|
Remaja mati lemas ditarik ikan keli?
| Penduduk kampung menunjukkan ikan keli tasik seberat kira-kira 5 kilogram dan panjang 2 kaki yang menyebabkan kematian Mohammed Rafiq Alis di kolam Felda Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam. – Gambar RAJA JAAFAR ALI
|
JOHOR BAHRU 4 Jan. – Seorang remaja yang terjun ke dalam kolam terbiar sedalam enam meter untuk melepaskan tali pancingnya, mati lemas dipercayai ‘ditarik’ oleh seekor ikan keli seberat lima kilogram dalam kejadian dekat Felda Ulu Tebrau di sini hari ini.
Andaian itu dibuat kerana selepas mayat mangsa, Mohammed Rafiq Ali, 19, dikeluarkan dari kolam berkenaan, mereka menemui ikan keli yang panjangnya setengah meter, tersangkut pada tali pancing tersebut.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi tersebut, mangsa datang ke kolam tersebut selepas dihubungi seorang sepupunya untuk meminta bantuan melepaskan tali pancing yang tersangkut itu.
Bagaimanapun, selepas Allahyarham terjun ke dalam kolam itu, dia timbul dan tenggelam serta menjerit mengatakan ada sesuatu yang menarik badannya sehinggalah akhirnya mangsa lemas.
Selain sepupunya, Hanisa Mydin, 30, turut menyaksikan kejadian itu ialah bapa Hanisa yang juga bapa saudara mangsa, Mydin Veeran, 53.
| Mohammed Rafiq Ali
|
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Abu Bakar Ab. Rahman, memberitahu Utusan Malaysia hari ini, mayat Allahyarham berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat tiga jam kemudian.
Menurutnya, pasukan penyelamat itu melibatkan pasukan Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Unit Skuba Bomba Johor Bahru dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
‘‘Difahamkan bapa saudara dan sepupu mangsa memancing di kolam itu semalam namun disebabkan tali pancing tersangkut, mereka pulang ke rumah dan kembali semula pagi ini.
‘‘Hanisa kemudian menghubungi mangsa meminta dia datang lepaskan tali pancing yang tersangkut itu,’’ katanya.
Mayat mangsa yang bekerja sebagai penghantar bunga kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
Para penduduk yakin Mohammed Rafiq ditarik ikan keli yang tersangkut pada tali pancing tersebut itu tambah pula mangsa tidak biasa dengan keadaan kolam yang berlumpur.
Kolam takungan terbiar itu adalah peninggalan kilang kelapa sawit yang tidak lagi beroperasi sejak dua tahun lalu.
Mydin, seorang kelindan lori yang ditemui di lokasi kejadian memberitahu, anak saudaranya itu terjun ke dalam kolam tanpa memakai pelampung walaupun berulang kali disuruh berbuat demikian.
‘‘Apabila saya nampak Rafiq timbul tenggelam, saya pun terjun untuk menyelamatkannya dan saya dapat memegang tangannya.
‘‘Malangnya dia menjerit beritahu ‘ada benda tarik’ dan tidak lama selepas itu tangan Rafiq terlepas daripada genggaman saya,’’ katanya.
Sementara itu, Hanisa berkata, dia berasa sungguh kesal menghubungi Mohammed Rafiq untuk melepaskan tali pancing tersebut sedangkan sepupunya jarang keluar memancing.
‘‘Saya bimbang ayah akan terjun ke dalam kolam untuk melepaskan tali pancing itu, jadi saya telefon Rafiq untuk minta bantuannya.
‘‘Selalunya dia tidak angkat telefon, tapi kali ini dia jawab dan datang terus ke sini. Saya rasa sangat bersalah, seperti saya yang jadi punca kematiannya,’’ katanya.
Tambahnya, dia pelik kerana kebiasaan ramai orang memancing di kolam itu namun hari ini hanya mereka bertiga saja berada di situ.
--------------
besar tu ikan keli yg arwah dapat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|