|
Pemandu Mercedes Lewis Hamilton ketika di Grand Prix Miami di Autodrome Antarabangsa Miami, Florida, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
FLORIDA, Amerika Syarikat: Rekod kemenangan Lewis Hamilton pada setiap musim mungkin berakhir selepas dia mendakwa Mercedes gagal meningkatkan prestasi jenteranya.
Juara dunia tujuh kali itu menang sekurang-kurang satu perlumban Grand Prix Formula Satu (F1) setiap tahun sepanjang 15 tahun lalu sejak dia menyertai sukan berkenaan pada tahun 2007.
Bagaimanapun rekod itu mungkin terhenti setakat itu apabila pemandu British itu bergelut mendapatkan rentak dalam kereta Silver Arrow.
Hamilton menamatkan GP Miami di tempat keenam manakala rakan sepasukannya George Russell kelima.
"Malangnya kelajuan kami sama seperti pada perlumbaan pertama. Tidak ada peningkatan dalam lima perlumbaan ini tetapi saya masih berharap, kami perlu terus berusaha keras," kata Hamilton.
Menurut Hamilton dia kini terpaksa menukar cara pemanduannya bagi mengutip mata di kelompok pertengahan berbanding menerajui perlumbaan seperti musim-musim lalu.
"Ia masih lagi perlumbaan, cuma perspektif berbeza, sudut pandangan berbeza. Anda mahu ke depan tetapi ia sukar apabila tiada kelajuan. Inilah keadaannya sekarang tetapi ia satu pengalaman," katanya. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... milton-dalam-bahaya |
|