang pakar di bidang koreografi untuk
mengajarnya kerana di samping memerlukan suara yang baik, persembahan yang
menarik juga boleh memikat penonton," katanya.
  Menjawab satu soalan lain, Nanee berkata, Ziana sudah membuat
persetujuan untuk membintangi filem Sembilu arahan Yusof Haslam, keluaran
Skop Production.
  "Insya-Allah, pulang dari Jepun, barulah majlis menandatangani kontrak
diadakan. Sekarang Ziana sibuk dan abang Yusof sendiri faham dengan
keadaan itu dan dia memberi kebebasan kepada kami.
  "Walaupun Ziana sudah diterima berlakon, tetapi dia terpaksa mengadakan
uji bakat yang bertujuan mengetahui setakat mana kemampuan penyanyi itu di
bidang lakonan.
  "Ziana sendiri tidak berkecil hati apabila dia disuruh melakukannya
kerana sebagai tuan punya syarikat dan juga pengarah filem itu, Yusof
berhak berbuat sedemikian," katanya.
                               (END)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:35 PM | Show all posts
Document 30 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         16/07/1993
        Page Number :         18
        Headline :         Nak kawan pun tidak boleh?
        Words :         309
        Byline :         By Roslen Fadzil
        Text :        
       

PANAS telinga!
  Pengacara TV3, Azwan Ali melenting apabila terbaca laporan terbaru dalam
sebuah majalah yang mendakwa dia `terkejar-kejar' penyanyi yang sedang
`laris' di pasaran - Ziana Zain.
  Azwan yang menghubungi Harian Metro, semalam melahirkan kekesalan kerana
laporan itu yang disifatkannya sudah keterlaluan dan cuba menjatuhkan
maruahnya dalam industri hiburan tanah air.
  "Ia menyebut saya `kejar' Ziana Zain dan selama ini `suka sangat'
berkawan dengan artis glamour!
  "Bukan itu saja, ia juga menyebut dulu saya pernah berkawan dengan
Fauziah Latiff (Gee), tapi tidak menjadi. Sekarang saya rapat pula dengan
Ziana dan tak tahulah macam mana," kata Azwan.
  Azwan mengakui sejak kebelakangan ini, dia memang berkawan rapat dengan
Ziana tetapi itu tidak bermakna mereka sedang bercinta atau merancang
untuk berkahwin.
  "Saya tak marah kalau ada yang menulis gosip mengenai hubungan kami.
Namun demikian, kalau anggap saya rapat dengan Ziana kerana dia orang
glamour dan terkenal, ia dakwaan yang tak berasas sama sekali!
  "Saya bukan hendak cakap besar. Kalau hendak dikirakan glamour, setiap
hari pun saya berjumpa artis terkenal. Sebutlah siapa saja, Ella, Ruhil,
Sheila Majid, Sofia Jane...semua saya rapat kerana kerja saya memang kena
berurusan dengan artis," katanya.
  Azwan berkata, isu yang sama juga pernah meledak sewaktu dia berkawan
rapat dengan Gee dan Maria Farida.
  "Ketika berkawan dengan Gee dan Maria, mereka sudah ada steady
boyfriend. Tapi kami saling menghormati dan jauh sekali mengaitkan
perkahwinan. Sekarang perkara yang sama berulang lagi dan saya betul-betul
kesal," katanya.
  Bagi menjelaskan kedudukan sebenarnya, Azwan berkata dia sudah bersemuka
dengan Ziana kelmarin dan penyanyi itu faham dengan kedudukan mereka
sebagai sahabat.
  "Bagi saya, Ziana gadis yang baik dan pandai mengambil hati kawan. Saya
juga kenal dengan keluarga Ziana dan mereka tidak menentang hubungan kami.
  "Bagi saya, soal jodoh adalah urusan Tuhan dan itu terserahlah. Ini
bermakna calon isteri saya kelak tak semestinya seorang artis, asalkan dia
pandai membawa diri," kata Azwan.
                               (END)
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-6-2007 05:35 PM | Show all posts
Document 32 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         TE
        Date :         12/05/1993
        Page Number :         18
        Headline :         Ziana ke Indonesia
        Words :         119
        Byline :        
        Text :        
       

ZIANA ZAIN (gambar) temui peminat Indonesia.
  Sepuluh hari begitulah lamanya Ziana Zain berada di Jakarta, Indonesia.
  Dia yang berlepas bersama pengurusnya, Nanee untuk promosi album barunya
dijadualkan menjalani rakaman video klip lagu Putus Terpaksa, ciptaan
Saari Amri.
  Menurut Nanee, lirik lagu Putus Terpaksa itu bagaimanapun akan diubah ke
bahasa Indonesia untuk memudahkan masyarakat Indonesia menerimanya.
  "Itu terpaksa dilakukan kerana beberapa perkataan kita di sini mempunyai
maksud yang berlainan," katanya ketika ditemui kelmarin.
  Mereka dijadualkan berada di Jakarta sehingga 21 Mei.
  Selama itu juga Ziana akan mengadakan promosi album tebarunya di
beberapa stesyen radio di negara itu dengan kerjasama syarikat P T Muzica
di sana.
  "Ziana akan cuba sedaya upaya untuk menempa nama di sana nanti," kata
Nanee.
                               (END)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2007 05:36 PM | Show all posts
Document 35 of 389
        Publication :         HM
        Edition :         SE
        Date :         22/07/1993
        Page Number :         01
        Headline :         Ramlah mengalah
        Words :         119
        Byline :        
        Text :        
       

RAMLAH Ram dan Ziana Zain berebut pengurus!
  Tidak sampai setahun selepas R'teez Production ditubuhkannya bersama
Ziana Zain dan pengurusnya, Nanee, Ramlah (gambar) terpaksa berfikir dua
kali sama ada terus berkongsi modal dengan mereka atau sebaliknya.
  Jadual persembahan Ramlah dan Ziana yang kerap mempunyai persamaan
tarikh tetapi di tempat yang berbeza, membuatkan Nanee selaku pengurus
Ziana tidak dapt menumpukan perhatian kepada kedua-duanya.
  Keadaan itu memesong daripada tujuan utama penubuhan R'teez Production
untuk mengurus artis. Sebagai permulaan, Nanee sepatutnya mengurus Ziana
dan Ramlah.
  "Kami memang sering dapat tawaran pertunjukan di tempat yang berlainan.
  "Kalau ditakdirkan kami terpaksa berpisah, saya tidak akan kecil hati
jika Ziana yang menjadi pilihan kerana dia adalah artis pertama diuruskan
oleh Nanee," kata Ramlah.
                               (END)

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 7-6-2007 10:27 PM | Show all posts
hahahah..jahat ko gelak karl..
TQ mahkluk
Reply

Use magic Report

Post time 21-6-2007 10:32 PM | Show all posts
ziana dikenali di indon p mngapa skrg kak g sudah tidak popular di sana?
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 02:56 PM GMT+8 , Processed in 0.465884 second(s), 47 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list