View: 845|Reply: 0
|
Bulan 'hadiah' luar biasa
[Copy link]
|
|
Bulan 'hadiah' luar biasa
PADA Ramadan golongan Mukmin berlumba-lumba menggiatkan bacaan al-Quran tidak kira sama ada siang mahupun malam. FOTO Arkib NSTP
Umat Islam sentiasa merindui dan menantikan kehadiran Ramadan yang sarat dengan ganjaran pahala di sisi Allah. Allah telah menjanjikan pahala yang besar di sisi-Nya kepada setiap Mukmin yang menghidupkan bulan itu dengan ibadah berpuasa dan beramal dengan amalan sunat yang lain.
Sebab itulah, kehadiran Ramadan semenjak dahulu lagi sudah berjaya mengubah landskap sosial umat Islam dengan terzahirnya suatu watak berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Ramadan is Amazing. Begitu yang boleh kita katakan tentang Ramadan al-Mubarak ini.
Setiap lapisan masyarakat, tidak kira yang muda mahupun yang tua, kesemuanya terpanggil untuk melakukan ibadah berpuasa di siang hari dan bersolat Tarawih pada malamnya. Malah, amalan sedekah dan infak begitu rancak dilakukan demi mendapat pahala yang besar.
'Tawaran pahala' yang dijanjikan Allah menjadi daya semangat buat umat Islam memperkasakan jiwa masing-masing semasa berada dalam bulan ini. Jika sebelumnya, cukup liat dan terasa culas untuk solat berjemaah di masjid ataupun surau, maka di bulan Ramadan ini, ia seolah-olah satu magnet yang menarik jiwa dan hati untuk menjadi 'pendamping' Rumah Allah.
Andainya sebelum munculnya Ramadan, mungkin tangan terasa berat sahaja untuk keluarkan duit dalam poket untuk dimasukkan dalam tabung masjid/surau, tetapi Ramadan menjadi 'pengubat hati yang kedekut itu'. Sebab itulah saya katakan Ramadan is Amazing.
Kesemua itu berputik daripada penghayatan bersungguh yang berakar umbi dalam jiwa semenjak dari kecil lagi bahawa Ramadan jangan dilepaskan begitu sahaja, sebaliknya perlu dihayati sepenuhnya supaya apa yang dijanjikan Allah dapat diperolehi. Abu Hurairah ada melaporkan satu sabda Nabi SAW yang katanya bahawa Nabi SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah, orang yang dilepaskan daripada api neraka pada setiap hari dan setiap malam (bulan Ramadan). Setiap hamba(orang) daripada mereka mempunyai doa yang mustajab." (Hadis Riwayat Imam Ahmad-Hadis Sahih)
Ramadan juga sudah menarik minat Muslimin untuk menjadi 'teman akrab al-Quran.' Bulan inilah golongan Mukmin seakan-akan berlumba sesama sendiri dalam menggiatkan bacaan al-Quran tidak kira sama ada pada siang mahupun malamnya. Waktu inilah juga kitab suci al-Quran begitu popular dan menjadi sumber bacaan wajib. Andai sebelumnya, kitab suci yang teragung itu mungkin sekadar berada di dalam rak tersusun kemas dengan sesekali sahaja dibelek untuk dibaca, namun Ramadan mengubah sikap itu kepada menjadikan al-Quran sebagai 'teman rapat' yang sangat digemari. Jadi, sekali lagi, Ramadan is Amazing.
Salman al-Farisi, 'pakar strategi perang ulung' ada meninggalkan kata-katanya berkenaan Ramadan yang tentu sangat mengujakan kita untuk terus istiqamah dalam memaksimumkan amal ibadah dan amalan sunat semasa bulan yang barakah ini. Kata beliau: "Permulaan Ramadan adalah rahmat. Pertengahannya keampunan dan pengakhirannya adalah kelepasan daripada api neraka."
Sedangkan sebelum itu pun, umat Islam sudah insaf dan sedar bahawa Ramadan, satu-satu bulan yang dirakam namanya di dalam al-Quran pasti memiliki fadilat terbesar yang merupakan satu 'hadiah' buat setiap umat Islam yang memanfaatkannya. Dalam Surah al-Ahzab ayat 33-35 Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya lelaki yang Islam dan perempuan yang Islam dan lelaki yang beriman serta perempuan yang beriman dan lelaki yang taat serta perempuan yang taat dan lelaki yang benar serta perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar serta perempuan yang sabar dan lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan lelaki yang bersedekah serta perempuan yang bersedekah dan lelaki yang berpuasa serta perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang memelihara kehormatannya serta perempuan yang memelihara kehormatannya, dan lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semua keampunan dan pahala yang besar."
Abu Hurairah juga turut menyenaraikan satu lagi sabda Nabi SAW yang berbentuk hadis qudsi yang menjelaskan betapa hebatnya puasa pada Ramadan. Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman: "Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah milik-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Puasa itu perisai. Apabila seseorang daripada kamu berpuasa pada suatu hari, maka janganlah berkata perkataan yang kotor dan menjerit-jerit. Sekiranya seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, maka katakanlah: "Sesungguhnya aku berpuasa." Demi Zat yang jiwa Muhammad dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi. Untuk orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang dia bergembira dengan kedua-duanya, iaitu apabila berbuka dia gembira dengan berbuka puasanya dan kedua bertemu dengan Tuhannya, dia gembira dengan puasanya." (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Panjang dan padat isi kandung pengajaran yang disampaikan menerusi hadis ini. Lihat di awal hadis itu dinyatakan bahawa puasa adalah untuk Allah dan Allah sahajalah yang akan membalas ganjarannya dan tentu sekali ia berlainan dengan amal ibadah lain seperti solat, zakat mahupun haji ataupun sedekah yang sudahpun sesetengahnya dinyatakan jumlah ganjaran pahala yang diberikan Allah.
Sesungguhnya, aura Ramadan sudahpun bermula apabila pelbagai iklan mempromosikan produk tertentu dengan melabelkannya sebagai 'jualan pra Ramadan' dan sebagainya. Ini juga sebenarnya satu daya tarikan tersendiri untuk 'mencuri minat' pembeli. Malah aura Ramadan semakin terasa apabila pihak pengurusan masjid dan surau begitu beria-ia mempersiapkan Rumah Allah untuk menyambut kehadiran jemaah bagi mengerjakan solat fardu dan solat Tarawih berjemaah. Malah tidak kurang juga yang sedang berkira-kira untuk memilih Bazar Ramadan yang hendak dikunjungi. Nyata Ramadan yang bakal menjelma sedang memercikkan auranya.
Namun, usah sesekali kita lupa bahawa Ramadan seharusnya kita isikan dengan yang disunahkan oleh Rasulullah SAW dengan tidak sama sekali bertindak melakukan sebarang pembaziran. Biarlah Bazar Ramadan menjadi platform untuk memudahkan pembelian barangan keperluan dan bukan sebagai medan pembaziran. Selamat menyambut Ramadan buat semua.
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... n-hadiah-luar-biasa
|
|
|
|
|
|
|
| |
|