CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 987|Reply: 0

Serlahkan keindahan islam

[Copy link]
Post time 26-1-2022 10:15 PM | Show all posts |Read mode
Serlahkan keindahan islam


ISLAM menggariskan pendekatan terbaik berkaitan amalan bertoleransi dalam suasana berbilang agama dan kepercayaan.

SETIAP orang yang beriman wajib mempercayai Islam adalah satu-satunya agama paling sempurna yang membawa rahmat dalam kehidupan sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."

Justeru nikmat Islam dan iman adalah suatu yang harus disyukuri dengan cara mengamalkan dan menyebarkan ajarannya kepada seluruh umat manusia.

Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 58 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)."

Manusia hakikatnya diciptakan dengan fitrah semula jadi yang suci dan murni iaitu mentauhidkan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran Surah al-A'raf ayat 172 bermaksud: "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang) belakang mereka dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): 'Bukankah Aku Tuhan kamu?' Mereka semua menjawab: 'Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada Hari Kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.'"  

Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Riwayat al- Bukhari)

Namun sebahagian manusia mengingkari kebenaran dan ajaran Islam walaupun selepas menerima bukti dan keterangan disampaikan oleh nabi dan rasul.  

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 40 bermaksud: "Dan di antara mereka ada yang beriman kepada al-Quran dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang yang melakukan kerosakan."  

Golongan yang enggan menerima seruan Islam dan kekal dalam kekufuran akan menanggung azab akibat perbuatan terbabit kerana hanya Islam agama yang dapat menyelamatkan manusia dari kesesatan serta sama sekali tidak sama kedudukannya dengan agama dan kepercayaan yang lain.  

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 19 bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya."

Namun begitu, orang beriman dan kafir sudah berinteraksi dan bermuamalah sejak dahulu lagi sama ada dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan golongan bukan Islam dengan syarat mereka tidak mengancam Islam serta umatnya.  

Nabi Muhammad SAW juga mengambil berat terhadap mereka yang menyakiti golongan kafir zimmi sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: "Sesiapa menzalimi kafir yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada Hari Kiamat." (Riwayat Abu Daud)

Ajaran Islam menggariskan kaedah dan pendekatan terbaik berkaitan amalan bertoleransi dalam suasana berbilang agama dan kepercayaan. Contohnya antara perkara terawal yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebaik tiba di Madinah ialah mewujudkan perjanjian dengan golongan Yahudi. Antara kandungan perjanjian terbabit ialah negara Islam Madinah menghormati kepercayaan mereka, mempertahankan dari segala bentuk ancaman dan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Madinah yang akan mempertahankan tanah airnya. Bahkan Rasulullah SAW sendiri menyantuni jiran dalam kalangan ahli kitab dengan kebajikan.

Perbuatan menghina, ugutan serta mencetuskan perasaan kebencian kepada penganut agama lain adalah tindakan yang dicela oleh al-Quran kerana boleh mengundang permusuhan yang tidak akan mendatangkan keuntungan.  Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."

Menghormati serta mengakui kewujudan penganut agama lain bukan menjadi lesen untuk mengiktiraf kebenaran agama selain dari Islam.

Sebaliknya tugas utama kita adalah untuk menzahirkan keindahan ajaran Islam melalui akhlak yang terpuji dalam muamalah seharian supaya mereka terpaut hati untuk kembali kepada agama fitrah ini seperti firman Allah dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 64 bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah'. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: 'Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.'"

Di Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama yang tertinggi dijamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Namun perkara terbabit bukan menjadi penghalang hubungan baik sesama insan walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama atas prinsip kemanusiaan. Perbezaan dan kepelbagaian terbabit diharmonikan berlandaskan nilai-nilai dan semangat yang terkandung dalam Rukun Negara dan gagasan Keluarga Malaysia yang mempereratkan kesatuan antara warga negara.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... kan-keindahan-islam

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 11:11 AM GMT+8 , Processed in 0.049106 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list