CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

1234
Return to list New
Author: budakpendekk

Arkib Berita Ziana Zain Bersama Utusan Malaysia

 Close [Copy link]
 Author| Post time 24-6-2007 11:49 AM | Show all posts
Ziana Zain bentuk badannya kembali asal

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

Source : Utusan Malaysia
Date : 11/07//2004

SELAIN berasa gembira dengan berita kehamilan keduanya pada awal tahun lalu, artis popular Ziana Zain, tidak dapat lari daripada berasa risau.

Risau memikirkan tentang kemungkinan pertambahan berat badan yang akan dialaminya selepas bersalin.

Kata orang, agak senang bagi seseorang ibu untuk kembali ke bentuk badan asal selepas melahirkan bayi pertama berbanding bersalin kali kedua.

``Masa tu, Ziana fikir berapa lama pula masa yang akan diambil kali ini untuk menurunkan berat badan, tidak termasuk kosnya lagi.

``Bagai mimpi jadi realiti apabila Slim World Beauty House menyatakan hasrat untuk menjadikan Ziana jurucakap bagi produk pelangsingan mereka yang baru,'' katanya.

Demikianlah awal bicara Ziana saat mengimbas kembali pengalamannya dilamar oleh Slim World pada sidang akhbar pelancaran Sistem Perawatan Bawang Putih (GTS) di cawangannya di Berjaya Times Square, baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, berat badan Ziana menurun sebanyak 25 kilogram selepas tiga bulan mengikuti program berkenaan sejak Disember tahun lalu iaitu selepas berpantang selama 60 hari.

Daripada berat badannya yang mencecah 73 kilogram semasa mengandung, menurun kepada 68 kilogram selepas bersalin, kini Ziana mencapai sasaran berat badan yang ditetapkannya iaitu 48 kilogram.

Lihatlah sendiri bagaimana langsingnya ibu kepada dua putera ini yang tampak lebih seksi mengenakan gaun serba hitam pada majlis berkenaan.

Tidak hairanlah beliau melangkah tegap dan penuh yakin sambil kedua-dua tangannya diletakkan di belakang, sama sekali tidak menampakkan seorang wanita berusia 36 tahun.

Malah, rata-rata pelanggan Slim World serta para peminatnya yang dijemput menghadiri majlis tersebut menyambut ketibaan Ziana dengan tepukan gemuruh sambil memanggil-manggil namanya.

Dalam keriuhan tersebut, kedengaran suara milik dua wanita di belakang saya yang berbisik antara satu sama lain: ``Mak aih body... mengalahkan anak dara.''

Ziana mengakui, tanpa disiplin diri yang kuat, beliau tidak mampu memiliki sekujur tubuh seperti sekarang sehinggakan dia segan bertemu wartawan sejak melahirkan Mohd. Ammar Armin, kini sembilan bulan.

Beliau bukan sahaja bersenam tetapi juga mengikuti program diet mengurangkan karbohidrat dan protein yang juga ditaja oleh Slim World.

``Pada 10 hari pertama, saya hanya mengambil sosej dan telur hancur pada sebelah pagi manakala petang dan malamnya pula, buah-buahan, sayur-sayuran dan segelas besar air.

``Masuk hari ke-11 barulah saya makan bubur dan kemudiannya semangkuk kecil nasi yang rendah kandungan kalori dan gulanya,'' katanya.

Ziana tidak mengambil sebarang makanan selepas pukul 9 malam.

Ditanya bagaimana beliau boleh mendisiplinkan dirinya dengan begitu ketat sekali, ujar Ziana: ``Saya sanggup bersusah payah begitu kerana gemuk hanya membuatkan saya lebih tertekan.

``Saya tak rasa susah sangat mungkin sebab dah biasa berdiet,'' katanya sambil menasihatkan wanita khususnya remaja jangan menggunakan jalan singkat.

Menurutnya, ada sesetengah daripada mereka yang mahu kelihatan ramping dengan mengambil pil-pil ekstasi kerana ia boleh menyekat keinginan seseorang untuk makan.

Ziana yang akan kembali bergandingan dengan Erra Fazira menerusi filem Sembilu 2005 turut menyangkal pandangan yang mengatakan `lebih baik membeli barangan kemas daripada menghabiskan wang ringgit untuk melangsingkan tubuh badan'.

``Salah tu, sebab kalau anda pakailah perhiasan semahal mana sekalipun tetapi kalau badan tak lawa, tak lawa juga.

``Jadi jangan terlampau lokek dan takut sangat berbelanja demi penjagaan badan,'' katanya.

Sementara itu, pakar kecantikan Slim World, Karina Leng mengakui, pemilihan Ziana adalah tepat pada masanya dengan pengenalan produk itu.

``Di samping itu, kami sudah lama menyedari sikapnya yang cukup mengambil berat mengenai soal kecantikan dan penjagaan tubuh badan,'' katanya.

GTS merupakan sistem perawatan pelangsingan badan berasaskan bawang putih berasal dari Perancis dan pertama kali dibawakan ke negara ini oleh Slim World.

Pemakaiannya dengan cara melumurkan campuran berkenaan ke seluruh badan berupaya memecahkan lemak-lemak yang tersimpan di dalam badan sekali gus memberikan bentuk badan yang diingini.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-6-2007 11:50 AM | Show all posts
Prism - Kutip royalti penyanyi dan pemuzik

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Source : Utusan Malaysia
Date : 02/07/2004

BADAN Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Malaysia) Sdn. Bhd., (Prism) mula mengutip royalti persembahan bagi pihak penyanyi dan pemuzik yang karya mereka disiarkan di premis awam, pusat karaoke, stesen TV dan hotel-hotel.

Prism yang dipengerusikan oleh Aziz Bakar diberi tanggungjawab melindungi hak cipta pelaku rakaman bunyi, rakaman vokal dan kerja seni.

Aziz sewaktu sidang media baru-baru ini berkata sebarang bentuk penyiaran lagu di tempat yang membabitkan orang awam, perlu mendaftar terlebih dahulu dengan Prism.

``Penyiar perlu membayar royalti kepada Prism pada setiap lagu yang disiarkan di premis awam dan stesen TV. Hasil daripada kutipan bayaran itu, akan kami agihkan kepada penyanyi dan pemuzik yang lagunya disiarkan. Kutipan royalti ini sudah mula kami lakukan tiga bulan lalu.

``Setakat ini kami mendapat kerjasama yang baik daripada pihak terbabit,'' kata Aziz yang juga pengerusi bagi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM).

Menurut Aziz, Prism mendapat kerjasama penuh daripada Public Perfomance Malaysia (PPM) Sdn. Bhd., dalam soal kutipan ini.

``Memandangkan PPM berpengalaman dalam perkara tersebut lebih daripada 10 tahun, kami serahkan urusan kutipan kepada mereka,'' katanya.

PPM adalah badan yang mengutip royalti bagi pihak syarikat rakaman.

Sebelum ini karya pencipta tempatan dilindungi oleh Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (MACP). Berbeza dengan MACP yang menuntut bayaran royalti bagi pihak penulis lirik dan komposer, Prism pula menuntut royalti bagi pihak penyanyi dan pemuzik

Setakat ini 600 artis tempatan termasuk artis China dan India telah memberi persetujuan kepada Prism untuk memungut royalti bagi pihak mereka.

Antara yang terbabit ialah Siti Nurhaliza, M.Nasir, Ziana Zain, Wings, Search, Spin dan ramai lagi.

Sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan penyanyi dan pemuzik, Prism menyeru agar golongan berkenaan tampil memberi kerjasama.

``Sehingga kini pihak kami sedang mengemas kini apa yang terbaik untuk diterapkan bagi memudahkan segala urusan.

``Sehubungan itu jugalah kami menyeru penyanyi atau pemuzik agar memberi kerjasama. Apa yang kami lakukan ini adalah untuk kebaikan mereka juga,'' jelasnya.

Katanya, penyanyi dan pemuzik yang pernah menghasilkan lagu walaupun hanya sebuah, perlu tampil memberi kerjasama.

``Mereka perlu tahu bahawa setiap karya yang disiarkan di premis awam, layak menerima royalti dalam tempoh 50 tahun ia dicipta,'' katanya.

Prism akan mula mengagihkan hasil kutipan tersebut kepada yang berhak pada akhir tahun ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:52 AM | Show all posts
Sembilu 2005 - Percintaan antara dua budaya

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Source : Utusan Malaysia
Date : 01/07/2004

TIDAK ada lagi tempat untuk rancangan bermutu rendah di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ingatan tegas ini disuarakan oleh Menteri Penerangan, Datuk Kadir Sheikh Fadzir dalam memastikan peningkatan mutu bidang penyiaran tempatan.

``Kalau buat filem atau drama cincai-cincai, jangan bisnes dengan RTM.

``Kita hanya akan terima karya yang benar-benar berkualiti sahaja,'' tegas beliau pada majlis pelancaran filem Sembilu 2005 di Kuala Lumpur, malam Isnin lalu.

Kadir juga menasihati karyawan filem supaya mengatasi segera masalah skrip yang dilihat masih terlalu lemah.

Beliau percaya filem Melayu mempunyai pasaran yang cukup besar tetapi tidak diterokai dengan lebih berkesan oleh karyawan.

``Saya adalah peminat filem-filem Melayu. Banyak filem yang saya tengok dan saya tahu ada pasaran untuk filem-filem ini.

``Nampak banyak peningkatan dari sudut teknik fotografi, sinematografi dan kecanggihan teknologi dalam filem Melayu.

``Bagaimanapun masalah besar kita ialah skrip dan jalan cerita yang terlalu lemah. Skrip yang lemah akan membuatkan kita gagal walaupun baik dari sudut lain,'' katanya.

Sementara itu Sembilu 2005 terbitan Skop Production akan menggabungkan semula bintang-bintang yang pernah membawa kejayaan kepada filem Sembilu sebelum ini.

Sembilu 1 dihasilkan pada tahun 1994 meraih kutipan RM4.3 juta dan ia membuka dimensi baru kepada penerbit-penerbit filem Melayu ketika itu.

Hasil membanggakan filem itu telah mencetus keyakinan kepada produser filem bahawa bidang penerbitan filem mampu mencipta keuntungan berganda.

Sementara Sembilu 2 pada tahun 1995 sehingga hari ini kekal dalam sejarah sebagai filem Melayu yang berjaya meraih kutipan tertinggi di pawagam iaitu sebanyak RM6.3 juta.

Bagaimanapun dalam filem Sembilu 2005, tiga bintang utama Sembilu tahun 90-an, Erra Fazira, Ziana Zain dan Awie tidak lagi memegang watak utama.

``Mereka ditampilkan sebagai gabungan semula Sembilu. Watak mereka juga penting walau pelakon-pelakon generasi baru ditampilkan dalam filem ini,'' jelas penerbit dan juga pengarahnya, Datuk Yusof Haslam.

Artis angkatan baru yang bergabung menjayakan filem ini ialah Hetty Serlene, Vincent Chong, Juliana Banos, Khai dan Zed Zaidi.

Filem ini mengangkat tema percintaan antara dua budaya, Melayu dan Cina kacukan.

``Saya mengetengahkan isu ini sebagai lambang kepada kehidupan sebenar masyarakat negara kita.

``Saya anggap cinta Melayu dan Melayu sudah terlalu biasa dan idea cinta dua budaya ini dicetuskan oleh isteri saya sendiri,'' kata Yusof tentang filem ke-14 arahannya ini.

Kos pembikinan Sembilu 2005 ialah sebanyak RM1.4 juta dan lokasi penggambaran ialah sekitar Kuala Lumpur, Ulu Kelang dan Putrajaya.

Penggambaran akan bermula 1 Julai ini dan dijangka berakhir hujung Ogos.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:52 AM | Show all posts
Ziana mungkir janji?

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

Source : Utusan Malaysia
Date : 13/06/2004

SELEPAS mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua orang cahaya mata, artis wanita popular, Ziana Zain pernah mengeluarkan kenyataan yang dia tidak akan kembali ke layar perak.

Ziana memberi alasan lebih selesa untuk menumpukan perhatian pada bidang nyanyian selain komitmen terhadap rumah tangganya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Ziana mengejutkan media dan peminat-peminatnya apabila dia menyatakan persetujuannya untuk kembali ke arena lakonan apabila menerima tawaran daripada pengarah, Datuk Yusof Haslam.

Awal bulan depan, Ziana akan ke lokasi filem Sembilu 2005 dan bergandingan semula dengan rakannya, Erra Fazira.

Keputusan Ziana untuk kembali berlakon mengundang persoalan apakah artis yang cukup popular menerusi lagu Lembah Asmara ini memungkiri janji yang pernah dilafazkannya suatu ketika dulu?

Bercakap kepada Pancaindera, Ziana tidak menafikan yang dia pernah menyatakan secara terbuka tidak akan berlakon selepas berkahwin.

``Saya juga pernah berkata keputusan itu dibuat ketika saya masih baru di alam perkahwinan dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.

``Pada masa itu juga, saya ada menegaskan yang saya tidak dapat menolak ketentuan andainya pada masa depan ada rezeki untuk saya kembali berlakon,'' jelas Ziana menjelaskan kekeliruan banyak pihak.

Keputusan menerima tawaran berlakon Sembilu 2005 juga kata Ziana, bukanlah dibuat dalam sekelip mata.

Sebaliknya, wanita berusia 36 tahun itu terlebih dahulu mendapatkan maklum balas daripada orang-orang yang rapat dengannya selain peminat-peminatnya.

Paling utama kata Ziana restu suaminya, Armin Zaharin menyebabkan dia bersedia untuk ke layar perak.

``Armin menyerahkan kepada kebijaksanaan saya untuk berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya.

``Pesan Armin, terima tawaran berlakon yang tidak menjejaskan kedudukan saya sebagai isteri dan ibu selain tawaran yang tidak memerlukan saya berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang lama,'' jelas Ziana mengenai pendirian suaminya.

Selain didorong oleh minat berlakon yang masih kental dalam jiwa seninya, Ziana juga menghormati pelawaan Yusof yang dianggap sebagai gurunya dalam bidang seni lakon.

Ziana tidak menafikan, banyak pihak yang bertanya kenapa dia membuat keputusan untuk kembali aktif bersama dengan Yusof dan bukannya pengarah filem lain.

``Kenapa tidak? Yusof merupakan orang yang pertama membawa saya ke layar perak.

``Kebetulan pula ketika menyuarakan tawaran berlakon Sembilu 2005 saya tengah memikirkan untuk aktif semula dalam bidang itu,'' ujar ibu kepada Muhammad Aiman, 4 dan Muhammad Ammar, lapan bulan.

Lebih manis lagi kata Ziana, temannya, Erra Fazira juga turut menyuarakan keinginan kepada Yusof untuk berlakon bersama-sama dengannya.

``Saya gembira kerana selain Yusof dan Erra yang masih yakin dengan kemampuan saya, ramai lagi pelakon veteran serta pelakon-pelakon sebaya dengan saya yang meminta saya supaya kembali aktif dalam bidang lakonan,'' kata Ziana rancak bercerita.

Selain Sembilu 2005 yang akan menjalani penggambaran awal bulan depan, Ziana turut mendedahkan, dia juga sudah mengesahkan satu lagi tawaran berlakon lain yang akan menjalani penggambaran pada Ogos depan.

Namun sebagai menghormati permintaan penerbit dan pengarah, Ziana berkata, dia tidak boleh membuat pengumuman lanjut mengenai projek berkenaan.

``Memadai saya katakan, tawaran berlakon itu sesuatu yang menarik perhatian saya,'' kata Ziana yang sebelum ini pernah membintangi filem Sembilu, Sembilu II, Maria Mariana, Merah dan sebagainya.

Ditanya tidakkah dia bimbang kehadirannya ke layar perak akan menyebabkan pelakon muda yang lain berasa satu cabaran buat mereka, Ziana tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Menurutnya, setiap individu mempunyai bakat seni masing-masing dan terpulang kepada mereka untuk membuktikan bakat yang dianugerahkan.

``Saya dapat lihat pelakon-pelakon muda yang sedia ada mempunyai bakat yang cukup hebat dan mereka mempunyai pengikut masing-masing.

``Jadi jangan tersalah anggap terhadap pembabitan semula saya kerana persaingan harus dilihat dari perspektif yang positif, bukannya negatif,'' kata Ziana mempertahankan pendiriannya.

Artis itu juga menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya, sebab utama dia kembali berlakon kerana mahu mengukuhkan semula popularitinya selepas berehat lama.

``Populariti tidak pernah menjadi keutamaan sepanjang penglibatan saya sebagai artis. Saya berlakon dan menyanyi semata-mata kerana mahu mencari rezeki.

``Kalau saya fikir tentang populariti saya akan tenggelam punca sehingga menyebabkan orang tidak menghormati saya. Itu yang sentiasa saya elakkan,'' jelasnya.

Sementara itu, bercerita mengenai projek rakaman album terbarunya pula, Ziana tidak menafikan, dia sudah tidak mampu membendung kerinduan untuk kembali ke studio rakaman.

Ziana juga sudah letih untuk menjawab pertanyaan media dan peminat yang masih tidak henti-henti bertanya bilakah album terbarunya akan berada di pasaran.

Berdasarkan rancangannya, Ziana dan pihak pengurusannya akan berusaha untuk memastikan album terbarunya dapat dimiliki oleh peminat-peminatnya menjelang akhir tahun.

Yang pastinya, Ziana akan berusaha untuk merealisasikan keinginan peminat-peminatnya yang mahu dia merakamkan sebuah lagu dengan adiknya, Anuar Zain.

``Saya gembira kerana jawapan positif untuk merealisasikan usaha itu sudah diperoleh.

``Kini, saya ingin mempelawa mana-mana komposer baru atau lama yang mempunyai lagu yang sesuai untuk dirakamkan oleh saya dan Anuar, saya tidak keberatan untuk menerima lagu mereka,'' kata Ziana lagi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:53 AM | Show all posts
Biasalah usia bertambah - Ziana

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

Source : Utusan Malaysia
Date : 16/05/2004

USIA sekadar bilangan, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenainya. Andai berahsia umur sekalipun, tetapi di wajah sudah kelihatan tanda-tanda ketuaan pun tidak guna juga.

Itu adalah pandangan sebilangan besar daripada kita yang rasional dan mempunyai pemikiran yang matang apabila membicarakan soal usia.

Penyanyi dan bekas pelakon terkenal tanah air, Ziana Zain misalnya, seorang yang cukup terbuka kala membicarakan soal usianya.

Pada 2 Mei lalu, ibu kepada dua cahaya mata meraikan ulang tahun kelahirannya ke-36. Soal bimbang populariti akan menurun hanya kerana sudah berstatus isteri dan ibu tidak pernah menghantuinya.

``Sebagai manusia, saya percaya semua orang harus realistik mengenai pertambahan usia.

``Pertambahan usia sebenarnya memberi ingatan kepada saya agar sentiasa berwaspada dengan tingkah laku serta harus tahu menjaga batas kehidupan.

``Paling utama juga, saya berdoa Tuhan memanjangkan umur saya, memberikan kesihatan yang baik dan semoga saya dimurahkan rezeki,'' kata Ziana kala diajak berbicara mengenai pertambahan usia baru-baru ini.

Merangkak pada usia itu, wajah dan tubuh Ziana pada ketika ini tiada langsung mempamerkan perubahan yang ketara khususnya seperti yang lazimnya terjadi kepada wanita yang sudah berkahwin dan memiliki zuriatnya.

Mengenali Ziana, dia cukup prihatin memberi keutamaan pada soal kecantikan diri serta penjagaan tubuh.

Sebagai orang ternama, artis kelahiran Merlimau, Melaka ini sentiasa menjaga personalitinya dan tidak pernah lokek berbelanja untuk memastikan personalitinya tidak tercalar.

Lalu, tidak hairanlah selepas melahirkan cahaya mata kedua, Muhammad Ammar yang kini berusia tujuh bulan, Ziana serius memberi perhatian kepada penjagaan tubuh dan kesihatannya.

Selain Muhammad Ammar, Ziana juga mempunyai seorang lagi putera iaitu, Muhammad Aiman yang kini berusia empat tahun.

Bertambah usia dan anak bagi Ziana satu transisi hidup yang menyeronokkan. Dia tidak pernah bimbang apa-apa kerana baginya semua orang akan melalui jalan yang sama.

Melihat keletah Aiman dan Ammar lazimnya menyebabkan rasa letih selepas penat bekerja hilang sekelip mata.

Cuma apa yang membimbangkan Ziana ialah menjadi ibu pada zaman serba moden, cabarannya cukup besar.

Lantas bimbang kedua-dua anaknya terpengaruh dengan perlakuan yang bertentangan dengan budaya Timur, Ziana menggunakan pendekatan tegas tetapi sarat dengan ciri-ciri kasih sayang ketika membesarkan mereka.

``Sebelum mereka meningkat remaja, saya akan penuhi waktu dan curahkan kasih sayang sebagai ibu.

``Namun, apabila anak-anak membuat silap, saya tetap mengenakan hukuman kerana saya juga tidak boleh membiarkan mereka terlalu manja sehingga tidak boleh dijentik,'' Ziana berkongsi pengalamannya sebagai ibu.

Kata Ziana, bergelar ibu cukup menyeronokkannya dan menjadikan dia seorang wanita yang bahagia kerana panggilan mama oleh Aiman khususnya, sering menyebabkan dia sukar untuk berenggang dengan mereka.

``Kalau terpaksa bertugas di luar Kuala Lumpur, itulah saat-saat menyedihkan saya. Apabila mendengar suara Aiman di telefon dan bertanya bila mama mahu pulang, saya seakan-akan mahu terus terbang untuk mendakapnya,'' cerita Ziana lagi.

Ziana dan suaminya, Armin Zaharin juga sepakat mengguna pakai pendekatan membesar dan mendidik anak-anak mereka.

``Suami saya juga mementingkan kedua-dua aspek itu iaitu kasih sayang dan ketegasan dan sebagai ibu bapa, kami akan cuba sedaya upaya menjadi orang tua yang bertanggungjawab,'' janji Ziana.

Bagi wanita yang sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata, keakraban hubungan dengan ibu sendiri lazimnya jauh lebih mesra.

Hakikat ini diakui Ziana. Katanya, selepas dikurniakan anak, hubungan dengan ibunya semakin bertambah rapat.

``Kini, saya bebas berkongsi apa sahaja cerita mengenai anak-anak dengan ibu saya. Ibu banyak menasihati saya dan pelbagai ilmu yang diturunkan ibu buat saya,'' kata Ziana menyambung bicara.

Sementara itu, bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Ziana memberitahu, dia sedar peminat-peminatnya sudah mula bertanya bilakah dia akan muncul dengan album terbarunya.

Ziana yang kini bernaung di bawah bumbung syarikat rakaman EMI Music (M) Sdn. Bhd., memberitahu, pada masa ini, proses mengumpul lagu-lagu sedang giat dilakukan.

Seiring dengan pengalaman yang dikumpulnya selepas lebih sedekad bergelar penyanyi, Ziana menjanjikan, kemunculannya dalam album terbarunya sarat dengan perubahan.

``Saya tidak mahu menghampakan peminat-peminat saya yang sudah menunggu sekian lama untuk mendengar album baru saya.

``Justeru, saya cuba untuk memastikan kemunculan saya akan menjadi kemunculan yang cukup bermakna buat mereka,'' ikrar Ziana lagi.

Arah muzik baru ujar Ziana, cuba ditonjolkan dan antara komposer yang bersedia untuk memberikan khidmat mereka ialah Azmeer dan penyanyi dari Singapura, Jai.

Bahkan, di ruang fikirannya juga, Ziana sudah menyenaraikan nama beberapa komposer lain.

Ziana menjangkakan sebelum hujung tahun ini, album terbarunya akan berada di pasaran dan dia mengharapkan peminat-peminat akan bersabar untuk menikmatinya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:53 AM | Show all posts
Lima bintang dan Puteri DRB-Hicom

Source : Utusan Malaysia
Date : 25/04/2004

BERHIBUR sambil beramal merupakan sesuatu yang cukup akrab dengan Puteri DRB-HICOM. Pertubuhan ini sentiasa peka dengan tanggungjawab untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Lalu, majlis makan malam ulang tahun Puteri DRB-HICOM ke-6 yang diadakan secara gilang-gemilang baru-baru ini merupakan manifestasi menterjemahkan peranan mereka dalam kerja-kerja sosial.

Kehadiran lima penghibur popular, Datuk Yusni Hamid, Ziana Zain, Francissca Peter (Fran), Aishah dan Hetty Koes Endang ke majlis makan malam itu membuktikan keluhuran pertubuhan itu.

Selain memberikan hiburan yang eksklusif, Puteri DRB-HICOM turut menghulurkan sumbangan yang penuh bermakna sebanyak RM60,000 kepada Yayasan Budi Penyayang.

Sumbangan itu dilihat Puteri DRB-HICOM sebagai usaha yang berkait rapat dengan seruan kerajaan untuk melahirkan masyarakat penyayang.

Pada majlis makan malam ulang tahun ke-6 Puteri DRB-HICOM, kelima-lima penghibur ternama itu memberikan persembahan yang cukup hebat, apalagi semua mereka digabungkan di bawah nama Puteri Divas - gelaran yang seperti mengangkat kedudukan mereka sebagai penyanyi terbaik.

Ketepikan soal gelaran Puteri Divas kerana sebetulnya khalayak tempatan sendiri masih kabur apa makna diva yang sebenarnya.

Jauh lebih penting dan harus diberi perhatian ialah lontaran vokal kelima-lima penyanyi itu memukau perhatian lebih 1,000 hadirin termasuk tetamu kehormat yang memeriahkan majlis makan malam itu.

Acara nyanyian hanya berlangsung dalam penuh kesederhanaan tetapi impaknya dapat dirasakan hampir di segenap sudut di dewan hotel mewah di mana acara itu berlangsung.

Yusni Hamid, seniwati yang cukup sinonim dengan persembahan diraja membuka tirai menyanyikan lagu Sonata Musim Salju selain sebuah lagu Inggeris dan medley lagu-lagu popular di sekitar tahun 80-an.

Kelembutan alunan suaranya membuatkan ramai yang tidak berganjak dari tempat duduk.

Satu-satunya artis bukan Melayu, Fran mengembalikan memori peminat terhadap lagu Sekadar Di Pinggiran. Seluruh dewan bergema menyanyi bersama-sama Fran.

Ziana pula memilih untuk menyampaikan lagu popularnya Kalau Mencari Teman dan Lembah Asmara. Tidak ketinggalan lagu Can't Take My Eyes Off You.

Walaupun populariti dan gemerlapan neon bukan lagi menjadi teman Aishah, namun pada persembahannya tempoh hari, bekas vokalis utama kumpulan Fan Club itu benar-benar membuatkan bulu roma seluruh penonton berdiri. Janji Manismu mendekatkan penonton dengan Aishah.

Dari seberang, Puteri DRB-HICOM menerbangkan Hetty Koes Endang yang memberi saingan sengit kepada bintang-bintang tempatan.

Semua orang tahu, kekuatan Hetty terletak pada kelunakan suara serta persembahannya.

Yang paling menarik juga, keletah Hetty sehingga menarik perhatian isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood yang merupakan tetamu kehormat pada malam itu.

Lagu Cinta Di Akhir Garisan menutup tirai persembahan nyanyian kelima-lima penyanyi popular itu.

Persembahan sederhana dan ringkas mereka memberi peluang untuk khalayak yang kecil dalam majlis tertutup itu untuk membuat ukuran dan penilaian tersendiri siapa yang sebenarnya layak untuk ditabal sebagai diva!
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 24-6-2007 11:54 AM | Show all posts
Promosi AIM 2004 - Kecoh kerana Siti

Source : Utusan Malaysia
Date : 20/04/2004

SUDAH acap kali Siti Nurhaliza mengadakan persembahan di khalayak umum. Namun setiap kali dia tampil, pasti kekecohan berlaku. Bukan salah Siti tapi senario tersebut tercetus gara-gara peminat sendiri.

Ahad lalu sewaktu Siti muncul di promosi bergerak Anugerah Industri Muzik 2004 (AIM 2004) di Plaza Alam Sentral, keadaan menjadi tidak terkawal.

Pada awalnya peminat begitu berdisiplin dan setia duduk di tempat masing-masing. Bagaimanapun sebaik sahaja pengacara majlis Khairil Rashid dan Nanee mengumumkan kemunculan Siti, peminat mula berasak ke hadapan pentas.

Kebetulan itu adalah kali pertama Siti menyertai promosi bergerak AIM 2004 yang sebelum ini telah diadakan di Kuching, Alor Setar dan Johor Bahru.

Apa yang pasti kehadiran Siti menjayakan promosi tersebut berjaya menarik perhatian penonton yang paling ramai berbanding promosi AIM di tempat lain.

Siti yang dicalonkan untuk kategori Album Pop Terbaik (EMAS), Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Bukan Cinta Biasa) Kulit Album Terbaik (EMAS) dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan lagu terbarunya.

Sehubungan itu Siti memulakan persembahan pada petang itu dengan lagu Seindah Biasa yang dipetik daripada album Prasasti Seni.

Menurut Siti, dia tidak dapat turut menjayakan promosi AIM di tempat lain kerana kesuntukan waktu. Bagaimanapun khas untuk peminat-peminat di sekitar Shah Alam, dia cuba meluangkan waktu.

Malam kemuncak AIM akan disiarkan secara langsung menerusi ntv7 dari Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Sabtu ini.

Pada majlis AIM 2004 anjuran Akademi Industri Muzik Malaysia yang mempertandingkan 17 kategori itu akan menampilkan Siti berduet dengan Ning Baizura, Liza Hanim, Misha dan Sarah dalam lagu My All. Lagu yang dipopularkan oleh Mariah Carey itu ditukar liriknya ke bahasa Melayu.

Kesemua mereka kecuali Misha Omar dicalonkan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita).

Siti ketika ditanya tentang pencalonannya berkata, ''Kalah atau menang adalah adat pertandingan. Bagi Siti tercalon untuk peringkat akhir pun satu penghargaan. Dalam perkara ini tidak ada siapa yang lebih daripada siapa, semuanya yang terbaik,'' katanya yang sering merendah diri itu.

Selain Siti, Ziana Zain juga turut memeriahkan promosi terakhir AIM itu. Ziana yang menganggap Plaza Alam Sentral sebagai kawasan lepaknya, memilih lagu Lembah Asmara dan Bukan.

Walaupun tercalon untuk satu kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita), Ziana tetap gembira. Kata Ziana, nasib sering menyebelahinya kerana album terbarunya, Ziana Zain No. 1's Live turut dicalonkan.

Seorang lagi artis yang mendapat pencalonan banyak pada AIM kali ini ialah Reshmonu yang popular dengan lagu Cintaku Pergi dan Like This dari album Monumental. Reshmonu dicalonkan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik (Cintaku Pergi dan Walkaway-Slow Jam), Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik dan Album Inggeris Tempatan Terbaik.

Katanya, objektif utama pembabitannya dalam bidang seni suara adalah untuk sama-sama berjuang mengangkat industri muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.

``Pada saya mencintai apa yang saya lakukan adalah lebih bermakna daripada memikirkan siapakah yang akan menang,'' katanya yang ingin memberi tumpuan pada persembahan.

Sementara kumpulan Raihan yang tercalon untuk Kulit Album Terbaik, Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album dan Album Nasyid Terbaik (Gema Alam) berharap dengan adanya majlis seperti AIM, irama nasyid akan terus berkembang.

Bagi kumpulan Alam yang tercalon untuk Artis Baru Terbaik bersama Ezlynn, Afdlin Shauki, Naufara dan Barongan berpendapat, semua finalis adalah pemenang dan yang mendapat anugerah adalah wakil kepada semua pemenang.

Lain-lain artis yang mengadakan persembahan sempena promosi AIM 2004 ialah Liza Hanim (Gelisah Mimpi dan Ku Teruskan), Jinbara (Sudah Sudahlah dan Nak Tanya) dan Phlowtron (Alright dan Rollercoster Cinta).
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:55 AM | Show all posts
Ziana Zain - Saya sudah sedia berada di bawah

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

(kualong@hotmail.com)

Source : Utusan Malaysia
Date : 25/03/2004

Ziana Zain kembali ke dunia yang menjadi medan perjuangannya selama lebih 15 tahun, seni suara. Setelah berehat lebih setengah tahun, Ziana muncul dengan imej yang segar tetapi agak seksi pada pandangan mata sesetengah peminatnya.

Kepada Utusan Malaysia, Ziana berbicara tentang apa yang dikatakan seksi dan persediaannya berhadapan dengan hari esok.

Soalan: Selepas beranak dua, rezeki Ziana nampaknya semakin murah. Betulkah suami Ziana, Armin baru sahaja dinaikkan pangkat?

ZIANA: Alhamdulillah! Rezeki anak. Armin jadi `Chief Steward' sejak Mac lalu. Selagi kita pandai jaga nama baik, diri dan keluarga, insya-allah rezeki ada di mana-mana.

Perkembangan terkini album baru, kenapa dua saja lagu baru, sama macam album kompilasi? Bila album penuh?

ZIANA: Perancangan awal album pertama saya dengan EMI, adalah album rakaman penuh. Tetapi Tuhan bagi rezeki lain, anak kedua dan saya mengandung. Jadi kena tangguhkan seketika dan saya perlu berpuas hati dengan album kompilasi. Tetapi bukan sebarang kompilasi sebab ia gabungan suara saya dalam beberapa konsert sebelum ini.

Apakah Ziana dan syarikat rakaman takut bersaing kalau muncul dengan album baru?

ZIANA: Saya tidak takut bersaing. Cuma waktu tidak sesuai. Buat album bukan mudah dalam keadaan mengandung. Nafas cepat semput dan hasilnya tentu tidak memuaskan. Baik tunggu sahaja sampai habis bersalin. Dalam masa menanti itu, EMI keluarkan album kompilasi untuk peminat saya.

Pada awal berumah tangga dulu, Ziana pernah cakap tidak akan berlakon lagi. Tapi selepas itu, Ziana buat kenyataan mahu berlakon semula. Kenapa?

ZIANA: Pertama, kerana tawaran berlakon yang datang kepada saya sangat banyak sehingga kini. Dulu baru kahwin banyak perkara yang saya kena adjust. Tetapi saya perlukan watak yang sesuai dengan usia dan status. Kisah cinta pun tidak apa tetapi saya tidak mahu cinta jenis budak-budak. Biarlah cinta yang serius macam yang Rashid Sibir selalu buat dalam drama dan filem dia.

Apakah Ziana baru menyedari bahawa adalah satu kerugian yang besar kalau Ziana tinggalkan dunia lakonan?

ZIANA: Saya tidak anggap macam itu. Saya tinggalkan lakonan sekejap sahaja, tidak rugi apa-apa. Cuma bila orang panggil saya berlakon semula, saya fikir kenapa tidak? Sedangkan saya memang sudah bersedia untuk itu semua dan keluarga tidak lagi menjadi halangan.

Mungkinkah Ziana fikir publisti sebagai penyanyi sahaja tidak memberi perkembangan yang meluas terhadap karier anda selama ini. Sebab itu Ziana mahu berlakon semula?

ZIANA:Tidaklah! Lagipun sebelum ini orang memang sudah kenal saya sebagai penyanyi. Cuma kedua-dua bidang membantu saya daripada sudut yang berbeza.

Bercakap tentang imej baru, apakah Ziana melantik imej konsultant sendiri?

ZIANA: Secara khusus tidak. Tetapi cakap tentang baju, saya selalu bincang dengan Michael Ong atau pengurus saya, Lisa. Kalau pasal rambut, saya ada `hairdresser' sendiri dan solekan saya serahkan kepada Nurul Shukor. Mereka semua profesional dan kami sering bincang untuk hasilkan sesuatu yang segar dan mengikut perkembangan fesyen.

Ada peminat tanya kenapa selepas bersalin anak kedua, Ziana tukar imej agak drastik. Pada satu majlis anugerah baru-baru ini Ziana pakai seluar paras lutut, agak seksi dan mereka anggap kurang sesuai dengan usia dan perwatakan yang sebelum ini agak sopan. Apa komen Ziana?

ZIANA: Saya tidak kisah kalau orang anggap penampilan macam itu seksi. Komen yang membangun, saya tidak marah. Tetapi ada juga peminat yang suka saya pakai macam itu sebab mereka tahu saya sentiasa mahu tampilkan kelainan. Kalau orang tidak suka, lain kali saya tidak akan pakai lagi. Bukan selalu pakai seluar setengah macam itu. Sekali sekala sahaja.

Apa pandangan Ziana terhadap artis-artis muda yang sangat cepat mendapat tempat dalam dunia seni suara hari ini? Menyanyi sehari sudah dapat macam-macam anugerah. Apakah ini satu perkembangan yang sihat kepada industri?

ZIANA: Ia akan menjadi sesuatu yang sihat kalau kita bijak menggunakan peluang. Itu kelebihan mereka membina nama pada zaman sekarang. Zaman saya, susah mahu dapat anugerah. Sudah ada dua, tiga album barulah dapat satu anugerah tetapi bila dapat, kita rasa puas dan bangga sebab kita sudah lama berjuang. Sekarang sangat berbeza. Dapat anugerah memang bagus sebab kita masuk kategori terbaik tetapi untuk mengekalkannya bukan sesuatu yang mudah. Jadi mereka kena lebih berhati-hati.

Sebagai penyanyi senior apa nasihat Ziana kepada golongan artis-artis baru ini?

ZIANA: Saya pun masih belajar, macam mana hendak nasihatkan orang. Apa pun mereka kena kerja kuat. Jangan anggap nyanyian sebagai hobi tetapi sebagai periuk nasi. Usia muda, kumpul duit banyak-banyak sebab kita tidak akan lama berada di atas. Penyanyi datang dan pergi begitu sahaja. Sebab itu cari duit banyak-banyak, simpan dan beli harta. Selagi boleh buat duit, buat sehabis daya. Umur sudah 28, 29 barulah fikir tentang kahwin. Ingat, jangan cepat lupa diri dan jauhkan sikap hidung tinggi.

Bercakap tentang populariti, Ziana sendiri macam mana. Apakah Ziana sudah bersedia untuk berhadapan dengan saat-saat pudarnya populariti anda?

ZIANA: Bermula daripada langkah pertama dalam bidang ini, saya sudah cukup bersedia kalau orang sudah lupakan saya suatu hari nanti. Saya sudah cakap kepada diri sendiri, populariti tidak akan tahan lama. Kalau kita tidak cepat lupa diri dan sombong kita tidak akan terperanjat bila jatuh. Saya sudah sangat-sangat bersedia untuk berada di bawah pada ketika saya masih berada di atas lagi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-6-2007 11:57 AM | Show all posts
Ziana Zain - Kembali selepas berpantang

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Source : Utusan Malaysia
Date : 07/02/2004

SEJAK melahirkan anak keduanya, Muhammad Ammar, pada 27 September tahun lalu, nama Ziana Zain seakan sepi daripada dunia hiburan tempatan.

Namun, selepas empat bulan berpantang, penyanyi yang popular dengan lagu Lembah Asmara ini kini kembali mengubat rindu para peminatnya.

Malam ini (7 Februari), Ziana mengadakan persembahan pada majlis Malam Anugerah Perdana Seniman 2004.

Persembahan yang diadakan di Dewan Sri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah itu menyaksikan Ziana menyampaikan dua buah lagu.

"Pada persembahan itu saya akan menyanyikan dua buah lagu berjudul Kalau Mencari Teman dan Lembah Asmara.

"Ini adalah kemunculan pertama saya selepas melahirkan anak kedua. Selepas empat bulan berehat, sudah sampai masanya saya kembali menyanyi,'' kata Ziana pada pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Ziana, ketika dalam berpantang dia banyak melakukan senaman untuk menyerlahkan semula penampilan dirinya.

"Semasa mengandung, berat badan saya 73 kilogram dan selepas bersalin ia turun menjadi 68 kilogram.

"Saya amalkan diet untuk mengurangkan karbohidrat dan protein.

"Kesan daripada diet itu berat badan saya sekarang ini menjadi 51 kilogram tetapi kalau boleh saya mahu turunkan lagi tiga kilogram.

"Sehingga kini saya masih mengikuti program diet saya itu yang ditaja oleh Slim World.

"Dalam program diet itu, saya lebih menitikberatkan pada bahagian perut ke bawah.

"Setiap tiga kali seminggu saya akan berkunjung ke pusat rawatan Slim World di Damansara Utama, Selangor.

"Selain menjalani diet di Slim World saya juga menjadi jurucakap untuk program diet dan kesihatan yang mereka anjurkan,'' cerita Ziana.

Ziana kini bukan sahaja sudah kembali langsing seperti dulu tetapi dia juga sudah bersedia untuk tampil dengan album terbarunya.

"Buat masa ini Ziana masih lagi dalam rangka promosi album No.1's Live. Ini kerana, semasa album itu di pasarkan, saya sedang sarat mengandung.

"Sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya mempromosikan album itu.

"Selepas itu, saya akan merakamkan album terbaru saya dengan syarikat rakaman EMI pula,'' kata Ziana yang kali terakhir tampil menerusi album berjudul Ziana Zain (2001) dengan syarikat rakaman BMG Music.

Bercerita tentang bidang lakonan pula, kata Ziana, dia masih berminat berlakon jika ada tawaran daripada mana-mana penerbit filem.

"Kalau ada tawaran berlakon dan wataknya pula sesuai untuk saya, maka saya akan pertimbangkannya.

"Kalau boleh kali ini saya mahu melakonkan watak sebagai seorang isteri atau ibu, sesuai dengan status saya sekarang ini,'' ujar Ziana lagi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:58 AM | Show all posts
Kak Tim Dengar-Dengar

Source : Utusan Malaysia
Date : 29/11/2003

Ziana segan jumpa wartawan
Kak Tim teringat penyanyi Ziana Zain. Sejak melahirkan Mohd. Ammar, Ziana terus menyepi diri.

Kak Tim baru-baru ni terjumpa Lisa, pengurus Ziana.

Terus Kak Tim tanya khabar penyanyinya yang ramah tu. Rindu pula rasa dah lama tak dengar celoteh Ziana dan gelak tawanya tu.

Kata Lisa, Ziana masih berpantang 100 hari. ``Sejak melahirkan anak kedua ni, Ziana berazam untuk tidak jumpa wartawan. Dia segan sebab berat badan dia masih belum mencapai seperti yang dia mahukan, 47kg. Sekarang baru 57kg. Insya-Allah awal tahun ni bolehlah Ziana tampil semula. Rasa-rasanya waktu tu dia dah kurus. Kita yakin Ziana dapat melakukannya sebab dia memang kuat disiplin. Bayangkan daripada 73kg waktu mula melahirkan, dia mampu turunkan beratnya jadi 57kg dalam tempuh tak sampai dua bulan. Jadi kalau setakat nak turunkan lagi 10kg tu rasanya tak jadi masalah bagi Ziana.''

Seperti Lisa, Kak Tim pun yakin Ziana mampu mengembalikan bentuk badannya seperti dulu. Setahu Kak Tim, Ziana memang prihatin dengan penampilan dirinya sebagai seorang artis.

KAK TIM: Makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang.

Selamat pengantin baru Aman Shah
Kak Tim terdengar berita dari bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Khabarnya ada seorang gadis, berusia awal dua puluhan, petugas di bahagian IT di bangunan itu, akan menjadi isteri kepada penyanyi popular tahun 70-an, Aman Shah.

Memanglah macam tak percaya mulanya. Maklum tak silap Kak Tim sudah lebih 10 tahun Kak Tim terputus berita daripada Aman. Tup Tup dengar cerita dah nak tamatkan zaman duda.

Nak mengesahkan lagi cerita, Kak Tim berusaha mendapatkan kad kahwin Aman. Sungguh, kad walimatul urus yang dihiasi di depannya dengan gambar dua helai daun sirih itu mencatatkan nama pengantinnya - Aman Shah Bin Abu Kassim. Sementara nama awal gadisnya `Sharifah'. Kad itu mencatatkan tarikh persandingannya pada Ahad, 14 Disember 2003 di Ladang Risda Palong 1, Negeri Sembilan.

Kak Tim berusaha membongkar semula buku panduan telefon Kak Tim yang dah lama terperap. Masih ada nombor telefon Aman. Terus Kak Tim hubungi dia.

Aman waktu Kak Tim ucapkan tahniah, terkekeh ketawa. Masih macam dulu. Ceria. Kata Aman, ``Tahniah apa ni? Kau janganlah nak perangkap aku. Bukan aku seorang saja yang nama macam tu. Di Malaysia ni, banyak nama yang sama dengan aku.''

Kak Tim tahu Aman cuba berdalih. Jadi Kak Tim pun kata, ``Kalau macam tu, bolehlah ditulis, Aman nafi kahwin?''

Cepat Aman mencelah, ``Beginilah! Kau tulis, aku no komen. Kau tahu, aku ni dah lama lupakan dunia artis. Dah lama aku hidup macam orang biasa. Dah tak ada apa-apa lagi dalam hidup aku. Cuma bekerja di satu production house mencari rezeki. Sekarang ni aku tengah buat dokumentari. Anak-anak aku pun dah besar. Yang paling tua tu dah graduate pun. Dah bekerja.''

Alahai! Aman Shah! Banyaknya dalih.

Lalu Kak Tim teringat seseorang di pejabat Air Asia, syarikat penerbangan yang semakin popular itu. Hubungan persaudaraan orang kuat di syarikat tu dengan Aman, memang Kak Tim dah lama tahu. Terus Kak Tim hubunginya bagi mengesahkan perkahwinan Aman.

Hah! Akhirnya Kak Tim disahkan, kad yang Kak Tim terima tu memang kad kahwin Aman Shah! Macam mana tu? Siapa nak jawab?

Apa pun Kak Tim sukalah nak ucapkan pada Aman, selamat menikah dan selamat menjadi suami lagi. Satu aja pesan Kak Tim, uar-uarkanlah soal nikah kahwin ni supaya tak timbul fitnah. Bolehke?

KAK TIM: Lagu dendangan Aman, Kepulangan Yang Dinanti menjadi salah satu lagu raya yang Kak Tim suka dengar.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 11:59 AM | Show all posts
Panasnya kerusi hos Melodi

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

Source : Utusan Malaysia
Date : 28/09/2003

POLEMIK siapakah yang bakal menduduki kerusi panas, pengacara Melodi masih belum berakhir. Setiap minggu, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh beberapa personaliti yang pernah mengendalikan program hiburan terbitan TV3 itu.

Walaupun sudah beberapa minggu didebatkan mengenai program yang disiarkan pada setiap hari Ahad itu, namun masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada stesen penyiar program itu, TV3.

Apa hebatnya Melodi sehinggakan pihak pengurusan stesen berkenaan seakan-akan tidak berminat untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung polemik pengacara program itu?

Pihak media tidak diberi ruang untuk mendapatkan penjelasan yang lanjut oleh TV3.

Sumber-sumber di Sri Pentas, TV3 juga bagaikan sudah dikunci mulut mereka agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media mengenai Melodi.

Justeru, untuk mendapatkan pengesahan mengenai program hiburan mingguan terbitan stesen itu, Pancaindera akhirnya berpeluang berbual dengan Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi, Azhar Borhan.

Malang sekali, Azhar juga berkata, buat masa ini, pihak pengurusan TV3 enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung program itu ataupun kedudukan pengacaranya.

Menurut beliau, berdasarkan perancangan, hanya TV3 akan mengumumkan perubahan besar-besaran pada rancangan Melodi bulan depan.

``Buat masa sekarang saya tidak ada sebarang kenyataan yang boleh diberikan kepada pihak media.

``Kami hanya akan mengumumkan sebarang perubahan mengenai program itu bulan depan,'' kata Azhar kepada Pancaindera ketika dihubungi.

Azhar diminta mengulas mengenai polemik hos rancangan hiburan yang sudah bertapak lebih 10 tahun itu.

Selain itu, beliau juga turut diminta mengulas mengenai isi kandungan program berkenaan yang dilihat semakin hambar dan tidak bermaya.

Melodi yang disiarkan setiap hari Ahad bukan sahaja sering bertukar pengacara, bahkan, waktu siaran program itu juga sering tidak menentu semenjak kebelakangan ini.

Program hiburan itu juga dilihat seakan-akan sudah kehilangan serinya sebaik pengacaranya, Fauziah Ahmad Daud berundur selepas lapan tahun mengendalikannya.

Selepas Fauziah, Melodi diambil alih oleh pelakon wanita terkenal, Haliza Misbun. Malangnya, Haliza turut dikritik kerana persembahannya kurang memberangsangkan.

Melodi juga pernah menyaksikan Raja Azura atau Kak Engku sebagai pengacara.

Tidak ketinggalan, penyanyi wanita terkenal, Ziana Zain juga pernah beberapa minggu menerima tawaran TV3 sebagai pengacara Melodi.

Malangnya, Ziana juga dilihat tidak begitu serasi dengan rancangan berkenaan. Melodi juga mendapat pengganti yang lain seperti anggota kumpulan Senario dan terbaru, Sheila Rusly.

Ketika diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu, Melodi menyaksikan Mahadzir Lokman sebagai pengacara pertama sebelum diambil alih oleh Aznil Nawawi.

Kini, kerusi pengacara Melodi dilihat sebagai kerusi paling panas. Lebih mengeruhkan keadaan, perebutan kerusi itu turut menyaksikan perdebatan yang bukan calang-calang di kalangan beberapa personaliti.

Hanya Fauziah dan Aznil sahaja yang dilihat lebih berdiplomasi ketika memberikan kenyataan kepada media.

Menjawab satu soalan lain, Azhar turut membidas kenyataan beberapa personaliti lain kepada wartawan mengenai kedudukan mereka sebagai pengacara Melodi.

Kata beliau, sekiranya ada sebarang perbincangan antara pihak yang ingin memberikan kenyataan, TV3 tidak mampu untuk melakukan apa-apa.

``Biarkan sahaja mereka mengadakan sebarang perbincangan. Untuk makluman semua bulan depan, kami akan membuat keputusan mengenai Melodi,'' kata Azhar lagi.

Sementara itu, Aznil masih lagi berdiam diri dan enggan memberikan sebarang kenyataan mengenai desas-desus yang mengatakan beliau sudah menerima tawaran untuk mengendalikan program itu secara rasmi.

Kata Aznil, beliau tidak mempunyai sebarang komen buat masa ini.

Fauziah pula mencadangkan agar TV3 memberi kerusi sebagai pengacara Melodi kepada Aznil.

``Aznil mempunyai pengalaman bukan sahaja sebagai pengacara bahkan dia pernah menjadi penerbit ketika saya mengendalikan program itu,'' kata Ogy kepada Pancaindera.

Jadi, apa jawapannya setakat ini. Nantikan sahaja bulan depan kerana Azhar sudah berjanji yang beliau bakal memberikan kenyataannya!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 12:01 PM | Show all posts
Ziana Zain hadiahkan Lembah Asmara

Oleh ROSLI MANAH

Source : Utusan Malaysia
Date : 18/06/2003

ZIANA ZAIN... Rindu album baru.

JANJI yang diikat antara Ziana Zain dengan syarikat EMI telah berusia lebih setahun. Namun, janji yang termetri antara mereka belum tertunai. EMI masih menanti saat yang paling sesuai untuk menjadi syarikat yang memasarkan album diva itu.

Persiapan Ziana memasuki studio rakaman awal tahun ini tergendala kerana dia hamil lagi. Justeru, kedua-dua pihak ini harus menunggu sehingga penyanyi itu selamat melahirkan anak keduanya. Ada kemungkinan peminat harus menanti kurang dari enam bulan lagi.

Bagaimanapun, sebagai pengubat rindu terhadap Ziana, sebuah album kompilasi yang memuatkan himpunan lagu-lagu petikan persembahannya akan dipasarkan.

Album berjudul Ziana Zain No.1's Live itu menampilkan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi ini di beberapa konsert sebelum ini. Sebagai bonus dimuatkan dua lagu baru iaitu Lembah Asmara dan Bukan. Lagu itu telah selesai rakamannya semasa Ziana hamil tiga bulan.

Ziana yang kini mengandung lima bulan turut merakam semula lagu Madah Berhelah dengan nyanyian secara langsung di studio. Bagi menyuntik kelainan, Ziana turut diiringi string yang dimainkan oleh beberapa pemuzik.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan termasuklah Syurga Di Hati Kita, Setiaku Di Sini, Kalau Mencari Teman, Puncak Kasih, Kekal dan beberapa lagi.

``Saya sebenarnya rindu untuk muncul dengan album baru,'' kata Ziana semasa ditemui di studio Synchrosound, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini selepas merakam lagu Madah Berhelah.

Dia mengakui merakamkan lagu semasa hamil agak berbeza kerana dia terpaksa menyanyi dengan berhati-hati, apatah lagi `key' nyanyiannya turun. Walaupun terpaksa menurunkan `key' ternyata pelakon Maria Mariana ini berjaya menyanyikan ketiga-tiga lagu tersebut dengan sempurna.

Menurut Ziana, lagu Lembah Asmara ciptaan Ajai adalah gubahan yang berlainan berbanding dengan lagu-lagunya sebelum ini.

``Walaupun masih mengekalkan nada tinggi namun ia tidak kedengaran menjerit. Itulah yang Ajai cuba lakukan semasa saya merakamkan lagu itu,'' kata Ziana.

Dalam pertemuan itu Ziana menjelaskan album tersebut adalah terbitan syarikatnya Zig Zag Beat dan EMI bertindak sebagai pengedar.

``Telah tiba masanya mengorak langkah menerbitkan album di bawah syarikat sendiri setelah lebih 10 tahun menimba pengalaman.

``Ia adalah perancangan jangka panjang kerana dengan memiliki hak lagu-lagu tersebut saya boleh menerbitkan kembali pada masa akan datang,'' jelas Ziana.

Dalam masa terdekat, syarikat itu hanya menerbitkan albumnya sahaja. Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan merakam album penyanyi lain nanti.

``Segalanya ada dalam perancangan cuma kini saya tumpukan kepada kerjaya saya dulu,'' jelas Ziana lagi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 12:02 PM | Show all posts
iana Zain tetap di persada seni

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

Source : Utusan Malaysia
Date : 08/06/2003

(saharudin@utusan.com.my)
TEMU BUAL antara Pancaindera dengan Ziana Zain hanya berlangsung di telefon. Tidak bertentang mata seperti lazimnya, kerana dia sibuk di rumah melayan telatah putera sulungnya, Muhammad Aiman yang sudah berusia lebih tiga tahun.

Dari kejauhan, kedengaran suara Aiman. Lantas Ziana cepat-cepat memintas memberitahu, `buah hatinya' itu leka bermain alat permainan.

Di telefon, apa sangat yang boleh dibicarakan. Barangkali, untuk mencungkil rahsia peribadinya tidak lagi sesuai di telefon kerana kami harus duduk dan habiskan masa berjam-jam barulah selesa berbicara. Tidak mengapa, kerana kali ini, fokus Pancaindera menempatkan wajah Ziana sebagai penghias muka depan agak istimewa sekali kerana foto Ziana ini dirakamkan ketika mengandung empat bulan.

Siapa kata wanita berbadan dua tidak boleh bergaya? Tengok Ziana, masih bergaya bukan? Maknanya, Ziana bukan bergambar seorang, sebaliknya berdua - dengan bakal bayi keduanya yang dijangka lahir empat bulan dari sekarang. Menarik juga ye!

Menterjemahkan kebahagiaan hidupnya hari ini, penghibur yang cukup popular dengan lagu Puncak Kasih ini berkata, kehidupannya sebagai wanita berkeluarga terlalu indah. Lebih-lebih lagi selepas melihat anak membesar depan matanya, menyebabkan beliau sendiri terfikir yang hidupnya semakin jauh berubah.

``Semakin hari semakin seronok kehidupan yang saya lalui. Saya sudah boleh membuat keputusan untuk keluarga walaupun suami sebenarnya mempunyai `kuasa mutlak' tetapi sekurang-kurangnya idea saya diterima. ``Saya juga boleh `menghukum' anak saya kalau dia buat silap. Pendek kata, menjadi ibu membuatkan saya semakin dewasa kerana setiap keputusan yang saya buat harus mengambil kira perasaan anak dan suami,'' panjang cerita Ziana.

Masih ingin membawa perhatian pembaca kepada perubahan wajah Ziana. Cuba renung wajah bujur sirihnya. Kulitnya halus sekali. Rambutnya pula dipotong pendek serta diwarnakan, cantik dan padan sekali dengan wajah bujur sirihnya dan bersesuaian dengan imej ibu moden. Percayalah, itulah imej yang bakal menjadi ikutan!

``Syukur, saya dan juga bayi dalam kandungan sihat. Saya dan suami sudah membuat imbasan tapi doktor kata bayi masih malu-malu lagi dan tidak membenarkan jantinanya dilihat,'' kata Ziana menceriakan lagi perbualan tempoh hari.

Rezeki bayi dikandungnya, satu demi satu tawaran diterimanya. Baru-baru ini, Ziana mendapat khabar gembira yang mana kontraknya dengan jenama tilam terkenal, Vono disambung setahun lagi. Beberapa tawaran lain sedang dalam pertimbangan. Yang sedia ada pula, masih menunjukkan tanda-tanda untuk terus menjadikan wanita ini sebagai jurucakap mereka.

Semua ini, kata Ziana, hasil usaha dan kerja keras beliau bersama-sama dengan team yang menyokong di sebalik kerjaya seninya. ``Bukan mudah untuk saya capai ke tahap ini. Lama saya harus berjuang. Yang penting, saya harus mengekalkan reputasi dan membuktikan kemampuan saya dalam bidang seni,'' ujarnya.

Terbaru, Ziana kembali mengubati kerinduan peminat-peminatnya yang sudah lama menantikan kemunculan beliau dengan album baru.

Biar bukan album studio sepenuhnya, namun Ziana gembira kerana selepas hampir dua tahun menanti, album yang dirakamkan secara langsung di malam konsertnya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) diedarkan juga.

``Ia sebetulnya album kompilasi kerana menggabungkan lagu-lagu lama saya, tetapi saya percaya album itu juga akan meninggalkan makna buat peminat-peminat saya,'' galak Ziana menceritakan album Ziana Zain No.1 Live itu.

Turut dimuatkan dalam album itu ialah dua buah lagu baru yang dirakamkan ketika kandungannya berusia tiga bulan. Lagu Lembah Asmara ciptaan Ajai kata Ziana, menampilkan melodi yang cukup indah dan disampaikan selepas berperang dengan emosi ketika di dalam studio rakaman.

``Ajai memberikan saya semangat dan berkali-kali meyakinkan saya bahawa saya mampu menyampaikan lagu itu dengan baik walaupun saya mengandung,'' kata Ziana bercerita pengalaman itu. Bukan pula merupakan melodi yang kali pertama menyaksikan hasil kerja Ziana dengan dibantu oleh pemuzik ternama tanah air, Greg Henderson. Sebetulnya, Ziana sendiri terkejut kerana dapat menghasilkan karya `sulungnya' itu. ``Semuanya bermula apabila saya memberitahu Greg saya mahukan sebuah lagu yang lain daripada yang pernah saya nyanyikan.

``Saya cuba alunkan muzik secara bersahaja dan Greg mensesuaikannya mengikut susunan muzik yang lebih tertib,'' ujar beliau yang sehingga kini masih terkejut dan begitu mengagumi bakatnya menghasilkan melodi itu.

Dua lagu baru itu kata Ziana, diharapkan dapat mengubat kerinduan peminat-peminatnya sementara menantikan beliau kembali aktif bekerja dan merakamkan album solo awal tahun depan.

``Saya tidak mahu kecewakan peminat dan kerana itu dua buah lagu baru dalam album itu saya hadiahkan buat mereka yang masih terus memberi sokongan kepada saya,'' Ziana menyambung perbualan.

Ziana Zain No. 1 Live edaran syarikat rakaman terbarunya, EMI Music (M) Sdn. Bhd. bakal diedarkan awal Julai ini. Dalam kesulitan mengusung kandungannya itu, Ziana berjanji untuk cuba memenuhi tuntutan syarikat rakaman turut mengadakan promosi album terbarunya itu.

Sesekali kata Ziana, beliau mahu bertentang mata dengan peminat-peminatnya kerana asyik duduk di rumah juga membosankan!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 12:02 PM | Show all posts
Album Baru

Source : Utusan Malaysia
Date : 19/05/2003

ALBUM: Ziana Zain
JUDUL: Ratu - Satu Penghargaan 1992-2001
TERBITAN: BMG Music

BILA mendengar Ziana Zain menyanyi tanpa `tarik' dengan nada tinggi, maka itu bukanlah lagunya. Ini kerana kebanyakan lagu-lagu dendangan Ziana pasti ada bahagian yang bernada tinggi.

Bagi peminat-peminat yang ingin mendengar `tarikannya' perlu memiliki album kompilasi Ziana yang berjudul Ratu.

Album yang memuatkan lagu-lagu hits dendangannya itu dipetik daripada album yang dihasilkan sejak 1998 sehingga 2001 sebelum beliau berhijrah ke syarikat rakaman lain.

Apa yang pasti lagu-lagu pilihan dalam album ini adalah yang terbaik dan tidak menjemukan pendengaran.

Selain lagu solo turut dipilih lagu duet Ziana dengan rakan artis seperti Awie menerusi lagu Senja Nan Merah, Di Akhir Garisan bersama Nora, Ning Baizura dan Dessy Fitri. Sementara duet bersama Dayang Nurfaizah pula Ziana bergabung menerusi lagu Pusaka Rimba.

Keunikan vokal Ziana yang nyaring bila menyanyi itu membuatkan beliau berbeza daripada penyanyi lain.

Antara lagu-lagu yang boleh diikuti dalam album ini ialah Puncak Kasih, Anggapanmu, Setiaku Di Sini, Madah Berhelah, Setia Ke Akhir Hayat, Korban Cinta, Menadah Gerimis dan Berpisah Jua.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 12:05 PM | Show all posts
Ziana tidak mahu terburu-buru

Source : Utusan Malaysia
Date : 31/03/2001

Penyanyi Ziana Zain belum memikirkan langkah seterusnya dalam dunia nyanyian setelah kontrak dengan BMG Music yang menaunginya sejak 11 tahun lalu tamat tidak lama lagi.

Penyanyi bersuara lantang itu kini berhutang dengan BMG Music sebuah album penuh yang kini giat menjalani rakaman.

Apabila album itu dipasarkan, Ziana bebas tanpa sebarang ikatan kontrak lagi dengan BMG Music. Namun setakat ini dia belum membuat keputusan mengenai syarikat rakaman yang baru untuk meneruskan kariernya sebagai penyanyi rakaman.

``Ada beberapa syarikat yang turut menawarkan saya menyertai mereka tetapi saya memerlukan masa untuk memikirkan segenap aspek,'' kata Ziana lagi.

Dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan apatah lagi selama 11 tahun di bawah bumbung syarikat BMG Music dan mendapat layanan selesa.

``Saya selesa di bawah BMG Music walaupun berlaku beberapa perubahan di peringkat pengurusan,'' kata Ziana semasa ditemui di sidang akhbar persembahannya sempena Minggu Setiausaha di Hotel Hyatt Regency Saujana, Subang baru-baru ini.

Album terbaru yang dijangka dipasarkan Mei depan memuatkan lagu-lagu ciptaan Johari Teh, Azlan Abu Hassan, Adnan Abu Hassan, Helen Yap, Ajai dan beberapa lagi.

Ditanya penglibatannya selain menyanyi dalam album itu, kata Ziana dia cuba menghasilkan lirik tetapi tidak pernah siap dan tidak dirakamkan.

``Saya sebenarnya tidak mahu melakukan sesuatu yang saya tidak mahir,'' kata Ziana lagi. Namun dia memberi idea mengenai corak lagu dan lirik yang dikehendaki untuk dinyanyikan di dalam album itu, kata penyanyi berusia 33 tahun itu lagi.

Mengenai persembahan, Ziana menjanjikan persembahan terbaik khusus untuk meraikan setiausaha.

Dia akan muncul selama setengah jam pada 11 dan 12 April ini dalam persembahan makan tengah hari dan akan menyanyikan lagu-lagu terbaik serta membuat sketsa bersama penonton.

``Saya suka menghiburkan setiausaha yang diraikan dalam minggu khas untuk mereka yang penat bekerja sebelum ini,'' kata Ziana.

Jualan meja untuk menyaksikan persembahan penyanyi itu bersama Farouk Hussain boleh boleh di tempah menerusi talian 03-7461234 sambungan 4110 atau 03-7405105.

Hyatt Regency menyediakan pelbagai hadiah berupa percutian ke luar negara seperti ke Bali, Perth, Taipei, Bangkok, Dubai dan beberapa tempat lagi kepada pemenang cabutan bertuah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-6-2007 08:07 PM | Show all posts
karfleff. leh tlg jaga x sub folder ni, klu ada org posting ko delete. kecuali yg berkaitan jerk, termasuk aku..delete jerk post aku.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

8-5-2024 03:11 AM GMT+8 , Processed in 0.068694 second(s), 38 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list